lightning-solid
Berita :
Kerajaan Negeri Tegaskan 'Muslim Choice' Bukan Pengiktirafan Halal Diiktiraf
Kerajaan Negeri Tegaskan 'Muslim Choice' Bukan Pengiktirafan Halal Diiktiraf
Mastura Jamal Din
3 jam yang lepas
72

KUALA TERENGGANU, 5 November – Kerajaan negeri menegaskan bahawa isu halal bukan sekadar persoalan hukum semata-mata, tetapi turut melibatkan aspek keyakinan, kebersihan, keselamatan serta integriti sesuatu produk atau premis makanan.

Penegasan itu dibuat susulan penularan isu penggunaan istilah 'Muslim Choice' oleh sebuah pertubuhan yang didakwa memberi pengiktirafan kepada premis dan produk tertentu, sehingga mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan masyarakat.

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Datuk Ariffin Deraman berkata,  Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah memaklumkan bahawa penggunaan istilah 'Muslim Choice' oleh Muslim Friendly Watch (MFW) bukanlah pengiktirafan halal yang diiktiraf oleh JAKIM atau mana-mana pihak berkuasa agama.

Menurutnya, berdasarkan Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011, hanya JAKIM dan Majlis atau Jabatan Agama Islam Negeri (MAIN/JAIN) mempunyai kuasa untuk mengeluarkan Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) serta membenarkan penggunaan logo rasmi 'Halal Malaysia'.

“Penggunaan mana-mana simbol, istilah atau ungkapan yang membawa maksud halal selain daripada yang diperakui oleh pihak berkuasa boleh mengelirukan pengguna Muslim serta menjejaskan integriti sistem pensijilan halal negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ariffin berkata sebagai pengguna Muslim, masyarakat seharusnya bergantung kepada sistem pensijilan halal yang sah bagi memastikan produk atau premis benar-benar menepati syariat serta piawaian yang ditetapkan.

“Bagaimanapun katanya, inisiatif seperti 'Muslim Choice' boleh diterima sekadar usaha meningkatkan kesedaran kebersihan dan mesra Muslim, namun tidak boleh dijadikan pengganti kepada sijil halal rasmi.

“Pengguna juga disarankan menyemak status halal melalui aplikasi Verify Halal atau portal Halal Malaysia, selain menggalakkan usahawan memohon pensijilan halal JAKIM bagi meningkatkan kredibiliti produk,” ujar beliau lagi.

Dalam pada itu, kerajaan negeri turut menggalakkan para usahawan Muslim agar memohon pensijilan Halal JAKIM, kerana proses itu bukan sahaja memenuhi tuntutan agama, malah meningkatkan kredibiliti serta membuka ruang lebih luas ke pasaran tempatan dan antarabangsa.

“Kerajaan negeri melalui agensi-agensi berkaitan akan terus bersedia membantu serta membimbing para usahawan dalam usaha mendapatkan pensijilan halal,” katanya.


Tag :

Artikel Berkaitan