lightning-solid
Berita :
Hubungan Malaysia–Oman Terus Diperkukuh Melalui Penganjuran Al-Multaqa Al-Omani di UIAM
Hubungan Malaysia–Oman Terus Diperkukuh Melalui Penganjuran Al-Multaqa Al-Omani di UIAM
Muhammad Aiman Hakimi Abdullah
6 jam yang lepas
43

SELANGOR, 4 November – Hubungan dua hala antara Malaysia dan Kesultanan Oman terus diperteguh melalui penganjuran Al-Multaqa Al-Omani kali ke-9, yang berlangsung di Pusat Kebudayaan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Exco Kerajaan Negeri Terengganu, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi, yang turut hadir sebagai tetamu jemputan khas, menyifatkan program itu bukan sahaja sebagai platform pertukaran ilmu, malah menjadi jambatan penting dalam memperkukuh hubungan diplomatik antara kedua-dua negara Islam tersebut.

“Al-Multaqa Al-Omani bukan sekadar program ilmiah, tetapi satu wadah yang menyatukan dua budaya Islam melalui perkongsian ilmu dan kefahaman. Ia membuka ruang kerjasama yang lebih luas dalam bidang pendidikan, kebudayaan dan diplomasi antara Malaysia serta Oman,” katanya ketika berucap di program tersebut, semalam.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Kementerian Waqaf Oman dan UIAM atas penganjuran yang berjaya mewujudkan suasana ukhuwah dan keilmuan merentas sempadan.

Menurut Dr. Khalil, program seumpama ini amat bertepatan dengan hasrat Kerajaan Negeri Terengganu yang turut menekankan elemen diplomasi ilmu dan budaya dalam memperkukuh jaringan antarabangsa.

Untuk rekod, Al-Multaqa Al-Omani merupakan acara tahunan anjuran bersama Kementerian Waqaf Oman dan UIAM, yang berperanan memperkenalkan budaya, warisan dan pemikiran masyarakat Islam Oman kepada dunia, selain merangsang kerjasama akademik antara institusi pendidikan kedua-dua negara.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah tokoh ulama tersohor, Syeikh Ahmad Saud al-Siyabi, Setiausaha Dar al-Ifta’ Oman, yang juga antara penceramah utama dalam program berkenaan. 

Kerajaan Terengganu sebelum ini turut menjalinkan hubungan erat dengan Kesultanan Oman melalui pelbagai inisiatif, termasuk Terengganu International Summit (TIS) yang bermula pada tahun 2023, serta kerjasama strategik sektor petroleum antara Eastern Pacific Industrial Corporation (EPIC) Terengganu dan pihak pelabur Oman.

Menutup ucapannya, Dr. Khalil berharap hubungan antara Malaysia dan Oman akan terus diperkasakan dari semasa ke semasa, bukan hanya dalam bidang ekonomi, tetapi turut merangkumi jaringan keilmuan, budaya dan diplomasi antarabangsa.



Tag :

Artikel Berkaitan