BESUT, 4 November – Kisah perjuangan seorang anak muda Orang Kurang Upaya (OKU) dari Terengganu, Allahyarham Mohd Faizal Ismail atau Adik Ja, terus menjadi inspirasi ramai apabila beliau berjaya menamatkan pengajian di Universiti Putra Malaysia (UPM) meskipun diuji penyakit kronik sepanjang satu dekad.
Pada usia 19 tahun, Allahyarham disahkan mengalami kerosakan buah pinggang sepenuhnya akibat komplikasi leptospirosis (kencing tikus), memaksanya menjalani rawatan dialisis tiga kali seminggu tanpa gagal.
Bagi kebanyakan insan, ia mungkin mematahkan semangat namun tidak bagi Adik Ja.
Di sebalik jadual rawatan yang ketat, kesakitan berpanjangan dan keperluan ulang-alik ke hospital, dia tetap memilih jalan ilmu.
Ketabahan dan disiplin luar biasa itu akhirnya membuahkan kejayaan apabila beliau bergraduasi dari UPM pada tahun 2022, membuktikan bahawa cabaran kesihatan bukan penghalang untuk mencipta masa depan.
Bagi ibunya, Saripah Abd Kadir, setiap detik perjuangan itu disaksikan dengan penuh pengorbanan dan kasih sayang.
Hampir 10 tahun, dia setia menemani perjalanan rawatan dan pembelajaran anak bongsunya itu tanpa pernah mengeluh.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri, Dato’ Dr. Azman Ibrahim berkata kisah itu adalah kekuatan dan kasih sayang yang luar biasa antara ibu dan anak.
“Walaupun diuji penyakit kronik dalam usia muda, arwah berjaya menggenggam ijazah UPM pencapaian yang membuktikan bahawa kekurangan fizikal bukan titik noktah bagi cita-cita.
“Semoga Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang beriman, dan semoga keluarga terus tabah,”
katanya ketika menyantuni keluarga arwah di rumah mereka di Kampung Kepala Gajah, Jabi, petang semalam.
Menurut beliau yang juga ADUN Jabi, pemergian Adik Ja pada usia 29 tahun bukan sekadar kehilangan buat keluarga, malah meninggalkan legasi ketabahan kepada semua yang mengenali kisah perjuangannya.