KUALA LUMPUR, 23 Oktober – Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan menggesa Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberikan penjelasan menyeluruh berhubung latihan ketenteraan yang didakwa dijalankan di Masjid Kampung Rusila, Marang, Terengganu pada 19 September lalu oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).
Menurut beliau, isu tersebut menimbulkan tanda tanya besar dan kebimbangan awam apabila aktiviti yang dikatakan sebagai latihan komando itu dilaksanakan tanpa sebarang pemakluman rasmi kepada pihak pengurusan masjid atau penduduk setempat.
“Saya telah meneliti laporan polis yang dibuat oleh pihak Masjid Rusila berdasarkan rakaman CCTV. Rakaman itu menunjukkan beberapa individu berpakaian biasa memasuki ruang solat wanita serta pergerakan mencurigakan di kawasan masjid,” katanya dalam sidang media di luar Dewan Rakyat, hari ini.
Takiyuddin menjelaskan, hasil semakan mendapati tiada sebarang aktiviti latihan air atau maritim dijalankan di kawasan berhampiran pada tarikh kejadian.
“Kita nak tahu apakah SOP latihan ini? Siapa musuh yang dimaksudkan, dan kenapa lokasi latihan dipilih di dalam masjid? Ini perkara yang perlu dijelaskan oleh pihak berkuasa,” katanya lagi.
Beliau memaklumkan, berdasarkan kenyataan rasmi yang dikeluarkan pihak pengurusan Masjid Rusila, menafikan pernah menerima sebarang permohonan atau pemakluman aktiviti daripada APMM, sama ada secara lisan atau bertulis.
Menurut kenyataan itu, pihak masjid hanya dimaklumkan secara lisan dan menerima permohonan maaf melalui telefon selepas laporan polis dibuat.
Selain itu, Takiyuddin turut mendedahkan surat rasmi APMM bertarikh 11 September 2025 yang menyatakan pelaksanaan latihan pelarian dan pelolosan Kursus Asas Komando Star Team APMM, melibatkan 30 anggota serta penggunaan senjata M4 Carbine dan Glock 17 dengan peluru hidup.
“Ini bukan latihan biasa. Surat itu sendiri menyebut penggunaan peluru hidup sebanyak 150 butir. Jadi persoalannya, kenapa latihan seperti ini diadakan di kawasan masjid dan bukan di lokasi terkawal?” katanya.
Beliau menegaskan bahawa pihaknya tidak berniat menyerang mana-mana individu atau agensi, sebaliknya hanya menuntut penjelasan demi keselamatan rakyat.
“Kami menghormati pegawai kerajaan, tetapi kita mesti persoalkan dasar dan SOP yang boleh menjejaskan keselamatan awam. Kita tidak mahu tragedi seperti Memali berulang,” tegasnya.
Takiyuddin turut memaklumkan bahawa beliau memiliki rakaman video penuh kejadian yang menunjukkan beberapa individu berlari keluar dari kawasan masjid dan menaiki kenderaan dalam keadaan mencurigakan.
“Kita sanggup disiasat. Apa yang kita mahu ialah penjelasan yang telus daripada pihak berkuasa,” katanya.