lightning-solid
Berita :
Trump Isytihar Perang Ke Atas Nigeria: Dr. Khalil Dedah Agenda Tersirat
Trump Isytihar Perang Ke Atas Nigeria: Dr. Khalil Dedah Agenda Tersirat
Zahid Mustafar
3 jam yang lepas
56

KUALA TERENGGANU, 5 November – Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi menegaskan kenyataan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump yang mengugut untuk menyerang Nigeria atas alasan penindasan terhadap penganut Kristian bukanlah tindakan jujur, sebaliknya mempunyai agenda geopolitik tersembunyi yang berkait dengan perebutan sumber tenaga dan pengaruh global.

Menurut beliau, kenyataan itu perlu dibaca secara mendalam kerana tersirat dua tujuan besar, untuk menarik semula sokongan masyarakat Kristian Amerika yang menjadi tulang belakang kuasa politik Trump, serta untuk membuka laluan menguasai kekayaan minyak, gas dan sumber mineral nadir bumi (REE) di benua Afrika.

"Tanpa ada ribut dan hujan, tiba-tiba Trump memberi amaran mahu menyerang Nigeria atas alasan kezaliman terhadap Kristian di sana.

"Namun hakikatnya, kenyataan ini hanyalah topeng bagi menutup kepentingan ekonomi dan politik Amerika Syarikat yang kini kian tergugat di Afrika," katanya dalam satu kenyataan di laman Facebook rasmi beliau semalam.

AMRZ0205.jpg 553.93 KB
Muhammad Khalil berkata, pentadbiran Trump dipengaruhi kuat oleh gerakan Kristian Zionis yang mendokong sepenuhnya rejim haram Israel dan menyimpan dendam terhadap Dunia Islam.

"Umum mengetahui pentadbiran Trump sarat dengan pengaruh Kristian Zionis yang mendokong sepenuhnya negara haram Israel.

"Namun, perang Taufan al-Aqsa di Palestin telah mengubah pandangan besar masyarakat Kristian Amerika terhadap dasar luar negara mereka," jelasnya.

Beliau turut menambah, kini muncul jalur pemikiran baharu dalam kalangan rakyat Amerika yang semakin lantang mempertikai dasar sokongan membuta tuli terhadap Israel, termasuk tokoh media konservatif seperti Tucker Carlson yang sebelum ini merupakan penyokong tegar Trump.

"Tokoh seperti Tucker Carlson kini mula menyoal secara terbuka pengaruh Zionis terhadap dasar pertahanan dan luar Amerika.

"Kenyataan Trump mengenai Nigeria hanyalah sandiwara politik untuk menutup realiti dalaman negaranya yang kian berpecah," tambah beliau.

ADUN Batu Buruk itu turut mempersoalkan keikhlasan Trump membela penganut Kristian apabila beliau langsung tidak bersuara mengenai kekejaman Zionis yang mengebom gereja di Gaza serta membunuh wartawan Kristian Palestin, Shireen Abu Akleh.

"Jika benar Trump mahu membela orang Kristian, mengapa dia berdiam diri apabila gereja di Gaza dibom hingga musnah?.

"Trump juga tidak pernah mengutuk pembunuhan wartawan Kristian Palestin, Shireen Abu Akleh," katanya lagi.

Beliau berpandangan, isu Nigeria hanyalah alasan ciptaan untuk membuka jalan kepada penjajahan baharu oleh Barat di benua Afrika, tatkala Amerika Syarikat semakin kehilangan pengaruh kepada China dan Rusia.

"Amerika sedang mencari alasan untuk kembali menakluk Afrika yang kini beralih kepada Rusia dan China.

"China dan Rusia kini sudah selangkah ke hadapan, khususnya dalam perebutan sumber nadir bumi yang amat bernilai di benua itu," ujarnya.

Menutup kenyataan, Dr. Khalil menyeru dunia agar berlaku adil dalam menilai konflik di Afrika dan tidak menuding jari secara membabi buta terhadap Dunia Islam.

"Pembunuhan terhadap penganut Kristian di Nigeria hanyalah kes terpencil akibat perebutan tanah, air dan perbalahan suku yang telah lama berlarutan.

"Dunia Islam mendambakan kepimpinan yang ikhlas untuk memimpin dunia yang sarat kezaliman. Insya-Allah, kebenaran akan menang dan kebatilan pasti tersungkur," tegasnya.


Artikel Berkaitan