KUALA NERUS, 4 November – Program Tuisyen Rakyat anjuran Pusat Khidmat Masyarakat DUN Bukit Tunggal mendapat sambutan menggalakkan daripada pelajar setempat yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025.
Seorang peserta, Muhammad Husin Azhari, berkata tunjuk ajar daripada tenaga pengajar banyak membantunya memahami cara menjawab soalan dengan lebih berkesan.
“Cikgu ajar teknik ‘curi markah’ dengan bijak bagi kumpul markah maksimum walaupun jawapan tak lengkap,
“Ia sangat membantu dan buat saya lebih yakin menghadapi SPM,” katanya kepada media selepas selesai Program Tuisyen Rakyat Pecutan SPM & Motivasi Pelajar Peringkat DUN Bukit Tunggal di KOMTAQ baru-baru ini.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tunggal, LSr Zaharuddin Zahid, berkata program berkenaan merupakan inisiatif penting dalam membantu pelajar menguasai subjek utama seperti Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Sejarah.
“Program ini amat bermakna bagi membantu pelajar membuat persediaan terbaik menghadapi peperiksaan.
Diharapkan usaha ini dapat melahirkan pelajar yang berjaya dan terus membawa perubahan positif kepada masa depan mereka,” ujarnya.