lightning-solid
Berita :
 Pelajar Pondok Jadi Jurutera
Pelajar Pondok Jadi Jurutera
Adli Mohamad
23 Oct 25
452

KEMAMAN, 23 Oktober - Kisah Ahmad Bahauddin Kamal Bahrin,26, atau lebih mesra dipanggil Baha boleh dijadikan inspirasi kepada pelajar pondok apabila berjaya menjadi seorang jurutera minyak dan gas.

Segala-galanya bermula apabila anak kelahiran Kemaman itu yang pada awalnya menuntut di Pondok Pengajian Agama Pulau Pinang membuat keputusan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Darul Huffaz Tati Skill anak syarikat Kolej Universiti TATI pada usia 21 tahun apabila, sekali gus merintis peluang kepadanya untuk menjadi seorang jurutera.

Kejayaan cemerlang dalam SPM telah membuka jalan untuk beliau melanjutkan pelajaran ke Asasi Kejuruteraan di UC TATI sebelum menyambung ke Ijazah Sarjana Muda Teknologi Pembuatan dan turut dinobatkan sebagai pelajar terbaik dalam program tersebut.

"Saya belajar bahawa ilmu tidak pernah mengenal usia. Apa yang penting, ada kemahuan dan sokongan daripada pensyarah yang sentiasa membimbing," ujarnya ketika ditemui selepas menerima berita pelantikannya sebagai 'Project Engineer dalam Indutsri Oil & Gas, baru-baru ini.

Katanya, apa yang dilalui dalam dunia pendidikan tidak mudah namun segala halangan ditempuhi dengan penuh semangat .

Antara ujian yang terpaksa dilaluinya semasa menduduki peperiksaan Sijil Menengah Rendah Agama (SMRA), adalah kehilangan ibunya.

Namun, halangan berjaya ditempuh dan dibuktikan bahawa, sekalipun bermula sebagai pelajar agama tanpa asas teknikal, dia berupaya menjadi pelajar terbaik di UC TATI.

Dalam pada itu,Rektor UC TATI, Prof. Ir. Dr. Hairul Azhar Abdul Rashid berkata, kejayaan Baha itu boleh dijadikan inspirasi kepada ramai pelajar khususnya mereka yang datang daripada aliran agama dan pondok.

Jelasnya, kisah Baha itu juga menjadi bukti bahawa UC TATI bukan sekadar institusi agama tetapi membina manusia yang berjiwa besar.

"Kami percaya setiap pelajar ada potensi luar biasa, tugas kami adalah membentuk mereka menjadi insan berilmu, berakhlak dan berdaya saing seperti Baha yang kini menjadi contoh graduan yang berjaya dalam dunia kejuteraan,"katanya.


Artikel Berkaitan