KUALA TERENGGANU, 4 November - Pelumba kelahiran Romania, Cristian Raileanu yang mewakili Malaysia Pro Cycling (MPC) muncul juara keseluruhan Tour Gateh D'Tranung 2025 yang berakhir malam tadi.
Kemenangan mempertahankan jersi kuning Raudah Cahaya Foundation (keseluruhan) itu sekali gus membantu pasukannya mengungguli pasukan terbaik kejohanan dengan catatan masa terbaik 56:46:58, diikuti TSS X Keropok Bayu Cycling Team di tempat kedua. 
Kemenangan MPC sebagai juara keseluruhan juga dibantu kecemerlangan pelumba muda dari Switzerland, Jonas Muller yang mempertahankan jersi putih MSNT (Best Under-23) dalam saingan selama lapan hari itu.
Dalam pada itu, jersi oren KBS diraih pelumba RCF Cycling Team, Muhamad Hakimi Haiqal Ahmad Sabri sebagai pelumba kelab tempatan terbaik kejohanan.
Mempertaruhkan 133 pelumba dalam dan luar negara, Tour Gateh D'Tranung menyaksikan penjelajahan seluruh negeri Terengganu dengan jarak perlumbaan sejauh 887.7 kilometer.