lightning-solid
Berita :
Hospital Dungun Catat Sejarah Integrasi Penuh MPIS Pertama di Malaysia
Hospital Dungun Catat Sejarah Integrasi Penuh MPIS Pertama di Malaysia
Muhammad Afiq Fahmi Ahmad Faris
5 jam yang lepas
273

DUNGUN, 1 November – Hospital Dungun melakar satu lagi pencapaian penting dalam usaha memperkukuh perkhidmatan kesihatan digital apabila misi Integrasi Medical Picture Information System (MPIS) dengan pelbagai modaliti dan sistem di hospital berkenaan kini hampir selesai sepenuhnya.

Pada 29 hingga 30 Oktober 2025, pelbagai sistem dan mesin perubatan utama telah berjaya diintegrasikan dengan MPIS, antaranya Mesin Ultrasound, Mesin Orthopanthomography (OPG), C-Arm Machine serta MPIS-iLab full integration.

Dengan kejayaan ini, Hospital Dungun menjadi hospital pertama di Malaysia yang berjaya mengintegrasikan mesin OPG, C-Arm dan iLab secara penuh dengan MPIS — satu pencapaian besar yang menandakan langkah ke arah pelaksanaan konsep Smart Hospital yang lebih pantas, tepat dan selamat untuk pesakit.

IMG-20251101-WA0072.jpg 68.94 KB
Pengarah Hospital Baru Dungun, Dr. Mariani Mohamad dalam kenyataannya menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat termasuk Bahagian Perkembangan Perubatan (BPP) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Bahagian Perubatan Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT), Unit Teknologi Maklumat JKNT, serta vendor-vendor seperti MPIS, CMS, OPG dan C-Arm atas kerjasama, sokongan teknikal dan bimbingan sepanjang proses pelaksanaan ini.

Beliau turut mengiktiraf komitmen dan profesionalisme tinggi warga Hospital Dungun yang menjadi tonggak kejayaan ini. 

“Kejayaan ini bukan sekadar pencapaian teknikal, tetapi bukti kekuatan semangat berpasukan dan kesungguhan seluruh warga hospital dalam memberi perkhidmatan terbaik kepada masyarakat,” katanya.

IMG-20251101-WA0073.jpg 74.3 KB
Sebagai langkah seterusnya, Hospital Dungun merancang untuk meneruskan integrasi CMS dan sistem intra-oral periapical radiography, bagi memperluas capaian kepada rekod klinikal digital sekaligus meningkatkan keberkesanan rawatan pesakit.

Inisiatif ini memperkukuh kedudukan Hospital Dungun sebagai peneraju inovasi kesihatan digital di negeri Terengganu dan Malaysia, selaras dengan aspirasi Kementerian Kesihatan Malaysia ke arah transformasi sistem kesihatan berasaskan teknologi dan data pintar.


Tag :

Artikel Berkaitan