 
        
        HULU TERENGGANU, 31 Oktober – Kerajaan Negeri Terengganu memperkukuh kerjasama strategik bersama Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) serta Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) dalam usaha membangunkan Tasik Kenyir sebagai destinasi pelancongan alam semula jadi bertaraf antarabangsa.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri, Datuk Razali Idris berkata, kerjasama erat antara ketiga-tiga pihak ini menjadi pemangkin kepada pembangunan pelancongan luar bandar yang mampan dan berimpak tinggi.
Katanya, Tasik Kenyir bukan sahaja ikon pelancongan Negeri Terengganu, tetapi juga lambang kejayaan sinergi antara agensi negeri dan persekutuan dalam memanfaatkan kekayaan alam semula jadi untuk kesejahteraan rakyat.
"Festival Kenyir Geopark 2025 disifatkan sebagai pemangkin kepada perkembangan ekonomi setempat, khususnya di daerah Hulu Terengganu yang kaya dengan potensi pelancongan alam semula jadi dan menonjolkan keindahan Tasik Kenyir sebagai destinasi pelancongan utama.
“Inisiatif ini juga memberi peluang kepada penduduk tempatan untuk terlibat secara langsung dalam aktiviti ekonomi seperti penginapan inap desa, jualan produk tempatan, serta perkhidmatan pelancongan. Ini secara tidak langsung membantu meningkatkan taraf hidup masyarakat sekitar Tasik Kenyir,” jelasnya.
Majlis perasmian tersebut disempurnakan oleh Timbalan Menteri Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang.
Turut hadir, Pengurus Besar KETENGAH, Yang Mulia Dato’ Tengku Ahmad Nadzri Tengku Musa, wakil-wakil agensi kerajaan negeri dan persekutuan, serta komuniti setempat yang turut memeriahkan festival tersebut.
Razali berkata Tasik Kenyir mempunyai potensi besar untuk muncul sebagai hab pelancongan geopark bertaraf antarabangsa yang menggabungkan elemen alam semula jadi, pendidikan dan penyelidikan.
“Kerajaan Negeri sentiasa komited untuk terus memperkukuh hubungan dengan semua agensi bagi memastikan pembangunan Tasik Kenyir berjalan seiring dengan konsep pelancongan lestari.
“Festival Kenyir Geopark 2025 dijangka menjadi acara tahunan penting bagi mempromosikan Tasik Kenyir sebagai destinasi pelancongan unggul di rantau Pantai Timur,” ujarnya.
 
                 
                                             
                                             
                                             
                                             
                                             
                                            