lightning-solid
Berita :
Jairo 'Duri Dalam Daging' Kekalahan Terengganu FC
Jairo 'Duri Dalam Daging' Kekalahan Terengganu FC
Mohd Irsyadi Abu Bakar
15 jam yang lepas
35

KUALA NERUS, 31 Oktober - Jairo Da Silva  menjadi duri dalam daging buat Terengganu FC setelah mencetak jaringan hatrik yang membantu kemenangan Johor Darul Ta'zim di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, malam tadi.

Tiga gol dalam 13 minit yang dijaringkan penyerang kelahiran Brazil itu, membuatkan Terengganu FC tewas besar 0-5 di hadapan 3,871 penonton yang hadir.

Pelawat mengejutkan tuan rumah seawal minit keempat apabila Bergson da Silva melakukan rembatan deras dari luar kotak penalti hasil umpanan Ager Aketxe dan meletakkan Johor DT di depan 1-0.

Skuad kendalian Badrul Afzan sekali lagi dihukum pada minit ke-30, selepas umpanan Afiq Fazail disudahkan penyerang naturalisasi kebangsaan, Romel Morales dengan rembatan leret melepasi jangkauan Syed Nasrulhaq.

Peluang terbaik Terengganu FC untuk merapatkan kedudukan hanya hadir pada minit ke-39, apabila Akhyar Rashid berjaya melepasi kawalan pertahanan lawan di hadapan gawang, namun sepakannya melambung melepasi gawang.

Keputusan kekal 0-2 sehingga tamat separuh masa pertama.

Bersambung babak kedua, Sang Penyu berjaya menukar rentak permainan dengan mula menguasai bola.

Pada minit ke-52, Careca melakukan rembatan deras yang ditepis Syihan Hazmi.

Namun, kemasukan penyerang kelahiran Brazil, Jairo Da Silva menggantikan Romel memberikan suntikan baharu kepada jentera serangan Johor DT.

Impak kemasukannya segera dirasai setelah mencetak gol ketiga pelawat setelah menolak mudah hantaran lintang Antonio Garcia pada minit ke-63.

Tujuh minit berselang, Jairo kembali menunjukkan belangnya dengan menanduk hantaran Bergson untuk gol kedua peribadinya malam ini.

Tidak berhenti di situ, satu lagi gol dijaringkan Jairo pada minit ke-76 untuk menjarakkan kedudukan kepada 5-0.

Pada minit terakhir perlawanan, Johor DT dihadiahkan sepakan penalti, bagaimanapun kegagalan Bergson menjaringkan gol terakhir perlawanan, menghidupkan semula sorakan penyokong Terengganu FC.

Keputusan 0-5 meletakkan Terengganu FC di kedudukan keempat liga dengan 13 mata. 

Manakala, Johor DT terus merajai Liga Super 2025 dengan 27 mata.








Tag :

Sukan

Artikel Berkaitan