KUALA LUMPUR, 1 November – Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim, mempersoalkan ketiadaan klausa yang jelas melindungi kedaulatan negara dalam Perjanjian Timbal Balik Perdagangan (ART) antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS), berbanding perjanjian serupa yang dimeterai oleh Kemboja dengan negara kuasa besar itu.
Menurut beliau, hasil penelitian terhadap dokumen rasmi kedua-dua perjanjian menunjukkan perbezaan ketara dalam Klausa 5.1.1, yang membawa implikasi besar terhadap hak sesebuah negara menentukan dasar sendiri.
“Dalam perjanjian Kemboja–AS, terdapat frasa jelas bahawa sebarang langkah mesti dilaksanakan ‘in a manner that does not infringe on Cambodia’s sovereign interestsʼ.
“Tetapi dalam perjanjian Malaysia–AS, klausa itu tiada, sebaliknya Malaysia disebut ‘shall adopt or maintain a measure with equivalent restrictive effect’ bagi menangani ‘shared economic or national security concern’,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri ASEAN 2nd Tripartite Forum 'Bridging the Gap – Ensuring Affordability, Reliability and Sustainability in Renewable Energy' yang dianjurkan oleh AIPA, Parlimen Malaysia dan ERIA di sini pagi tadi.
Dalam forum itu, beliau turut sempat bertukar pandangan dengan H.E. Khut Chandara, Ahli Parlimen dari Kemboja, mengenai isu keselamatan tenaga, ketahanan ekonomi rantau ASEAN, serta cabaran mempertahankan kedaulatan dasar di tengah persaingan kuasa besar dunia.
“Apa yang menarik, Kemboja menegaskan bahawa setiap keputusan mesti mengambil kira kepentingan kedaulatan negaranya.
“Malaysia pula seolah-olah terikat untuk mengikuti sekatan atau langkah yang ditentukan AS atas nama ‘shared concern’.
Perbezaan kecil pada ayat, tapi besar dari sudut prinsip,” ujar beliau.
Ahmad Amzad menegaskan bahawa walaupun beliau tidak menolak keperluan hubungan perdagangan antarabangsa, namun setiap kerjasama perlu berpaksikan maruah, kedaulatan dan hak menentukan dasar negara sendiri.
Beliau menyeru agar Malaysia meneliti semula setiap perjanjian strategik dengan kuasa besar dunia supaya tidak menjejaskan dasar nasional dan arah ekonomi negara dalam jangka panjang.