lightning-solid
Berita :

Artikel "Sukan" Terkini

Jenama Antarabangsa Finland Taja Terengganu FC
Jenama Antarabangsa Finland Taja Terengganu FC
KUALA NERUS, 19 Ogos – Terengganu FC (TFC) melakar sejarah baharu apabila menerima tajaan rasmi daripada Ice Power, jenama antarabangsa berasaskan teknologi dari Finland dengan pakej Bronze, sekali gus memperkukuhkan ekosistem penajaan bola sepak negeri dan mengangkat reputasi kelab ke tahap lebih tinggi. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri merangkap Pengerusi Lembaga Pengarah Terengganu Football Club Sdn. Bhd. (TFCSB), Hishamuddin Abdul Karim berkata kerjasama itu menjadi titik tolak penting hubungan strategik antara sektor sukan dan industri. "Majlis ini adalah satu lagi langkah penting dalam usaha memperkukuhkan kerjasama strategik antara sektor sukan dan pihak industri, khususnya dalam menyediakan sokongan terbaik kepada atlet serta pemain bola sepak dalam negeri kita," katanya ketika berucap di Majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Ice Power dan TFCSB yang dimeterai di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di sini hari ini. Beliau menjelaskan kehadiran Synteq Medical sebagai pengedar rasmi Ice Power membuktikan keyakinan global terhadap usaha pembangunan bola sepak negeri ini dan akan digunakan sepenuhnya dalam pengurusan pasukan. "Melalui kerjasama ini, Synteq Medical merupakan pengedar produk rasmi Ice Power, yang merupakan produk antarabangsa berasaskan teknologi dari Finland, akan turut digunakan oleh pasukan Terengganu FC untuk pengurusan pasukan seharian. "Hal ini secara tidak langsung menunjukkan sokongan dan keyakinan sebuah jenama global terhadap usaha pembangunan bola sepak pasukan Terengganu FC," tambahnya. Menurut Hishamuddin, kemasukan Ice Power bukan sahaja memberi kelebihan prestasi, malah mampu melonjakkan nilai komersial serta memperkukuhkan reputasi TFC di pentas bola sepak tanah air. "Kemasukan Ice Power menyertai TFC pada kali ini tentu sekali akan membantu ekosistem penajaan Terengganu FC dan memberikan impak positif dan signifikan, bukan sahaja dari sudut sokongan prestasi pasukan, malah dari sudut komersial dan reputasi kelab. "Ini membuktikan bahawa sukan, khususnya bola sepak, mempunyai nilai pasaran dan potensi besar," jelasnya. Beliau menambah, penajaan antarabangsa ini turut diharap dapat memberi manfaat lebih luas kepada rakyat negeri, bukan sekadar atlet dan pemain. "Kita juga mengharapkan Ice Power terus melebar ke seluruh negeri Terengganu, bukan sahaja untuk atlet, bukan sahaja untuk pemain bola sepak, tetapi untuk kegunaan bagi masyarakat pelbagai lapisan di kalangan rakyat negeri ini. "Saya percaya kehadiran penaja antarabangsa seperti Ice Power ini akan membuka lebih banyak peluang dan menjadi pemangkin kepada penyertaan lebih ramai penaja korporat di masa akan datang untuk bersama-sama membangunkan industri bola sepak negeri dan negara," ujarnya. Dalam ucapannya juga, Hishamuddin tidak lupa merakamkan penghargaan kepada Synteq Medical atas keyakinan serta kerjasama yang diberikan dalam menjayakan hasrat besar ini. "Bagi pihak TFCSB, saya ingin merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada pihak Synteq Medical atas keyakinan dan kesudian untuk bersama-sama dalam menjayakan hasrat besar kita pada kali ini. "Saya juga mengharapkan Synteq Medical akan berjaya menembusi pasaran di negeri Terengganu dan seterusnya terus melebar ke seluruh negara dengan penuh meyakinkan," tambahnya. Sementara itu, wakil Ice Power dari Pro Skill Leverage, Harideheren menegaskan kerjasama dengan TFC merupakan penajaan pertama mereka dalam arena bola sepak Malaysia selepas aktif menaja acara sukan sejak 2021. "Kerjasama dengan TFCSB merupakan langkah pertama kami dalam penajaan pasukan bola sepak di Malaysia. "Ice Power telah menaja beberapa acara sukan dan kesihatan seperti Score Run, Majlis Perbandaran Ampang Jaya Run, serta Garmin Run," katanya. Beliau menambah, jenama dari Finland itu kini menjadi penaja rasmi pasukan hoki ais kebangsaan Finland selain kejohanan badminton antarabangsa. "Ice Power merupakan penaja rasmi pasukan hoki ais kebangsaan Finland. "Serta kejohanan badminton antarabangsa Arctic Open yang dianjurkan Badminton Finland," jelasnya.
19 Aug 25
426
Pra Pelancaran IGMRR 2025 Meriah, Angkat Tema 'Be The Change, To New Beginning'
Pra Pelancaran IGMRR 2025 Meriah, Angkat Tema 'Be The Change, To New Beginning'
KUALA TERENGGANU, 18 Ogos – Majlis Pra Pelancaran International Golden Monsoon Ride & Run (IGMRR) 2025 berlangsung meriah di Taman Panoramik, Pesisir Payang, Sabtu lalu sebagai acara pembuka tirai kepada Terengganu Inc Challenge Series. Acara utama dijadualkan berlangsung pada 19 hingga 20 Disember 2025 di sekitar bandar raya Kuala Terengganu dengan pengisian pelbagai kategori berbasikal dan larian. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Hishamuddin Abdul Karim berkata, IGMRR 2025 tampil dengan nafas baharu melalui tema 'Be The Change, To New Beginning' yang menekankan semangat perubahan serta permulaan baharu. “Selain mengekalkan acara tradisi, penganjur turut memperkenalkan kepelbagaian acara seperti Race on Road, Cabaran Duathlon, Fun Ride dan Fun Run yang bakal menjadi tarikan utama di bandar Kuala Terengganu,” katanya ketika berucap pada majlis tersebut. Majlis perasmian pra pelancaran turut dihadiri Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Fadhlirahmi Zulkifli; Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Inc, Dato’ Burhanuddin Hilmi Mohamed @ Harun; Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu, Ahmad Syahrizal Yahaya; Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri, Hilman Hajijan; Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri, Asmadi Mohamad serta Ketua Pegawai Eksekutif TSG, Che Ku Izmuddin Che Ku Mahmood. Turut hadir ialah ketua-ketua syarikat di bawah Kumpulan Terengganu Inc.   Beliau berkata, pemilihan penganjur utama bagi setiap edisi ditentukan melalui sistem penggiliran yang dilaksanakan oleh Terengganu Inc Challenge Series. “Untuk edisi kali ini, Syarikat Air Terengganu (SATU) dipilih sebagai penganjur utama. Sistem penggiliran ini memberi peluang sama rata kepada syarikat-syarikat utama di bawah Kumpulan Terengganu Inc untuk menonjolkan peranan masing-masing,” jelasnya. Selain itu, penganjur menyediakan hadiah utama berupa sebuah kereta Proton S70 Eksekutif kepada peserta bertuah, di samping pelbagai hadiah sampingan lain bagi memeriahkan acara. Orang ramai dijemput hadir memeriahkan program hujung tahun ini yang dijangka menjadi antara acara sukan dan rekreasi terbesar di Terengganu.      
18 Aug 25
82
366 Hari Getir Untuk Terengganu Tunjuk Nelang
366 Hari Getir Untuk Terengganu Tunjuk Nelang
Berbaki 365 hari menjelang Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 yang akan berlangsung di Selangor, kontinjen SUKMA Terengganu digesa melipat gandakan usaha bagi menghadapi temasya sukan terbesar kebangsaan itu.
17 Aug 25
39
Terengganu Pacu Bukit Bubus ke Pentas Antarabangsa
Terengganu Pacu Bukit Bubus ke Pentas Antarabangsa
Kerajaan Terengganu memperkukuh agenda pelancongan sukan udara dengan memacu Bukit Bubus di Tembila sebagai hab bertaraf antarabangsa menerusi penganjuran Terengganu International Air Festival (TIAF), yang disasar mencapai kemuncak pada Tahun Melawat Terengganu 2027.
10 Aug 25
47
Terengganu Pacu Bukit Bubus ke Pentas Antarabangsa
Terengganu Pacu Bukit Bubus ke Pentas Antarabangsa
BESUT, 9 Ogos – Kerajaan Terengganu memperkukuh agenda pelancongan sukan udara dengan memacu Bukit Bubus di Tembila sebagai hab bertaraf antarabangsa menerusi penganjuran Terengganu International Air Festival (TIAF), yang disasar mencapai kemuncak pada Tahun Melawat Terengganu 2027. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, penganjuran tahun ini merekodkan penyertaan sembilan negara melibatkan 66 peserta, sekali gus melonjakkan status TIAF daripada acara nasional kepada antarabangsa. "Bila sudah melebihi lima negara, kita boleh angkat program ini sebagai antarabangsa. "Tahun hadapan Bukit Bubus akan jadi tuan rumah kepada Liga Negara-Negara Asia dan World Cup Paragliding," katanya pada sidang media selepas merasmikan TIAF 2025 di Besut Paragliding Park, Bukit Bubus, di sini semalam. Turut bersama, Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi, Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Besut, Azbi Salleh, ADUN Hulu Besut, Mohd Husaimi Hussin. Menurutnya, sokongan terhadap TIAF selari dengan komitmen negeri memposisikan Terengganu sebagai destinasi sukan ekstrem dan berprestij di rantau ini. "Ini melambangkan negeri Terengganu menyokong sukan-sukan yang ekstrem dan juga berprestij. "Sukan ini juga adalah 'signature event' negeri Terengganu di bawah Jabatan Pelancongan Negeri," jelasnya. Bagi memperkukuh daya saing penganjuran, kerajaan negeri memperuntukkan RM20,000 untuk kerja-kerja penyelenggaraan dan pengindahan kawasan Bukit Bubus, selain berusaha mendapatkan tambahan RM50,000 bagi menaik taraf infrastruktur termasuk cadangan memperkenalkan aktiviti rock climbing pada Air Festival 2026. "Kita mahu adakan sukan rock climbing untuk menambahkan lagi acara pada Air Festival 2026. "Kita akan mengangkat lagi supaya menjadi lebih besar menjelang 2027," tambah beliau. Razali turut menggesa Majlis Daerah Besut memastikan fasiliti dan imej kawasan sentiasa berada pada tahap terbaik. "Saya minta YDP Besut menceriakan lagi tempat ini, beberapa gerai usang itu perlu dibaik pulih. "Kebersihan juga adalah satu produk pelancongan negeri Terengganu," tegasnya. Beliau optimis penganjuran berskala antarabangsa itu akan memberi limpahan ekonomi kepada komuniti setempat, terutama peniaga kecil dan pengusaha tempatan. "Dengan program seperti ini, ia akan memberi manfaat kepada sosioekonomi setempat. "Bila festival ini diangkat ke peringkat antarabangsa, makin ramai lagi yang akan dapat manfaat," katanya.
09 Aug 25
1023
Terengganu FC Terima Bas Baharu
Terengganu FC Terima Bas Baharu
Terengganu FC (TFC) menerima sebuah bas rasmi serba baharu berwarna hitam daripada TRA Holidays Sdn Bhd, sekaligus mengukuhkan kerjasama jangka panjang lima musim antara syarikat pengangkutan dari Pulau Pinang itu dan Terengganu Football Club Sdn Bhd (TFCSB). 
31 Jul 25
1019
Terengganu FC Terima Bas Baharu
Terengganu FC Terima Bas Baharu
KUALA NERUS, 29 Julai – Terengganu FC (TFC) menerima sebuah bas rasmi serba baharu berwarna hitam daripada TRA Holidays Sdn Bhd, sekaligus mengukuhkan kerjasama jangka panjang lima musim antara syarikat pengangkutan dari Pulau Pinang itu dan Terengganu Football Club Sdn Bhd (TFCSB).  Bas tersebut tiba ke Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) pagi ini selepas merentasi Banjaran Titiwangsa, simbol komitmen dan semangat untuk TFC menjelang sepak mula Liga Malaysia Ogos nanti. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan Negeri, Hishamuddin Abdul Karim yang juga Pengerusi TFCSB, menyifatkan kerjasama ini sebagai satu langkah penting memperkukuh logistik pasukan.  "Pagi ini menandakan satu lagi urusan penting dalam usaha memperkukuhkan struktur dan keperluan logistik pasukan," katanya dalam Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara TFCSB dan syarikat TRA Holidays Sdn Bhd di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), di sini hari ini. Turut hadir, Pengarah Urusan TRA HOLIDAYS SDN BHD, Danial Tan Abdullah, Ahli Lembaga Pengarah TFCSB, Tengku Seri Bijaya Raja, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif TFCSB, Mohd Syahrizan Mohd Zain. Beliau turut memaklumkan bahawa TRA Holidays dilantik sebagai penaja kategori Silver dan penyedia perkhidmatan pengangkutan rasmi pasukan bagi tempoh lima musim.  "Kami amat berbesar hati dan mengalu-alukan TRA Holidays Sdn Bhd sebagai rakan penaja kategori Silver bagi musim 2025/2026. "Kita mengharapkan TRA Holidays akan jadi penyedia perkhidmatan pengangkutan rasmi pasukan bagi tempoh lima musim ke hadapan," ujarnya. Tambah Hishamuddin, TRA Holidays turut dikenali sebagai penaja pengangkutan rasmi Penang FC, dan kini mengorak langkah ke Pantai Timur bersama skuad Hitam Putih. Perlawanan pertama TFC akan bermula pada 10 Ogos menentang Penang FC di tempat lawan, sebelum kembali ke SSMZA bertemu PDRM FC lima hari kemudian. TFC juga bakal bertemu Imigresen FC dalam pusingan 16 Piala FA. Kerjasama ini turut diiktiraf sebagai bukti sokongan bukan sekadar kepada sukan, tetapi kepada semangat yang mendasarinya.  "Kerjasama ini mencerminkan kesungguhan pelbagai pihak dalam menyokong pembangunan sukan bola sepak negeri. "Saya percaya melalui sokongan padu daripada syarikat seperti TRA Holidays, TFC mampu mara bukan sahaja dari segi pencapaian tetapi juga kestabilan pengurusan dan kewangan," tambah beliau. Sementara itu, Pegawai Operasi TRA Holidays Sdn Bhd, Nur Safwan Md Salleh menyampaikan penghargaan kepada seluruh warga Terengganu.  "Petang semalam kami bertolak daripada Pulau Pinang, membelah Banjaran Titiwangsa untuk berada di majlis pagi ini, itu satu kebanggaan kami untuk Terengganu FC" katanya. Beliau menjelaskan bahawa penajaan ini bukan sekadar urusan di atas kertas tetapi satu ikatan emosional bersama penyokong.  "Penajaan ini bukanlah hanya satu kerjasama di atas kertas atau jersi, tapi ia adalah komitmen jangka masa panjang.  "Kami percaya bila kita sokong pasukan seperti TFC, kita bukan sahaja sokong sukan, tapi sokong semangat, perjuangan dan harapan yang dibawakan oleh pemain dan penyokong," jelasnya.  
29 Jul 25
366
Terengganu Tuan Rumah Sirkit Para Ping Pong Kebangsaan
Terengganu Tuan Rumah Sirkit Para Ping Pong Kebangsaan
KUALA NERUS, 27 Julai – Terengganu buat julung kalinya dipilih sebagai tuan rumah bagi penganjuran acara sukan berprestij, Sirkit 2 Para Ping Pong Kebangsaan Allianz-MSN-TTAM 2025 yang berlangsung di Ar-Riyadah Residence, Kuala Nerus bermula 23 hingga 27 Julai. Kejohanan yang dianjurkan oleh Majlis Sukan Negara Malaysia (MSN) dengan kerjasama Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), Jabatan Belia dan Sukan Negeri Terengganu (JBSNT), Allianz Malaysia serta Persatuan Ping Pong Para Malaysia (TTAM) itu berjaya menarik penyertaan seramai 108 atlet para dari seluruh negara, kecuali Kuala Lumpur dan Perak. Kejohanan yang mempertandingkan 16 kategori terbuka ini membabitkan penyertaan atlet berkeperluan intelektual (AI) dan fizikal, sekali gus menjadi platform penting untuk mengenal pasti bakat baharu selain menguji tahap persediaan atlet menghadapi temasya bertaraf lebih besar. Pengarah Bahagian PARA MSN, Joherman Amir, yang turut hadir memeriahkan kejohanan berkata, penganjuran di Terengganu mencerminkan perkembangan positif sukan para negara dan wajar dimartabatkan sebagai antara acara utama dalam kalendar PARA kebangsaan. “Prestasi atlet sangat membanggakan. Ini membuktikan bahawa sukan ping pong para semakin berkembang pesat dan berpotensi untuk terus diberi perhatian serius dalam pembangunan sukan OKU di Malaysia,” katanya dalam sidang media. Turut hadir, Presiden Persatuan Ping Pong Negeri Terengganu, Prof. Madya Dr. Mohd Asamudin A. Rahman. Pemilihan Ar-Riyadah Residence sebagai venue utama penganjuran disifatkan tepat kerana kemudahan mesra OKU yang kondusif serta sokongan logistik yang baik, menjadikan kejohanan ini antara yang paling teratur dan inklusif setakat ini. Penganjuran sirkit ini bukan sahaja mengukuhkan reputasi Terengganu sebagai penganjur bertaraf tinggi, malah menegaskan komitmen negeri ini dalam memperkasa pembangunan sukan OKU secara progresif dan holistik.    
26 Jul 25
249
Terengganu Buktikan Skuad Wanita Masih Berdaya Saing
Terengganu Buktikan Skuad Wanita Masih Berdaya Saing
KUALA TERENGGANU, 26 Julai - Skuad ragbi wanita Terengganu membuktikan potensi pemain akar umbi masih 'berkuasa' apabila membuka tirai Kejohanan Ragbi 7 Sepasukan Kebangsaan (National 7s 2025) dengan dua kemenangan meyakinkan, meskipun tidak dibarisi pemain kebangsaan bertaraf elit. Beraksi dalam kategori Wanita Terbuka, pasukan tuan rumah yang rata-ratanya terdiri daripada bekas pemain Sukan Malaysia (SUKMA) terdahulu mempamerkan keserasian tinggi apabila menewaskan Melaka 46-00 sebelum membenam Sarawak 50-00 di Stadium Ragbi Tengku Muhammad Ismail, Kompleks Sukan Negeri Terengganu. Pengurus pasukan, Ahmad Sujairi Johari berkata, kejayaan hari pertama itu adalah hasil keyakinan pasukan terhadap kekuatan dalaman yang dibentuk sejak dari peringkat remaja. "Kami tidak meletakkan skuad wanita Terengganu ini selaku pasukan pilihan bagi National 7s kali ini di mana kami hanya membariskan bekas-bekas pemain SUKMA terdahulu termasuk beberapa pemain lain untuk melengkapkan pasukan ini. Juga pasukan kami tidaklah didominasi oleh pemain-pemain berstatus kebangsaan. "Melihat pada keputusan perlawanan hari pertama ini, komunikasi serta keserasian dalam pasukan menjadi kelebihan buat kami ketika ini. "Cabaran sebenar untuk kami adalah pada keesokkan hari bagi penentuan peringkat kumpulan sebelum mara ke penentuan akhir pada Ahad ini," ujarnya. Prestasi cemerlang ini dilihat sebagai cerminan kepada keberkesanan program pembangunan sukan wanita di Terengganu yang konsisten melahirkan bakat-bakat berdaya saing walaupun tanpa pendedahan antarabangsa secara langsung. Meskipun tanpa status sebagai pasukan pilihan, skuad wanita Terengganu kini dilihat memiliki semangat dan momentum yang tepat untuk mencipta kejutan.
26 Jul 25
453
Kejohanan Ragbi 7s Kebangsaan 2025 Jadi Tumpuan
Kejohanan Ragbi 7s Kebangsaan 2025 Jadi Tumpuan
KUALA TERENGGANU, 25 Julai - Tirai Kejohanan Ragbi 7 Sepasukan (7s) Kebangsaan 2025 secara rasmi dibuka dan dijadualkan berlangsung selama tiga hari sehingga 27 Julai, di Stadium Ragbi Tengku Muhammad Ismail. Kejohanan yang berlangsung selama tiga hari sehingga 27 Julai itu menghimpunkan 41 pasukan dari seluruh negara berentap dalam empat kategori utama membabitkan lelaki dan wanita terbuka serta bawah 21 tahun. Sebanyak 139 perlawanan dijadualkan sepanjang tiga hari kejohanan, dengan melibatkan seramai 656 pemain dan pegawai pasukan, dibantu oleh 38 pegawai kejohanan. Antara pasukan yang mengambil bahagian termasuk Terengganu, Kelantan, Pahang, Johor, Selangor, Negeri Sembilan, Perlis, Kedah, Perak, Melaka, Sarawak, serta wakil dari Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Pulau Pinang dan Sabah merupakan dua negeri yang tidak menghantar wakil bagi edisi kali ini. Hari pertama menyaksikan pasukan Johor, Selangor dan Terengganu membuka langkah kanan dalam perlawanan sulung masing-masing. Dalam kategori Wanita Terbuka, Selangor memberi amaran awal kepada pencabar apabila membelasah Sarawak 48-0 dalam perlawanan yang berlangsung seawal jam 8 pagi.  Aksi penuh keyakinan dan disiplin terserlah dalam setiap gerakan serangan Selangor yang tidak memberi ruang langsung kepada Sarawak untuk mencipta mata. Sementara itu, dalam kategori Lelaki Terbuka, juara bertahan Johor meneruskan momentum kejayaan apabila menundukkan Negeri Sembilan dengan keputusan 14-0. Kecekapan barisan belakang dan kekentalan pertahanan Johor menjadi pemisah ketara antara kedua-dua pasukan dalam perlawanan yang berlangsung pada jam 9.03 pagi. Dalam kategori Bawah 21 Tahun Wanita, Johor sekali lagi mencuri tumpuan apabila membelasah Pahang 38-0. Kemenangan besar ini menjadi indikator awal bahawa skuad pembangunan negeri selatan itu berada dalam kelas tersendiri untuk edisi kali ini. Bagi tuan rumah Terengganu pula, semangat bermain di laman sendiri disalurkan dengan baik oleh skuad Lelaki Bawah 21 Tahun mereka yang berjaya menewaskan Melaka 27-7. Kejohanan ini turut menjadi pentas penting bagi pemilihan skuad kebangsaan ke Kejohanan Asia dan kelayakan ke temasya antarabangsa akan datang, termasuk peluang memburu emas di Sukan SEA yang kian hampir.  
25 Jul 25
115