lightning-solid
Berita :
Tour Gateh D’Tranung: Raileanu Kekal Kuasai Jersi Kuning
Tour Gateh D’Tranung: Raileanu Kekal Kuasai Jersi Kuning
Zahid Mustafar
8 jam yang lepas
65

MARANG, 3 November – Pelumba pasukan Malaysia Pro Cycling Team (MPC), Cristian Raileanu, terus mengekalkan cengkaman sebagai pendahulu keseluruhan dan kekal menyarung Jersi Kuning Raudah Cahaya Foundation walaupun menamatkan Peringkat Ketujuh Tour Gateh D’Tranung 2025 di tempat kedua semalam.

Perlumbaan sejauh 127.8 kilometer dari Kampung Lubuk Batu, Bandar Marang, melalui Wakaf Tapai dan menuju ke Puncak Bukit Lubuk Batu menampilkan cabaran mendaki dan jalan licin akibat hujan, sekali gus menjadikan peringkat ini antara yang paling sukar sepanjang kejohanan.

AMRZ0125.jpg 570.54 KB
Kemenangan peringkat dimenangi oleh Adne Willem Jan Van Engelen dari Terengganu Cycling Team (TSG) selepas melakukan pendakian agresif pada tiga kilometer terakhir. Kejayaan itu turut melonjakkan beliau ke tempat kedua dalam Klasifikasi Keseluruhan Individu, selain mengekalkan kedudukan dalam tiga teratas Klasifikasi Pendaki Terbaik (Jersi Bintik Merah TDM).

Raileanu kekal sebagai pelumba paling konsisten sepanjang tujuh peringkat dan dijangka mempertahankan jersi kuning pada peringkat penutup di Kuala Terengganu esok.

Dalam klasifikasi lain, Muhammad Zawawi Azman dari Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terus menguasai Jersi Bintik Merah TDM sebagai pendaki terbaik, manakala Mohamad Izzat Hilmi Abdul Halil, juga dari ATM, mengekalkan Jersi Hijau Ladang Rakyat selaku pelumba pecut terbaik.

AMRZ0670.jpg 872.24 KB
Jonas Muller dari pasukan MPC pula kekal sebagai peneraju Jersi Putih MSNT bagi pelumba bawah 23 tahun terbaik, diikuti rapat oleh pelumba muda TSG, Zhe Yie Kee, yang kini berada di kedudukan kedua klasifikasi tersebut.

Sementara itu, Muhamad Hakimi Haiqal Ahmad Sabri dari Raudah Cahaya Foundation Cycling Team (RCF) terus mengekalkan penguasaan sebagai pelumba kelab terbaik dengan Jersi Jingga KBS.

Peringkat akhir esok di Kuala Terengganu dijangka menjadi penentu gelaran keseluruhan kejohanan, dengan persaingan sengit dijangka berterusan antara Raileanu dan Engelen bagi menutup tirai Tour Gateh D’Tranung 2025 dengan penuh dramatik.


Artikel Berkaitan