lightning-solid
Berita :

Artikel "Sukan" Terkini

JPNT Galak Penganjuran Program Berkualiti, Fokus Tahun Melawat Terengganu 2027
JPNT Galak Penganjuran Program Berkualiti, Fokus Tahun Melawat Terengganu 2027
Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (JPNT) sentiasa mengalu-alukan mana-mana pihak untuk menganjurkan pelbagai program di negeri ini, khususnya yang mampu memberi limpahan ekonomi kepada rakyat.
02 Sep 25
94
4X4 Merdeka Challenge Angkat Terengganu Destinasi Sukan Lasak
4X4 Merdeka Challenge Angkat Terengganu Destinasi Sukan Lasak
Cabaran sukan lasak 4X4 Merdeka Challenge 2025 bukan sahaja berjaya menghimpunkan peminat kenderaan pacuan empat roda dari seluruh negara, malah turut membuka lembaran baharu bagi perkembangan sukan ekstrem dan pelancongan di negeri ini.
02 Sep 25
98
JPNT Galak Penganjuran Program Berkualiti, Fokus Tahun Melawat Terengganu 2027
JPNT Galak Penganjuran Program Berkualiti, Fokus Tahun Melawat Terengganu 2027
KUALA NERUS, 30 Ogos – Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (JPNT) sentiasa mengalu-alukan mana-mana pihak untuk menganjurkan pelbagai program di negeri ini, khususnya yang mampu memberi limpahan ekonomi kepada rakyat. Pengarah JPNT, Hilman Hajijan berkata, pihaknya menekankan kepentingan penyusunan dan kawal selia setiap program agar ia bukan sahaja berlangsung meriah, tetapi turut memberi impak positif yang besar kepada penduduk setempat. “Industri ini jelas menggerakkan aktiviti ekonomi tempatan kerana pelancong yang hadir akan berbelanja, sekali gus merancakkan perniagaan masyarakat sekitar. “Justeru, JPNT akan memastikan setiap program disusun dengan baik,” katanya. Hilman menegaskan, setiap penganjur digalakkan untuk menghantar permohonan rasmi dan berhubung dengan JPNT terlebih dahulu. Langkah itu penting jelasnya bagi menyelaras tarikh penganjuran, terutamanya ketika musim cuti umum, bagi memaksimumkan potensi kehadiran pelancong dan kesan ekonomi kepada negeri. Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis perasmian serta pelepasan 130 peserta “Terengganu Merdeka Challenge” yang menghimpunkan peminat pacuan empat roda di Bandar Baru, Kuala Nerus, hari ini. Mengulas lanjut, Hilman menegaskan JPNT tidak pernah menolak mana-mana bentuk program selagi ia menepati syariah dan berupaya memberi manfaat kepada ekonomi negeri. “Kita akan sentiasa memberikan sokongan, namun saya berharap setiap penganjur berhubung dahulu dengan JPNT untuk berbincang dan menyelaras agar program lebih harmonis. “Usaha ini juga penting bagi kita menyenaraikan setiap aktiviti sempena Tahun Melawat Terengganu 2027,” ujarnya.
30 Aug 25
886
4X4 Merdeka Challenge Angkat Terengganu Destinasi Sukan Lasak
4X4 Merdeka Challenge Angkat Terengganu Destinasi Sukan Lasak
KUALA NERUS, 29 Ogos – Cabaran sukan lasak 4X4 Merdeka Challenge 2025 bukan sahaja berjaya menghimpunkan peminat kenderaan pacuan empat roda dari seluruh negara, malah turut membuka lembaran baharu bagi perkembangan sukan ekstrem dan pelancongan di negeri ini. Pengarah Tourism Malaysia Wilayah Pantai Timur, Mohd Azizul Arif Yahya, berkata penganjuran kali ini mencatatkan penyertaan terbesar dengan kehadiran 130 peserta dari seluruh Malaysia, sekali gus menunjukkan potensi besar acara ini untuk diketengahkan sebagai produk pelancongan Terengganu. “Ini satu aktiviti yang sangat baik dan wajar dijadikan acara tahunan serta dimasukkan dalam kalendar pelancongan negeri. “Malah, ia berpotensi menjadi program berskala besar di rantau Timur,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan program serta menyempurnakan pelepasan peserta di Bandar Baharu Kuala Nerus, hari ini. Turut hadir, Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, Hilman Hajijan. Mengulas lanjut, Mohd Azizul menegaskan konsep sport tourism seperti ini mampu memberi limpahan ekonomi kepada masyarakat setempat. “Peserta bukan datang bersendirian, sebaliknya membawa pasukan serta ahli keluarga untuk berbelanja di Terengganu. “Secara tidak langsung, ia menjana ekonomi tempatan dalam pelbagai bentuk dan memberi manfaat kepada penduduk sekitar,” jelasnya. Menurut beliau, perbincangan bersama Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu sedang dibuat agar program ini dapat disenaraikan dalam kalendar pelancongan negeri, khususnya menjelang Tahun Melawat Terengganu 2027. Tambahnya lagi, kelebihan Terengganu dalam aspek eco-tourism menjadikan negeri ini lokasi sesuai untuk penganjuran aktiviti sukan lasak. “Bentuk muka bumi Terengganu sangat menarik dan menjadi faktor penarik utama untuk terus menganjurkan acara sebegini di masa depan,” katanya.  
29 Aug 25
1998
Sultan Mizan Berkenan Rasmi Kejohanan Lawn Bowls Kebangsaan 2025
Sultan Mizan Berkenan Rasmi Kejohanan Lawn Bowls Kebangsaan 2025
KUALA TERENGGANU, 28 Ogos – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin Ibni Al-Marhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah, Sultan Terengganu, berkenan mencemar duli berangkat ke Majlis Perasmian Kejohanan Lawn Bowls Kebangsaan 2025, acara tahunan terbesar anjuran Persekutuan Lawn Bowls Malaysia (PLBM). Keberangkatan baginda ke majlis tersebut menyerlahkan keprihatinan serta sokongan berterusan Seri Paduka terhadap pembangunan sukan, khususnya lawn bowls, yang semakin mendapat tempat dalam kalangan rakyat. Majlis turut dihadiri oleh Timbalan Menteri Belia dan Sukan Malaysia, Adam Adli, Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Dato’ Nara Setia, Pegawai Kewangan Negeri Terengganu, Dato’ Mohd Azmi Mohamad Daham, serta Presiden PLBM, Datuk Awalan Abdul Aziz. Kejohanan yang menghimpunkan atlet dari seluruh negara itu menjadi medan penting untuk mencungkil bakat baharu, selain menguji keupayaan atlet berpengalaman bagi menghadapi kejohanan di peringkat antarabangsa. Ia juga diyakini mampu memperkukuh kedudukan Terengganu sebagai salah satu pusat pembangunan sukan lawn bowls yang aktif di Malaysia. Penganjuran tahunan ini bukan sahaja menyerlahkan komitmen terhadap pembangunan sukan, bahkan turut memberi limpahan manfaat kepada sektor pelancongan dan ekonomi setempat melalui kehadiran kontinjen, pegawai serta penyokong dari seluruh negara. KDYMM Tuanku Sultan turut berkenan mencuba sukan lawn bowls, memperlihatkan sokongan baginda terhadap pembangunan sukan tersebut di Malaysia. Sukan lawn bowls negara terus mencipta sejarah apabila Nor Farah Ain Abdullah dinobatkan sebagai Olahragawati Kebangsaan 2024, satu pencapaian sulung bagi atlet lawn bowls wanita. Farah sebelum ini muncul Juara Dunia dalam World Bowls Indoor Championship 2024 di Guernsey, United Kingdom, dan pernah menduduki tangga No.1 Dunia dalam World Bowls Series Ranking, beliau turut dinobatkan sebagai Atlet Terbaik di Anugerah Sukan SAM 2024. Tahun 2025 pula menyaksikan kejayaan berganda apabila pasukan negara muncul Juara Keseluruhan di Asia Lawn Bowls Championship di Clark, Filipina, dengan meraih 7 daripada 11 pingat emas. Tiga daripada atlet yang menjulang kejayaan ini berasal dari Terengganu, iaitu Muhammad Idham Amin, Norzamziezah Ahmad dan Nurul Balqis Anisha. Selain itu, Malaysia turut merangkul kejayaan di kejohanan antarabangsa lain seperti Lion City Cup 2025 di Singapura dan Australia Open 2025, di mana Pasangan Wanita Negara berjaya memenangi pingat perak. Atlet wanita negara, Emma Firyana Saroji, juga menyumbang pencapaian dengan membawa pulang pingat gangsa dari World Bowls Indoor Championship 2025 di Aberdeen, Scotland. Penganjuran kejohanan kali ini bukan sahaja menyerlahkan komitmen terhadap pembangunan sukan, malah diyakini mampu memperkukuh kedudukan Terengganu sebagai salah satu pusat pembangunan lawn bowls negara. Dalam masa sama, limpahan manfaat turut dijangka kepada sektor pelancongan dan ekonomi setempat melalui kehadiran kontinjen, pegawai serta penyokong dari seluruh negara.  
28 Aug 25
147
Penganjur RXZ Members Nafi Dakwaan Kerajaan Terengganu Tak Bantu
Penganjur RXZ Members Nafi Dakwaan Kerajaan Terengganu Tak Bantu
KUALA TERENGGANU, 27 Ogos – Penganjur RXZ Members 7.0 tampil menafikan dakwaan tular di media sosial yang mendakwa Kerajaan Terengganu tidak memberikan sebarang bantuan terhadap penganjuran acara permotoran terbesar negara itu. Dalam satu kenyataan rasmi semalam, pihak penganjur menegaskan kerajaan negeri sentiasa memberikan sokongan dalam pelbagai bentuk setiap kali penganjuran berlangsung. “Sokongan kerajaan negeri tetap ada sama ada melalui bantuan kewangan, kemudahan, khidmat nasihat mahupun kerjasama secara tidak langsung. Sokongan ini amat kami hargai. “Tanpa bantuan tersebut, RXZ Members tidak mungkin berada pada tahap sekarang,” ujar kenyataan itu yang dimuat naik di media sosial. Pihak penganjur juga menolak dakwaan bahawa acara tersebut digunakan sebagai platform politik, sebaliknya menegaskan RXZ Members 7.0 merupakan program santai yang mengumpulkan peminat motosikal dari seluruh negara. “RXZ Members 7.0 adalah program santai. Fokusnya adalah untuk peminat motosikal berkumpul, berukhuwah dan mengeratkan hubungan sesama masyarakat, bukan untuk tujuan politik,” jelas mereka. Dalam pada itu, penganjur turut merakamkan penghargaan kepada rakyat Terengganu yang terus menyokong acara ini sejak edisi pertama. “Doa dan semangat kalian menjadi kekuatan kami untuk menjayakan RXZ Members dari tahun ke tahun,” katanya.
27 Aug 25
3953
Jenama Antarabangsa Finland Taja Terengganu FC
Jenama Antarabangsa Finland Taja Terengganu FC
Terengganu FC (TFC) melakar sejarah baharu apabila menerima tajaan rasmi daripada Ice Power, jenama antarabangsa berasaskan teknologi dari Finland dengan pakej Bronze, sekali gus memperkukuhkan ekosistem penajaan bola sepak negeri dan mengangkat reputasi kelab ke tahap lebih tinggi.
20 Aug 25
73
CEO Baharu TFC Janji Profesionalisme
CEO Baharu TFC Janji Profesionalisme
KUALA NERUS, 20 Ogos – Pelantikan Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Football Club Sdn. Bhd. (TFCSB), Syeikh Farouk Sheikh Mohamed Al-Bajrai, membuka lembaran baharu buat skuad Penyu dengan komitmen membawa bola sepak negeri ke tahap lebih profesional di samping memberi impak terhadap ekonomi rakyat. Ketua Pegawai Eksekutif TFCSB itu menzahirkan penghargaan kepada Ahli Lembaga Pengarah yang memberi kepercayaan untuk beliau menerajui kelab gergasi Pantai Timur itu.  "Pertama sekali saya mengucapkan terima kasih kepada Ahli Lembaga Pengarah TFCSB kerana telah memberi saya peluang untuk menerajui Terengganu FC (TFC). "Saya mengharapkan pengalaman saya dalam bidang korporat di dalam dan luar negara akan memberi sesuatu yang baharu kepada negeri Terengganu, bukan sahaja kepada pasukan bola sepak, tetapi juga dalam menaikkan taraf ekonomi rakyat Terengganu," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Ice Power dan TFCSB yang dimeterai di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di sini hari ini. Beliau turut menegaskan kesepakatan bersama Ahli Lembaga Pengarah untuk memperkukuh tahap bola sepak negeri secara profesional.  "Saya punyai persetujuan dengan Ahli Lembaga Pengarah adalah untuk menaikkan taraf standard bola sepak negeri Terengganu secara profesionalisme. "Banyak yang perlu kita baiki, dari segi infrastruktur, nilai komersial, dan juga kedudukan kewangan,” jelas beliau. Dengan pengalaman luas di peringkat antarabangsa, beliau optimis mampu membawa perubahan besar kepada TFC dan seluruh penyokongnya.  "Daripada itu saya punya harapan dari pengalaman-pengalaman saya berada di luar akan membawa bola sepak negeri Terengganu kepada satu tahap yang lebih tinggi selepas ini," ujarnya.
20 Aug 25
217
Jenama Antarabangsa Finland Taja Terengganu FC
Jenama Antarabangsa Finland Taja Terengganu FC
KUALA NERUS, 19 Ogos – Terengganu FC (TFC) melakar sejarah baharu apabila menerima tajaan rasmi daripada Ice Power, jenama antarabangsa berasaskan teknologi dari Finland dengan pakej Bronze, sekali gus memperkukuhkan ekosistem penajaan bola sepak negeri dan mengangkat reputasi kelab ke tahap lebih tinggi. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri merangkap Pengerusi Lembaga Pengarah Terengganu Football Club Sdn. Bhd. (TFCSB), Hishamuddin Abdul Karim berkata kerjasama itu menjadi titik tolak penting hubungan strategik antara sektor sukan dan industri. "Majlis ini adalah satu lagi langkah penting dalam usaha memperkukuhkan kerjasama strategik antara sektor sukan dan pihak industri, khususnya dalam menyediakan sokongan terbaik kepada atlet serta pemain bola sepak dalam negeri kita," katanya ketika berucap di Majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Ice Power dan TFCSB yang dimeterai di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di sini hari ini. Beliau menjelaskan kehadiran Synteq Medical sebagai pengedar rasmi Ice Power membuktikan keyakinan global terhadap usaha pembangunan bola sepak negeri ini dan akan digunakan sepenuhnya dalam pengurusan pasukan. "Melalui kerjasama ini, Synteq Medical merupakan pengedar produk rasmi Ice Power, yang merupakan produk antarabangsa berasaskan teknologi dari Finland, akan turut digunakan oleh pasukan Terengganu FC untuk pengurusan pasukan seharian. "Hal ini secara tidak langsung menunjukkan sokongan dan keyakinan sebuah jenama global terhadap usaha pembangunan bola sepak pasukan Terengganu FC," tambahnya. Menurut Hishamuddin, kemasukan Ice Power bukan sahaja memberi kelebihan prestasi, malah mampu melonjakkan nilai komersial serta memperkukuhkan reputasi TFC di pentas bola sepak tanah air. "Kemasukan Ice Power menyertai TFC pada kali ini tentu sekali akan membantu ekosistem penajaan Terengganu FC dan memberikan impak positif dan signifikan, bukan sahaja dari sudut sokongan prestasi pasukan, malah dari sudut komersial dan reputasi kelab. "Ini membuktikan bahawa sukan, khususnya bola sepak, mempunyai nilai pasaran dan potensi besar," jelasnya. Beliau menambah, penajaan antarabangsa ini turut diharap dapat memberi manfaat lebih luas kepada rakyat negeri, bukan sekadar atlet dan pemain. "Kita juga mengharapkan Ice Power terus melebar ke seluruh negeri Terengganu, bukan sahaja untuk atlet, bukan sahaja untuk pemain bola sepak, tetapi untuk kegunaan bagi masyarakat pelbagai lapisan di kalangan rakyat negeri ini. "Saya percaya kehadiran penaja antarabangsa seperti Ice Power ini akan membuka lebih banyak peluang dan menjadi pemangkin kepada penyertaan lebih ramai penaja korporat di masa akan datang untuk bersama-sama membangunkan industri bola sepak negeri dan negara," ujarnya. Dalam ucapannya juga, Hishamuddin tidak lupa merakamkan penghargaan kepada Synteq Medical atas keyakinan serta kerjasama yang diberikan dalam menjayakan hasrat besar ini. "Bagi pihak TFCSB, saya ingin merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada pihak Synteq Medical atas keyakinan dan kesudian untuk bersama-sama dalam menjayakan hasrat besar kita pada kali ini. "Saya juga mengharapkan Synteq Medical akan berjaya menembusi pasaran di negeri Terengganu dan seterusnya terus melebar ke seluruh negara dengan penuh meyakinkan," tambahnya. Sementara itu, wakil Ice Power dari Pro Skill Leverage, Harideheren menegaskan kerjasama dengan TFC merupakan penajaan pertama mereka dalam arena bola sepak Malaysia selepas aktif menaja acara sukan sejak 2021. "Kerjasama dengan TFCSB merupakan langkah pertama kami dalam penajaan pasukan bola sepak di Malaysia. "Ice Power telah menaja beberapa acara sukan dan kesihatan seperti Score Run, Majlis Perbandaran Ampang Jaya Run, serta Garmin Run," katanya. Beliau menambah, jenama dari Finland itu kini menjadi penaja rasmi pasukan hoki ais kebangsaan Finland selain kejohanan badminton antarabangsa. "Ice Power merupakan penaja rasmi pasukan hoki ais kebangsaan Finland. "Serta kejohanan badminton antarabangsa Arctic Open yang dianjurkan Badminton Finland," jelasnya.
19 Aug 25
410
Pra Pelancaran IGMRR 2025 Meriah, Angkat Tema 'Be The Change, To New Beginning'
Pra Pelancaran IGMRR 2025 Meriah, Angkat Tema 'Be The Change, To New Beginning'
KUALA TERENGGANU, 18 Ogos – Majlis Pra Pelancaran International Golden Monsoon Ride & Run (IGMRR) 2025 berlangsung meriah di Taman Panoramik, Pesisir Payang, Sabtu lalu sebagai acara pembuka tirai kepada Terengganu Inc Challenge Series. Acara utama dijadualkan berlangsung pada 19 hingga 20 Disember 2025 di sekitar bandar raya Kuala Terengganu dengan pengisian pelbagai kategori berbasikal dan larian. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Hishamuddin Abdul Karim berkata, IGMRR 2025 tampil dengan nafas baharu melalui tema 'Be The Change, To New Beginning' yang menekankan semangat perubahan serta permulaan baharu. “Selain mengekalkan acara tradisi, penganjur turut memperkenalkan kepelbagaian acara seperti Race on Road, Cabaran Duathlon, Fun Ride dan Fun Run yang bakal menjadi tarikan utama di bandar Kuala Terengganu,” katanya ketika berucap pada majlis tersebut. Majlis perasmian pra pelancaran turut dihadiri Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Fadhlirahmi Zulkifli; Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Inc, Dato’ Burhanuddin Hilmi Mohamed @ Harun; Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu, Ahmad Syahrizal Yahaya; Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri, Hilman Hajijan; Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri, Asmadi Mohamad serta Ketua Pegawai Eksekutif TSG, Che Ku Izmuddin Che Ku Mahmood. Turut hadir ialah ketua-ketua syarikat di bawah Kumpulan Terengganu Inc.   Beliau berkata, pemilihan penganjur utama bagi setiap edisi ditentukan melalui sistem penggiliran yang dilaksanakan oleh Terengganu Inc Challenge Series. “Untuk edisi kali ini, Syarikat Air Terengganu (SATU) dipilih sebagai penganjur utama. Sistem penggiliran ini memberi peluang sama rata kepada syarikat-syarikat utama di bawah Kumpulan Terengganu Inc untuk menonjolkan peranan masing-masing,” jelasnya. Selain itu, penganjur menyediakan hadiah utama berupa sebuah kereta Proton S70 Eksekutif kepada peserta bertuah, di samping pelbagai hadiah sampingan lain bagi memeriahkan acara. Orang ramai dijemput hadir memeriahkan program hujung tahun ini yang dijangka menjadi antara acara sukan dan rekreasi terbesar di Terengganu.      
18 Aug 25
72