lightning-solid
Berita :
Wan Abdul Rahman Cemerlang di Setiu, TSG Terus Dominasi Jelajah D'Tranung
Wan Abdul Rahman Cemerlang di Setiu, TSG Terus Dominasi Jelajah D'Tranung
Ahmad Zaeem Zainudin
6 jam yang lepas
116

SETIU, 2 November - Pelumba Terengganu Cycling Team (TSG), Wan Abdul Rahman Hamdan, mengekalkan prestasi konsisten apabila muncul juara peringkat keenam Kejohanan Tour Gateh D’Tranung 2025 yang berlangsung di daerah Setiu semalam. 

Perlumbaan sejauh 144.2 kilometer itu bermula dan berakhir di pekarangan Majlis Daerah Setiu (Permaisuri), melalui laluan mencabar melibatkan kawasan pesisir dan pedalaman yang melibatkan tiga zon pecut dan dua zon mendaki.

Antara kawasan yang terlibat dalam laluan peringkat keenam pada kali ini termasuklah Kampung Guntung Luar, Kampung Penarik, Kampung Merang, Batu Rakit, Tepoh, Felda Belara, Teris, Pelong, Sungai Bari dan Kampung Rahmat.

IMG_20251101_192334_769.jpg 3.11 MB
Di sebalik keadaan cuaca tidak menentu dengan pancaran terik serta hujan renyai di beberapa zon laluan, Wan Abdul Rahman tetap menunjukkan daya tahan fizikal dan mental untuk menamatkan saingan di tempat pertama, menewaskan pelumba Raudah Cahaya Foundation (RCF), Lucas Carstensen, yang berada di tempat kedua, manakala wakil Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Mohamad Izzat Hilmi Abdul Halil, melengkapkan podium di tempat ketiga.

Dalam kategori lain, pelumba berpengalaman Mohd Zamri Saleh dari Terengganu Cycling Academy Team meneruskan kecemerlangan dengan sekali lagi dinobatkan sebagai pelumba tempatan terbaik (Best Local Club Rider), sementara kategori Bawah 23 Tahun (U23) dimenangi oleh Naufal Faris Taufiqulhakim dari Pontianak Wijaya Racing Team (Indonesia).

IMG_20251101_192533_685.jpg 2.56 MB
Bagi kategori pendakian, Muhammad Zawawi Azman dari ATM terus mengekalkan penguasaan apabila sekali lagi mengekori pelumba lain di kawasan berbukit untuk mengekalkan Jersi Polka Dot TDM selaku pendaki terbaik.

Saingan pecut pula menyaksikan Wan Abdul Rahman Hamdan muncul pelumba terpantas peringkat keenam dengan kutipan 15 mata, diikuti Lucas Carstensen (12 mata) dan Mohamad Izzat Hilmi (9 mata).

Selepas enam peringkat, jersi-jersi utama masih dikekalkan oleh pemegang sedia ada - Christian Raileanu (Malaysia Pro Cycling Team) terus mendahului keseluruhan dengan Jersi Kuning Raudah Cahaya Foundation, diikuti rakan sepasukannya Jonas Muller yang mengekalkan Jersi Putih MSNT selaku pelumba terbaik bawah 23 tahun.

IMG_20251101_192637_080.jpg 1.82 MB
Di samping itu, Izzat Hilmi (ATM) terus menyarung Jersi Hijau Ladang Rakyat, manakala Hakimi Haiqal Ahmad Sabri (RCF) kekal dengan Jersi Oren KBS bagi pelumba tempatan terbaik.

Peringkat ketujuh esok akan membawa cabaran baharu kepada pelumba apabila laluan mendaki di daerah Marang dijangka menjadi cabaran bagi pelumba sebelum meneruskan ke peringkat kelapan, penentu kedudukan keseluruhan menjelang 3 November ini di daerah Kuala Terengganu.


Artikel Berkaitan