 
        
        
    BESUT, 31 Oktober – Dua pelumba muda kebanggaan negeri Terengganu membuktikan semangat ‘nelang’ mereka apabila menguasai podium kategori Bawah 23 Tahun (U23) pada peringkat kelima Tour Gateh D’Tranung 2025 yang berlangsung di daerah ini hari ini.
Pelumba TSG Cycling Academy, Mohamad Afi Danial Ramli Abu Bakar, dan wakil Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), Adam Ramdzan Razali, tampil garang di laluan mencabar Besut apabila kedua-duanya menamatkan perlumbaan dalam kelompok terbaik.
Dalam aksi siang tadi, Afi menamatkan Peringkat 5 – Klasifikasi Individu di tempat kelapan, manakala Adam berada di tempat kesembilan, sekali gus menempatkan diri mereka dalam tiga pelumba terbaik kategori U23 bagi peringkat berkenaan.
Kejayaan itu turut menjadi bukti keberkesanan program pembangunan sukan berbasikal negeri di bawah kendalian Majlis Sukan Negeri Terengganu dan TSG Cycling Academy, yang terus komited membimbing pelumba muda ke arah kejayaan lebih besar.
 
                 
                                             
                                             
                                             
                                             
                                             
                                            