lightning-solid
Berita :
TSG Tawan Puncak Bukit Lubuk Batu
TSG Tawan Puncak Bukit Lubuk Batu
Zahid Mustafar
8 jam yang lepas
56

MARANG, 2 November – Pasukan Terengganu Cycling Team (TSG) terus memperkukuh penguasaan dalam Tour Gateh D’Tranung 2025 apabila pelumbanya, Adne Willem Jan Van Engelen, menawan Puncak Bukit Lubuk Batu selepas melakukan kayuhan saat akhir yang dramatik pada Peringkat Ketujuh, hari ini.

Perlumbaan sejauh 127.8 kilometer itu bermula di Dataran Lembah Durian, Lubuk Batu, menyajikan cabaran berliku dan mendaki, melalui beberapa kawasan utama seperti Bandar Marang, Pengkalan Berangan, Wakaf Tapai, Durian Guling, Bukit Sawa, Bukit Payong, Bukit Cangkul Abas dan Sungai Serai, sebelum menamatkan pendakian di Puncak Bukit Lubuk Batu.

Laluan ini turut menampilkan tiga zon pendakian utama, Bukit Jetit, Bukit Cakul Abas dan Bukit Presiden, serta tiga zon pecutan di SK Bukit Sawa dan Dataran Lembah Durian, Lubuk Batu.

AMRZ0617.jpg 801.11 KB
Engelen, pelumba kelahiran Belanda berusia 32 tahun itu, melakukan kayuhan agresif di kilometer terakhir untuk memintas pesaing utamanya, Cristian Raileanu (Malaysia Pro Cycling Team) dan Nichol Pareja (TSS X Keropok Bayu Cycling Team), sekali gus meraih tempat pertama di garisan penamat. 

Rakan sepasukannya, Zhe Yie Kee, turut mencatat keputusan membanggakan apabila menamatkan saingan di tempat keempat keseluruhan.

Kemenangan ini melonjakkan Engelen ke kedudukan kedua keseluruhan Klasifikasi Individu (Jersi Kuning) dan kedua dalam Klasifikasi Pendaki Harian (Jersi Bintik Merah), sekali gus membuktikan keunggulan taktikal dan semangat juang TSG dalam menakluki peringkat paling getir perlumbaan.

Sementara itu, pelumba muda kelahiran Dungun, Zhe Yie Kee, dinobatkan sebagai Pelumba Terbaik Bawah 23 Tahun (Jersi Putih) selepas persembahan cemerlang di laluan berbukit yang menuntut ketahanan dan konsistensi tinggi. 

Beliau kini berada di tempat kedua keseluruhan kategori U23 dan kelima keseluruhan individu.

Bagi kategori lain, Cristian Raileanu (Malaysia Pro Cycling Team) mengekalkan penguasaan bagi Klasifikasi Keseluruhan (Jersi Kuning), Muhammad Zawawi Azman (ATM) mengetuai Pendaki Terbaik (Jersi Bintik Merah), manakala Mohamad Izzat Hilmi Abdul Halil (ATM) terus unggul dalam Klasifikasi Pecut (Jersi Hijau).

AMRZ0340.jpg 597.41 KB


Artikel Berkaitan