MARANG, 3 November – Pelumba Belanda, Adne Willem Jan Van Engelen, menghadiahkan kemenangan penuh bermakna buat pasukannya, Terengganu Cycling Team (TSG) selepas menawan Puncak Bukit Lubuk Batu dalam Peringkat Ketujuh Tour Gateh D’Tranung 2025 semalam.
Engelen, 32, menunjukkan kayuhan mantap dan taktikal kemas di bawah hujan serta jalan licin, sekali gus mengekalkan reputasi TSG sebagai pasukan terkuat di kejohanan itu.
Kemenangan tersebut turut melonjakkan beliau ke tangga kedua keseluruhan Klasifikasi Individu (Jersi Kuning) menjelang peringkat terakhir esok.
Menurut Engelen, perlumbaan kali ini menuntut ketahanan fizikal dan fokus tinggi sepanjang 130 kilometer laluan berbukit di daerah Marang.
"Perlumbaan hari ini agak lurus pada awalnya, tetapi menjadi mencabar apabila hujan turun dan jalan menjadi sangat licin.
"Kami tahu perlumbaan akan ditentukan di pendakian terakhir, jadi saya pastikan untuk berada di depan sebelum mula mendaki," katanya.
"Saya nampak seorang pelumba terjatuh di hadapan dan terpaksa mengelak. Dari situ, saya tertinggal sedikit jarak, jadi saya putuskan untuk buat rentak sendiri pada tiga kilometer terakhir," jelasnya.
Walaupun berdepan jalan licin dan tenaga yang semakin susut, Engelen kekal fokus hingga ke garisan penamat.
"Saya tidak dapat guna sepenuhnya kekuatan kerana jalan terlalu licin, tapi itu cabaran untuk semua pelumba.
"Saya terus menekan hingga ke garisan penamat, dan hasilnya sangat menggembirakan. Ini kemenangan untuk pasukan, bukan untuk saya seorang," ujarnya.
Engelen turut menzahirkan penghargaan kepada rakan sepasukan yang banyak membantu dalam memastikan kedudukannya kekal di kelompok hadapan.
"TSG melakukan kerja luar biasa hari ini. Mereka bantu saya berada di kedudukan depan pada masa yang tepat. Jadi kemenangan ini saya dedikasikan buat seluruh pasukan," katanya.
Kejayaan Engelen turut dilengkapkan oleh pelumba muda yang juga rakan sepasukannya, Kee Zhe Yie, yang menamatkan perlumbaan sebagai Pelumba Terbaik Bawah 23 Tahun (U23) bagi Peringkat Ketujuh.
Anak jati Dungun berusia 22 tahun itu kini berada di tangga kelima keseluruhan dan kedua dalam Klasifikasi U23.