Oleh: Nooreni Abu Bakar
KUALA TERENGGANU, 3 November –Politeknik Kuala Terengganu (PKT) turun padang sebagai usaha menyumbang kepakaran teknikal kepada komuniti sekolah setempat sekaligus mendukung semangat ‘TVET( Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional) For All'.
Jurucakap Unit Komunikasi Korporat PKT berkata, sempena Bulan Akademia Peringkat Politeknik itu, 'Program Transfer Knowledge' yang berkonsepkan kesukarelawanan ini memberi fokus kepada aktiviti penyelenggaraan dan pembaikan sistem elektrik melibatkan peralatan seperti kipas, pendingin hawa, suis, lampu serta sistem pembumian.
"Baru-baru ini, bersama pelajar, pensyarah, juruteknik dan kakitangan Jabatan Kejuruteraan Elektrik, PKT turun padang ke Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Budiman telah membantu menyelenggarakan sistem elektrik di sekolah terbabit.
"Di masa sama pelajar-pelajar terlibat diberi bimbingan sepanjang aktiviti berlangsung, ,TVET bukan sekadar teori, tetapi mampu memberi impak terus kepada kesejahteraan masyarakat," katanya.
Menurut Ketua Jabatan Kejuruteraan Elektrik, Mohd Najib Hussin, program tersebut bukan sahaja memperkukuh kemahiran teknikal pelajar, malah membuka peluang kepada mereka untuk mengaplikasikan ilmu teori yang dipelajari di bilik kuliah ke dalam situasi sebenar di lapangan..
“Melalui program seperti ini, pelajar dapat mengasah kemahiran praktikal, berinteraksi dengan komuniti dan memahami tanggungjawab sosial sebagai tenaga kerja teknikal masa hadapan,” ujarnya.
Sementara itu, Pengetua SMK Seri Budiman, Azawi Jusoh berkata kehadiran pasukan PKT amat dihargai kerana membantu mewujudkan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif dan selamat.
“Program ini sangat bermakna buat pihak sekolah dan kami berharap kerjasama ini dapat diteruskan pada masa hadapan,” katanya.