KUALA NERUS, 3 November - Bekas atlet olahraga yanng pernah mengharumkan nama Malaysia di persada antarabangsa, Datuk Marina Chin, 70, telah menerima Ijazah Doktor Kehormat Sains Sukan daripada Universiti Sultan Zainal Abidin semalam.
Bekas ratu pecut dan lari berpagar negara itu yang pernah meraih satu pingat emas dan tiga pingat perak di Kejohanan Olahraga Asia, serta enam pingat emas dan lima pingat perak di Sukan SEA menerima anugerah tersebut di Majlis Idul Ilmi Konvokesyen UniSZA ke 17.
Walaupun telah bersara daripada terbabit dalam dunia olahraga, beliau namun tidak pernah jemu menyumbang khidmat dan bakti dalam pembangunan sukan apabila terus berkhidmat sebagai Pengerusi Panel Penasihat Akademi Kejurulatihan Kebangsaan.
Selain itu, beliau kini merupakan Pengerusi Lembaga Pengarah Institut Sukan Negara.
Katanya, kejayaan setiap atlet dalam arena sukan tidak berakhir begitu sahaja dan tiada penamat kerana kalangan mereka masih boleh menyumbang kepakaran dalam bidang terbabit melalui bidang kejurulatihan, pengurusan dan juga pendidikan.
"Sukan dan pendidikan tidak boleh dipisahkan dan tidak pernah berhenti. Ramai bekas atlet ytang berkongsi ilmu dan pengalaman sebagai jurulatih atau pensyarah sains sukan,"ujarnya kepada pihak media.
Mengulas mengenai anugerah yang diterimanya, beliau menyatakan ia bukan pencapaian peribadi sebaliknya simbol kepada perjuangan semua atlet dan penggiat sukan yang selama ini berusaha keras membangunkan negara sehingga dikenali di persada antarabangsa.
"Saya bersyukur dan berterima kasih atas pengiktirafahan ini. Ia bukan sahaja untuk diri saya tetapi buat seluruh komuniti sukan, jurulatih, pegawai dan atlet yang telah bekerja keras demi kemajuan sukan," ujarnya.
Sementara itu, belia mengharapkan agar Malaysia terus melahirkan lebih ramai jaguh sukan bertaraf dunia terutamanya bagi acara sukan yang sebelum ini masih belum lagi menyerlah.
Untuk rekod, sebagai pengiktirafan jasa dan sumbangannya, beliau antaranya pernah dikurniakan Pingat Jasa Kebaktian (PJK) pada tahun 1976, Ahli Mangku Negara (AMN) pada tahun 1977, dan Panglima Mahkota Wilayah (PMW) pada tahun 2012 yang membawa gelaran Datuk.
Selain itu, beliau turut menerima Anugerah Kepimpinan dan Sukan Sekolah dan Anugerah Wanita dan Sukan daripada Majlis Olimpik Malaysia dan pernah dianugerahkan The Brandlaureate Grand Master Brand Icon Leadership pada tahun 2017.