 
        
        SETIU, 20 Februari - Pemilik kedai makan Setiu Route T1 yang bertemakan permotoran, Pok Alang Azhar, berjaya menarik minat riders dari seluruh Malaysia untuk singgah di Setiu.
Menurutnya, konsep unik kedainya serta hidangan istimewa seperti 'sup power rindu-merindu’ menjadikannya tempat persinggahan wajib bagi geng-geng motor yang melalui daerah berkenaan.
"Sejak mula beroperasi pada tahun 2009, saya menggunakan konsep permotoran untuk memperkenalkan Setiu kepada komuniti bikers.
"Kedai ini bukan sekadar tempat makan, tetapi juga lokasi lepak bagi 'riders' yang ingin menikmati suasana santai sambil berkongsi minat terhadap motosikal," jelasnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas perasmian 'Setiu All Bikers' bertempat di Kedai Setiu Route T1 di Jalan Penarik, Kampung Bari Kecil baru-baru ini.
Majlis perasmian tersebut disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Kebudayaan Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri, Datuk Razali Idris.
Azhar berkata, inisiatif tersebut bukan sahaja menarik minat riders tempatan, kedainya juga pernah dikunjungi selebriti terkenal seperti Fauziah Latif dan Shamsul Ghau-Ghau, yang menambah daya tarikan kepada tempat itu.
Menurutnya, lebih menarik, pengunjung yang datang turut menampal sticker kelab permotoran dan gambar di dinding sebagai kenang-kenangan, menjadikan kedai tersebut penuh dengan memori para 'bikers'
"Gabungan elemen permotoran dan makanan tradisional menjadikan kedai ini satu lokasi unik di Setiu.
"Saya berhasrat untuk terus mengembangkan perniagaan dan mempromosikan Setiu sebagai destinasi pilihan bagi para riders," ujarnya.

 
                 
                                             
                                             
                                             
                                             
                                             
                                            