lightning-solid
Berita :
Raja Muda Titah Bakat Al-Quran Dipupuk Seawal Sekolah
Raja Muda Titah Bakat Al-Quran Dipupuk Seawal Sekolah
Ahmad Zaeem Zainudin
7 jam yang lepas
75

SETIU, 31 Oktober - Yang Di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin bertitah agar usaha mencungkil dan memupuk bakat dalam bidang al-Quran dimulakan seawal peringkat sekolah bagi melahirkan generasi pelapis qari dan qariah masa depan.

Baginda bertitah, penekanan khusus terhadap kelas taranum dan seni bacaan al-Quran perlu diberikan perhatian serius secara berterusan kepada pelajar bagi mencungkil bakat di peringkat awal.

IMG_20251031_034217_587.jpg 1 MB
"Sehubungan itu, beta menyarankan agar usaha mencungkil dan memupuk bakat dalam bidang al-Quran ini dimulakan seawal peringkat sekolah lagi.

"Penekanan khusus kepada kelas taranum dan seni bacaan al-Quran perlu diberikan perhatian serius agar lebih ramai pelajar dapat dibimbing, digilap dan diasuh menjadi pelapis kepada para qari dan qariah masa depan," titah baginda.

Tengku Muhammad Ismail bertitah demikian ketika menyempurnakan Majlis Penutupan Tilawah dan Hafazan al-Quran Peringkat Negeri Terengganu Darul Iman 1447 Hijrah, di Dewan Serbaguna Majlis Daerah Setiu, Sungai Tarom, Bandar Permaisuri, malam tadi.

IMG_20251031_034344_400.jpg 1.37 MB
Turut berangkat mengiringi baginda, Tengku Puteri Daulath Raja, Tengku Fatimatuz Zahra.

Hadir sama, Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, Setiausaha kerajaan negeri, Dato' Nara Setia serta Pegawai Kewangan Negeri, Dato' Mohd Azmi Mohamad Daham.

Menurut baginda, umat Islam bukan sahaja perlu membaca dan menghafal al-Quran tetapi juga perlu memahami, menghayati dan mengamalkan ajarannya dalam kehidupan seharian. 

"Usaha ini harus digiatkan di masjid, surau, rumah dan juga di tempat kerja melalui pelbagai aktiviti seperti tadarus, pengajian, tafsir dan tadabbur Al-Quran," titahnya.

IMG_20251031_034311_286.jpg 920.95 KB
Baginda turut menzahirkan rasa bangga terhadap komitmen negeri Terengganu dalam memartabatkan syiar Islam melalui pelbagai program penghayatan al-Quran sehingga berjaya melahirkan qari dan qariah yang mengharumkan nama negeri di peringkat antarabangsa.

"Beta berbangga kerana Negeri Terengganu sentiasa komited dalam memartabatkan syiar Islam melalui pelbagai program penghayatan al-Quran.

"Kejayaan peserta qariah tilawah al-Quran yang mengharumkan nama negeri peringkat antarabangsa adalah bukti bahawa usaha ini membuahkan hasil yang membanggakan," titah baginda.

Dalam pada itu, baginda turut merakamkan penghargaan kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JAHEAT) atas usaha gigih berterusan dalam melahirkan qari dan qariah berkualiti serta berkaliber.


Artikel Berkaitan