lightning-solid
Berita :
Hala Tuju Ekonomi Malaysia Didakwa Ulangi Langkah IMF 1997
Hala Tuju Ekonomi Malaysia Didakwa Ulangi Langkah IMF 1997
Muhammad Afiq Fahmi Ahmad Faris
7 jam yang lepas
201


KUALA LUMPUR, 31 Oktober — Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli menzahirkan kebimbangan terhadap hala tuju ekonomi negara di bawah pentadbiran Kerajaan MADANI ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2026 di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau memetik sepotong hadis yang menyebut bahawa dunia ini tegak dengan empat golongan manusia, pemerintah, cendekiawan, hartawan dan fakir miskin sebagai peringatan bahawa kesejahteraan negara bergantung kepada keseimbangan dan kebajikan semua lapisan masyarakat, termasuk golongan miskin yang kini semakin terhimpit dengan kenaikan kos sara hidup.

Menurutnya, situasi ekonomi semasa menyebabkan ramai rakyat dalam kelompok M40 telah tergelincir ke paras B20 akibat inflasi, peningkatan harga barangan dan pelbagai cukai baharu. 

Beliau turut mengingatkan pandangan tokoh muqaddimah Islam, Ibnu Khaldun, yang menyatakan bahawa sesebuah negara boleh runtuh apabila ia hidup dari cukai yang menindas rakyat.

IMG-20251030-WA0150.jpg 60.96 KB
Wan Hassan menegaskan bahawa kerajaan kini terlalu bergantung kepada pungutan cukai seperti peluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), Cukai Barangan Digital, dan Cukai Keuntungan Modal, sedangkan cukai ke atas barangan bernilai tinggi (HVGT) tidak diteruskan.

“Ketika rakyat ditekan dengan kenaikan harga barang dan pengurangan subsidi asas seperti makanan, elektrik dan bahan api, kerajaan pula meningkatkan beban cukai untuk menampung defisit fiskal. Ini sama seperti langkah yang dicadangkan IMF semasa krisis kewangan Asia 1997,” katanya.

Beliau turut mempersoalkan status terkini penjualan aset strategik negara seperti Battersea Power Station di London yang melibatkan KWSP, selepas wakil pengurusan dilaporkan enggan mengulas mengenai urus niaga tersebut.

Akhirnya, beliau mengajukan persoalan sama ada Malaysia kini sedang berdepan krisis kewangan yang disembunyikan daripada pengetahuan rakyat, memandangkan dasar fiskal kerajaan dilihat menyerupai langkah kecemasan yang pernah dilaksanakan lebih dua dekad lalu.


Tag :

Artikel Berkaitan