 
        
        
    KUALA TERENGGANU, 31 Oktober – Kesedaran awal terhadap kanser payudara menjadi langkah penting dalam menyelamatkan nyawa wanita produktif di Malaysia, terutama apabila hampir 50 peratus pesakit terdiri daripada wanita berusia bawah 50 tahun termasuk ibu muda dan wanita bekerja.
Pengerusi Mawaddah Terengganu, To’ Puan Hajah Zarani Othman berkata, kanser payudara kini menjadi kanser nombor satu paling banyak didiagnosis dalam kalangan wanita di Malaysia, dan tidak lagi boleh dianggap sebagai penyakit usia tua.
Menurut beliau, data terkini Pendaftaran Kanser Kebangsaan (NCR) menunjukkan 1 daripada 19 wanita di Malaysia berisiko menghidap kanser payudara, dengan lebih 8,000 kes baharu direkodkan setiap tahun.
“Apa yang membimbangkan, kira-kira 40 peratus daripada kes tersebut hanya dikesan pada tahap tiga atau empat, menyebabkan rawatan lebih sukar dan risiko kematian meningkat,” jelasnya.

Zarani menegaskan, kadar kelangsungan hidup pesakit boleh mencapai lebih 90 peratus sekiranya kanser dikesan lebih awal.
Justeru program seperti Mega Pink 2025 memainkan peranan penting dalam menggalakkan pemeriksaan awal dan menghapuskan stigma terhadap penyakit itu.
“Mengingatkan wanita agar tidak  takut  berhadapan dengan realiti kesihatan  diri. Di sebalik angka kita melihat wajah-wajah insan penuh keberanian, wanita tetap  tersnyum walaupun rambut gugur akibat  rawatan, isteri yang teguh mendidik anak-anak  walaupun tubuh semakin lemah.
“Mega Pink 2025 bukan sekadar acara, tetapi satu gerakan komuniti untuk membentuk kesedaran bahawa menjaga kesihatan wanita bermakna menjaga kekuatan keluarga dan masyarakat.
“Matlamatnya ialah untuk membentukan kesedaran menyeluruh bahawa menjaga kesihatan wanita adalah menjaga kesejahteraan keluarga masyarakat kerana apabila wanita sihat maka seluruh institusi keluarga akan menjdi kuat,” ujarnya.
Justeru itu, beliau turut menyeru semua lapisan masyarakat untuk menjadi ejen kesedaran dengan mengingatkan ahli keluarga melakukan pemeriksaan payudara secara berkala, kerana kasih sayang dan keprihatinan terhadap kesihatan merupakan bentuk jihad menjaga anugerah kehidupan.
“Semoga Mega Pink 2025 jadi titik bermula perubahan dalam membina masyarakat yang lebih prihatin dan berilmu serta menghargai nikmat kesihatan yang Allah kurniakan,” tambah beliau lagi.
 
                 
                                             
                                             
                                             
                                             
                                             
                                            