lightning-solid
Berita :
Penutupan Sementara KK Hiliran, Amzad Gesa Langkah Sokongan Segera
Penutupan Sementara KK Hiliran, Amzad Gesa Langkah Sokongan Segera
Izzat Muslim
12 jam yang lepas
92

KUALA LUMPUR, 31 Oktober – Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim menyuarakan kebimbangan terhadap kesan penutupan sementara Klinik Kesihatan (KK) Hiliran yang menjadi tumpuan penduduk setempat, khususnya warga emas dan pesakit kronik yang bergantung kepada perkhidmatan rawatan harian di klinik tersebut.

Dalam perbahasan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat baru-baru ini, beliau memohon agar Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dapat menyediakan pelan sokongan sementara bagi memastikan penduduk sekitar Hiliran, Manir dan Chendering tidak terjejas dari segi akses kepada rawatan asas.

“Saya amat memahami keresahan penduduk setempat, khususnya golongan warga emas dan pesakit kronik. Justeru, saya menggesa agar KKM menyediakan inisiatif sokongan sementara sepanjang tempoh penutupan bagi menjamin kesinambungan perkhidmatan rawatan asas kepada rakyat,” ujar beliau.

Beliau turut menyambut baik peruntukan bagi pembinaan semula dan naik taraf Klinik Kesihatan Hiliran, yang dijangka siap dalam tempoh tiga tahun, sambil menegaskan bahawa projek tersebut amat penting untuk memastikan kemudahan kesihatan yang lebih moden, selesa dan berdaya saing.

Ekoran penutupan sementara itu, Amzad menjangkakan peningkatan kesesakan di Klinik Kesihatan Chendering dan Manir. Namun, beliau memaklumkan bahawa Pegawai Kesihatan Daerah Kuala Terengganu telah merangka beberapa langkah bagi mengurangkan kesan tersebut, termasuk penambahbaikan sistem temujanji dan pemprosesan maklumat pesakit bagi mempercepatkan urusan rawatan.

Beliau turut mencadangkan agar kerajaan mempertimbangkan pembinaan sebuah lagi Klinik Kesihatan utama di kawasan Bandar Baru Bukit Besar, memandangkan peningkatan populasi dan keperluan perkhidmatan kesihatan yang semakin mendesak di kawasan tersebut.

“Semoga segala usaha ini dapat dilaksanakan dengan sebaiknya demi keselesaan, kesejahteraan dan kebajikan rakyat Kuala Terengganu,” tambah beliau.


Tag :

Artikel Berkaitan