lightning-solid
Berita :
Anak Jati Terengganu Ungguli Sukan Lasak 4x4 di Kelantan
Anak Jati Terengganu Ungguli Sukan Lasak 4x4 di Kelantan
Amirul Mohd
12 jam yang lepas
39

MARANG, 29 Oktober – Kejayaan demi kejayaan dalam arena sukan lasak 4x4 terus dicipta oleh anak jati Terengganu, Syafiq Syukri apabila dinobat juara keseluruhan dalam kejohanan 4x4 di Kelantan, baru-baru ini.

Menurut Syafiq, perasaan gembira dan syukur tidak dapat digambarkan selepas menempuh pelbagai cabaran termasuk cuaca hujan lebat dan jalan curam yang sangat licin.

“Saya mengikuti sukan lasak di Kelantan sebagai salah satu cabaran besar tahun ini, dan Alhamdulillah dengan izin Allah serta kerjasama pasukan, kami berjaya muncul sebagai juara kejohanan kali ini.

“Cabaran paling sukar semasa hujan lebat, terutama bila menuruni bukit yang sangat curam. Alhamdulillah, semuanya dapat dilalui dengan semangat dan kerjasama pasukan,” katanya.

Syafiq mula terlibat dengan sukan lasak itu sejak tahun 2023 selepas timbul minat sewaktu menyertai sebuah event PASAK di Cendering. Sejak itu, semangatnya terus membara untuk menyertai pelbagai pertandingan dan mempersiapkan jentera seawal dua minggu sebelum setiap acara.

“Saya bersyukur kerana pasukan saya sangat memahami peranan masing-masing. 'Teamwork' yang mantap sebelum dan semasa event menjadi kekuatan utama kami,” jelasnya lagi.

Kejayaan Syafiq turut didokong penuh oleh keluarga, terutama bapa mertuanya yang kini menjadi antara mekanik utama jenteranya. Malah, rakan-rakan juga banyak membantu termasuk mencari penaja dan membaiki kenderaan.

“Juara bukan tiket untuk selesa. Saya akan terus perkemas dan kuatkan jentera untuk cabaran akan datang, insya-Allah,” tambahnya.

image.png 1.36 MB
Sebagai pesanan kepada anak muda, Syafiq mengajak mereka menyertai sukan seperti ini kerana memberi lebih banyak manfaat seperti membina rangkaian persahabatan dan pengalaman bermakna.

Beliau juga berbangga dengan gelaran “Ganu Darul Event” yang kini sinonim dengan Terengganu kerana penganjuran aktif pelbagai acara termasuk sukan lasak.

“Untuk tahun 2025 sahaja, sudah empat acara 4x4 diadakan di negeri ini. Saya berharap kerajaan negeri terus memberi sokongan kepada penganjur agar sukan seperti ini terus berkembang,” katanya.


Tag :

Artikel Berkaitan