KUALA TERENGGANU, 28 Oktober – Landskap pelaburan Negeri Terengganu terus memperlihatkan momentum positif apabila merekodkan jumlah pelaburan komited sebanyak RM4.3 bilion setakat September 2025, didorong terutamanya oleh kemasukan pelaburan besar dalam sektor tenaga boleh diperbaharui dan pembuatan bernilai tinggi.
Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, berkata pencapaian berkenaan mencerminkan keyakinan pelabur tempatan dan antarabangsa terhadap daya saing serta kestabilan negeri sebagai destinasi pelaburan strategik di Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER).
Menurut beliau, pelaburan tersebut dijangka mewujudkan hampir 2,000 peluang pekerjaan baharu, sekali gus mengukuhkan kedudukan Terengganu sebagai hab pelaburan berasaskan tenaga baharu, industri hijau dan ekonomi lestari di Pantai Timur.
“Prestasi ini membuktikan komitmen kami untuk membangunkan ekonomi negeri yang lebih mampan dan berdaya tahan.
“Kita bukan sahaja menumpukan kepada sektor tenaga boleh diperbaharui dan pembuatan, malah turut memperkukuh sektor pelancongan serta pertanian bagi memastikan manfaatnya dapat dirasai secara menyeluruh oleh rakyat,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan oleh Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) semalam.

"Sektor pembuatan menyumbang 74 peratus daripada jumlah pelaburan, diikuti pelancongan (12 peratus), pertanian (8 peratus) dan perkhidmatan (6 peratus).
"Projek utama yang menjadi pemangkin kepada pelaburan tersebut ialah projek solar hibrid bernilai RM2.9 bilion di Tasik Kenyir, hasil kerjasama antara TNB Genco Sdn. Bhd. dan Terengganu Inc," ujarnya lagi.
Tambah Ahmad Samsuri, fasa perintis projek itu telah dilancarkan pada Julai lalu dan kini dalam proses perbincangan kontrak utama bagi pelaksanaan penuh di peringkat komersial.
"Selain itu, pelaburan direalisasikan setakat ini berjumlah RM1.6 bilion, membuktikan pertumbuhan berterusan sektor industri dan pelancongan negeri.
"Antara projek utama termasuk Taman Perindustrian Kertih Terengganu oleh Retro Court Sdn. Bhd., serta pembangunan hotel baharu bertaraf tiga bintang di Pulau Gemia oleh GEM Island Resort Sdn. Bhd.,"katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Dato’ Baidzawi Che Mat, berkata ECERDC turut menumpukan kepada pembangunan infrastruktur dan pemerkasaan komuniti.
"Antara projek terbaharu ialah Kompleks PKS Fasa 1B di Kerteh Biopolymer Park (KBP) yang siap Julai lalu dan dijangka menerima Sijil Siap Bina (CCC) hujung Oktober ini.
"Ia termasuk menambah baik kemudahan pelancongan termasuk projek naik taraf Laluan Eksekutif Lapangan Terbang Sultan Mahmud–KTCC (KTAR2) dan Promenade KTCC Fasa 1, yang bakal membuka ruang pembangunan komersial serta rekreasi baharu di Kuala Terengganu," ujar beliau.