lightning-solid
Berita :
 Komando Bencana – Zone Commander Digerak Awal Hadapi Monsun Timur Laut
Komando Bencana – Zone Commander Digerak Awal Hadapi Monsun Timur Laut
Rohayati Ripin
4 jam yang lepas
52

KUALA TERENGGANU, 28 Oktober - Dalam usaha memperkukuh kesiapsiagaan negeri menghadapi musim Monsun Timur Laut (MTL), Khidmat Malaysia Terengganu memperkenalkan struktur khas dikenali sebagai ‘Komando Bencana’ yang diterajui oleh penyelaras kawasan atau zone commander di setiap daerah.

Pengerusi Khidmat Malaysia Terengganu, Dato' Hanafiah Mat, berkata inisiatif baharu itu bertujuan memastikan setiap kawasan berisiko tinggi dapat menerima arahan dan bantuan lebih cepat, tanpa bergantung sepenuhnya kepada arahan dari peringkat negeri.

“Khidmat Malaysia telah melantik penyelaras kawasan (zone commander) bagi mempercepatkan komunikasi dan tindakan balas sekiranya berlaku bencana.

“Bagi memperkukuh keupayaan sukarelawan, pelbagai modul latihan kesiapsiagaan bencana telah dijalankan dengan kerjasama NADMA, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM). 

“Latihan tersebut meliputi aspek pengurusan pusat pemindahan, teknik menyelamat air deras, asas pertolongan cemas, penyediaan makanan dan bantuan logistik,” jelasnya

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar berkata demikian ketika dihubungi hari ini.

Dalam masa sama, Khidmat Malaysia juga menyalurkan aset tambahan seperti jaket keselamatan, tali keselamatan, pam air berkuasa tinggi, lampu mudah alih dan kenderaan pacuan empat roda bagi kawasan berisiko tinggi.

“Bantuan logistik turut disediakan bagi memastikan operasi dapat dijalankan tanpa gangguan apabila bencana melanda. Koordinasi antara agensi dilaksanakan melalui Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) di setiap daerah yang diselaraskan oleh Pejabat Daerah dan Tanah, serta dipantau oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN),” ujarnya.

Dalam struktur ini, Khidmat Malaysia memainkan peranan sebagai penyokong logistik dan kebajikan komuniti, manakala NADMA bertanggungjawab menyelaras arahan serta pelaporan di peringkat negeri dan nasional. 

Selain itu, pasukan APM, JBPM dan RELA pula berperanan dalam tugas teknikal serta kawalan keselamatan di PPS, rondaan, dan pemindahan mangsa. 

“Khidmat Malaysia memastikan maklumat dan tindakan dapat dilaksanakan dengan pantas dan berkesan,” katanya.

Beliau menambah, setakat ini, semua daerah telah menubuhkan Jawatankuasa Tindakan Khidmat Malaysia Daerah, yang berperanan sebagai barisan hadapan dalam sokongan kemanusiaan di peringkat komuniti. 

Selain itu, setiap daerah juga telah melaksanakan penyusunan semula kekuatan anggota, semakan aset logistik serta pengemaskinian senarai pusat pemindahan sementara (PPS).

“Bagi meningkatkan tahap kesiapsiagaan, latihan simulasi banjir dan penyelarasan gerak kerja turut dijalankan bersama agensi penyelamat dan pihak berkaitan bagi memastikan semua prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi,” ujar beliau.

Beliau turut menasihatkan penduduk di kawasan rendah agar peka terhadap sebarang amaran bencana dan mematuhi arahan pihak berkuasa dengan segera apabila diarahkan berpindah.

“Kita sudah bersedia sepenuhnya. Namun, yang paling penting ialah kerjasama rakyat. Bila banjir berlaku, keselamatan keluarga mesti diutamakan,” tambah beliau lagi.


Tag :

Artikel Berkaitan