lightning-solid
Berita :
Al-Quran Benteng Umat Hadapi Cabaran Zaman - Ahmad Samsuri
Al-Quran Benteng Umat Hadapi Cabaran Zaman - Ahmad Samsuri
Ahmad Zaeem Zainudin
3 jam yang lepas
61

SETIU, 29 Oktober - Umat Islam diseru menjadikan al-Quran sebagai benteng utama dalam menghadapi pelbagai cabaran dunia moden yang semakin mencabar nilai dan akhlak masyarakat masa kini.

Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, berkata penghayatan terhadap al-Quran bukan sahaja memperkukuh keimanan, malah menjadi panduan dalam membina disiplin serta ketakwaan bagi setiap lapisan masyarakat.

FB_IMG_1761673405717.jpg 151.33 KB
"Melalui program seperti ini, warisan ilmu dan tradisi peradaban Islam akan sentiasa diperkasa dan memastikan kesinambungan nilai dan kebajikan kita sebagai negeri darul iman.

"Marilah kita terus berikhtiar menjadikan al-Quranul Karim sebagai rujukan utama dan benteng dalam menghadapi cabaran moden yang sentiasa berkorupsi saban waktu di setiap peringkat sama ada secara individu, keluarga, masyarakat dan juga negara," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran Peringkat Negeri Terengganu 1447 Hijrah/2025 Masihi di Dewan Serbaguna Majlis Daerah Setiu, Sungai Tarom, Bandar Permaisuri, malam tadi.

Majlis yang dihadiri lebih 1,200 tetamu dari pelbagai latar belakang  itu turut menampilkan seramai 37 peserta, terdiri daripada 10 qari dan qariah serta 27 hafiz dan hafizah, yang akan berentap dalam acara tahunan tersebut.

FB_IMG_1761673265253.jpg 237.11 KB
Ahmad Samsuri turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang menjayakan penganjuran berkenaan serta menegaskan bahawa majlis tilawah dan hafazan bukan sekadar pertandingan berbentuk seni suara, sebaliknya wadah memperteguh nilai rohani dan kemanusiaan.

"Tilawah dan hafazan al-Quran bukan semata-mata suatu simbol kepada keindahan seni suara dan bacaan, bahkan ia adalah panduan dalam memperteguh nilai kebenaran, keadilan dan kasih sayang sesama kita," ujarnya.

Beliau turut menegaskan komitmen kerajaan negeri untuk terus menjadikan al-Quran sebagai asas pembentukan jati diri dan identiti rakyat Terengganu.

"Kepada seluruh rakyat Terengganu, terima kasih saya ucapkan di atas tonggak baru yang menjadikan al-Quran sebagai teras identiti negeri kita yang tercinta ini," katanya.

FB_IMG_1761673305729.jpg 129.8 KB

Sementara itu, Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu (SUK), Dato' Nara Setia dalam ucapannya, menegaskan bahawa penganjuran majlis berkenaan merupakan platform penting dalam memperkukuh hubungan umat Islam dengan wahyu Allah serta kesinambungan warisan ilmu Islam di negeri ini.

"Majlis Tilawah dan Hafazan ini bukan semata-mata platform pertandingan tetapi medium untuk memperkukuhkan hubungan kita dengan al-Quran sebagai sumber ilmu, pedoman hidup dan asas pembinaan tamadun berteraskan nilai wahyu," pesannya.

Beliau berkata, tradisi tilawah dan hafazan perlu diteruskan bagi memastikan generasi muda membina akhlak berlandaskan panduan wahyu serta menjadikan kalamullah sebagai pedoman kehidupan.

"Sesungguhnya bacaan al-Quran yang sempurna bukan sekadar merdu di telinga tetapi lebih bermakna apabila menyentuh hati dan diterjemahkan dalam amal serta akhlak," jelasnya.

Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran Peringkat Negeri Terengganu 1447 Hijrah/2025 Masihi  di daerah Setiu itu dijadualkan untuk berlangsung selama tiga hari bermula pada 28 sehingga 30 Oktober ini.


Artikel Berkaitan