lightning-solid
Berita :
Terengganu Terus Perkasa Calon Peperiksaan Melalui Bantuan One-Off
Terengganu Terus Perkasa Calon Peperiksaan Melalui Bantuan One-Off
Khairul Faez Rosdi
15 jam yang lepas
91

KUALA TERENGGANU, 29 Oktober – Kerajaan Negeri Terengganu terus menunjukkan komitmen dalam memperkasa pendidikan rakyat melalui penganjuran Majlis Penyampaian Bantuan One-Off kepada Calon Peperiksaan Awam Negeri Terengganu Tahun 2025 peringkat Daerah Kuala Terengganu yang berlangsung di Dewan Anggerik, Terengganu Equestrian Resort, semalam.

Seramai 3,882 calon peperiksaan awam daripada 23 buah sekolah menengah menerima bantuan sebanyak RM100 seorang, melibatkan peruntukan keseluruhan berjumlah RM388,200. Bantuan tersebut merangkumi 3,466 (calon SPM), 366 (calon STPM) dan 50 (calon STAM).

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri Terengganu, Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, inisiatif ini melambangkan keprihatinan kerajaan terhadap pendidikan sebagai pelaburan jangka panjang dalam membina masa depan negeri yang makmur.

WhatsApp Image 2025-10-28 at 21.49.11.jpeg 91.7 KB
Beliau turut menzahirkan rasa bangga terhadap pencapaian konsisten Terengganu yang terus unggul dalam bidang akademik di peringkat kebangsaan.

Untuk rekod, Terengganu berjaya mengatasi Gred Purata Nasional (GPN) selama enam tahun berturut-turut sejak 2019 hingga 2024. Negeri ini turut mencatatkan peningkatan GPN secara berterusan sejak tahun 2020, dengan pencapaian terbaharu pada tahun 2024 merekodkan GPN 4.31, antara yang terbaik dalam sejarah, berbanding 4.49 di peringkat nasional.

Kecemerlangan itu diteruskan dalam Peperiksaan STPM apabila Terengganu kekal mengungguli Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) di peringkat negeri sejak 2019 hingga 2024. Tahun 2024 merekodkan pencapaian terbaik dengan PNGK 3.12, melepasi purata kebangsaan 2.85.

Bagi Peperiksaan STAM pula, Terengganu mencatatkan keputusan membanggakan apabila merekodkan GPN 2.79, sekali gus mengatasi purata kebangsaan 3.09 yang menjadi bukti kukuh terhadap kekuatan sistem pendidikan agama di negeri ini.

“Kejayaan ini membuktikan keberkesanan ekosistem pendidikan negeri serta semangat kerjasama antara guru, ibu bapa dan agensi kerajaan yang terus memainkan peranan penting dalam mencorak kecemerlangan pelajar,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut berpesan kepada semua calon peperiksaan agar menggunakan bantuan yang diterima dengan bijak, berusaha gigih serta sentiasa memohon keberkatan ibu bapa dan rahmat Allah SWT bagi mencapai kecemerlangan.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Pejabat Setiausaha Kerajaan Terengganu, Yayasan Terengganu, Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu dan Jabatan Pendidikan Islam Terengganu atas kejayaan menjayakan inisiatif ini, selaras dengan aspirasi “Terengganu Maju, Berkat, Sejahtera.”


Tag :

Artikel Berkaitan