KUALA TERENGGANU, 28 Oktober – Perubahan muka bumi menjadi antara faktor utama yang menyebabkan sungai di negeri ini menjadi tohor dan mudah melimpah, sekali gus mengundang kejadian banjir luar biasa setiap kali musim tengkujuh.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar Negeri Terengganu, Mohd Zawawi Ismail, menegaskan fenomena hujan yang tidak menentu sejak kebelakangan ini menjadikan keadaan semakin membimbangkan walaupun hujan tidak terlalu lebat.
“Kalau di Hulu Terengganu hampir setiap hari hujan. Dulu hujan lebat baru banjir, tetapi kini hujan sederhana pun boleh menyebabkan limpahan air,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Komunikasi, Pendidikan dan Kesedaran Awam (CEPA) Banjir anjuran Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Terengganu di Hotel Seri Malaysia, semalam.

“Kerajaan negeri sentiasa komited melaksanakan pelbagai inisiatif termasuk projek tebatan banjir, kerja penyelenggaraan sungai dan penambahbaikan sistem saliran bandar serta kawasan rendah yang mudah dinaiki air.
"Namun pembangunan infrastruktur semata-mata tidak mencukupi tanpa kesedaran masyarakat untuk menjaga alam sekitar,” jelasnya.
Beliau berkata, program CEPA menjadi wadah terbaik untuk mendidik komuniti setempat agar memahami dan bertindak berdasarkan maklumat serta amaran banjir yang dikeluarkan pihak berkuasa.
“Kita berharap masyarakat tidak hanya bergantung kepada tindakan kerajaan, tetapi turut memainkan peranan dalam memelihara alam sekitar bagi mengurangkan risiko banjir,” ujarnya.