lightning-solid
Berita :
Bina SPEG-KOM Selesaikan Masalah Gangguan Gajah Liar
Bina SPEG-KOM Selesaikan Masalah Gangguan Gajah Liar
Abdul Fattah Kamarudin
16 jam yang lepas
56

HULU TERENGGANU, 5 November – Kerajaan Negeri dengan kerjasama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Terengganu dan penduduk Kampung Basung telah berjaya membina Sistem Pagar Elektrik Gajah-Komuniti (SPEG-KOM) sebagai usaha menyelesaikan masalah gangguan gajah liar di perkampungan terbabit.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong, merangkap Timbalan Pengerusi Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri berkata, sebanyak RM400,000 diperuntukkan bagi membina (SPEG-KOM) sejauh 4.4 kilometer itu.

“Isu konflik manusia-gajah ini telah lama dibangkitkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telemong, Mohd Zawawi Ismail dalam Sidang Dewan Undangan Negeri Terengganu. 

"Malah, beliau berkali-kali mengutarakan kebimbangan masyarakat Kampung Basung dan Kampung Pasir Dula terhadap ancaman gajah liar," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Kesedaran Awam Bersama Masyarakat Setempat yang diadakan di Dewan Serbaguna Kampung Basung, semalam.

IMG_6667.jpeg 748.09 KB
Mengulas lanjut katanya, SPEG-KOM merupakan satu kaedah pencegahan yang berfungsi sebagai penghalang melalui renjatan elektrik ringan yang tidak mencederakan haiwan.

"Usaha ini tidak akan berhenti di sini sahaja. Kerajaan negeri ketika ini sedang melaksanakan pembinaan empat lagi jajaran baharu SPEG kekal meliputi Kampung Gerdong, Kampung Lubuk Periuk, Kampung Air Putih dan Kampung Ban Ho dengan kos keseluruhan dianggarkan sebanyak RM4 juta," ujarnya.

Sementara itu, Pengarah PERHILITAN Terengganu, Loo Kean Seong, memuji komitmen komuniti setempat yang telah memberikan kerjasama penuh dalam pembangunan pagar elektrik tersebut sehingga berjaya disiapkan dalam tempoh hanya lapan hari.

“Tahniah kepada masyarakat setempat atas kerjasama yang diberikan. Diharapkan penjagaan berkala dapat diteruskan agar usaha ini tidak sia-sia,” katanya.


Tag :

Artikel Berkaitan