KUALA TERENGGANU, 6 November – P-Excell Management Sdn. Bhd. (PEMSB), anak syarikat milik penuh Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT), hari ini melancarkan Projek Perumahan Taman Hamparan, satu pembangunan perumahan moden berkonsepkan patuh syariah dengan persekitaran kondusif dan eksklusif di Kampung Peradong, Kuala Terengganu.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, projek tersebut dibangunkan di atas tanah milikan Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) seluas 4.53 ekar dan merangkumi sebanyak 69 unit rumah teres satu tingkat dengan keluasan binaan 1,100 kaki persegi setiap unit.
"Rekabentuk kediaman berkonsep moden dan patuh syariah ini menekankan kesejahteraan keluarga Islam melalui susun atur ruang yang selesa, harmoni dan beretika.
“Kita mahu melihat lebih banyak pembangunan yang tidak hanya cantik dari segi reka bentuk, tetapi juga membawa nilai kehidupan yang berpaksi syariah serta kondusif dan eksklusif. Inilah keunikan yang perlu menjadi identiti projek-projek perumahan di Terengganu,” katanya ketika merasmikan pelancaran projek tersebut di sini hari ini.


“Kami percaya projek ini akan menjadi model perumahan Islamik moden yang bukan sahaja menepati kehendak pasaran, tetapi turut mengangkat martabat pembangunan berasaskan prinsip syariah serta kondusif dan eksklusif,” ujarnya.