lightning-solid
Berita :
MAIDAM Salur RM16.5 Juta Bantu Lebih 25,000 Asnaf di Terengganu
MAIDAM Salur RM16.5 Juta Bantu Lebih 25,000 Asnaf di Terengganu
Mastura Jamal Din
3 jam yang lepas
54

KUALA NERUS, 6 November – Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) memperuntukkan sebanyak RM16.5 juta menerusi Konvoi Agihan Hak Asnaf Fakir Miskin (KAHA) 2025 bagi membantu lebih 25,000 asnaf fakir miskin di seluruh negeri sepanjang tahun ini.

Yang Dipertuanya, Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail berkata, bagi fasa pertama, sebanyak RM13.44 juta disalurkan kepada 25,162 Ketua Isi Rumah (KIR) yang menerima bantuan MAIDAM antara 1 Januari hingga 31 Ogos tahun ini.

“Fasa kedua pula melibatkan kira-kira 5,000 KIR dengan jumlah agihan RM3 juta, meliputi penerima yang mendapat bantuan dari 1 September hingga 31 Disember depan,” katanya ketika ditemui selepas konvoi KAHA MAIDAM 2025 di Masjid Tebauk, di sini hari ini.

WhatsApp Image 2025-11-05 at 11.22.07 PM.jpeg 147.54 KB

Beliau berkata, bantuan tersebut merangkumi empat kategori utama iaitu bantuan bulanan, sara hidup, sewa rumah dan perubatan am, yang bertujuan bukan sahaja untuk meringankan beban asnaf, tetapi juga memperkukuh hubungan antara MAIDAM, pembayar zakat dan masyarakat.

“Pelaksanaan program ini membuktikan komitmen MAIDAM dalam memperkukuh sistem zakat, pembangunan ummah serta memperluas khidmat kebajikan di negeri ini,” katanya.

Shaikh Harun berkata, buat pertama kalinya, majlis induk KAHA diadakan di peringkat daerah dengan Pejabat MAIDAM Daerah Kuala Nerus dipilih sebagai tuan rumah utama.

Beliau menjelaskan, program KAHA yang kini memasuki edisi keempat memberi tumpuan kepada agihan zakat melalui pendekatan ziarah dan santuni asnaf bersama pembayar zakat.

Setiap isi rumah menerima bantuan mengikut kategori iaitu RM300 untuk individu, RM500 bagi isi rumah dua hingga tiga orang dan RM700 bagi isi rumah empat orang ke atas termasuk ketua keluarga.

“Agihan fasa pertama dijadual berlangsung dari 9 November 2025 hingga 31 Januari 2026, manakala fasa kedua akan bermula 1 Januari hingga 31 Mac 2026, tertakluk kepada perubahan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MAIDAM, Profesor Madya Datuk Dr Ahmad Azrin Adnan berkata, KAHA 2025 turut menghimpunkan pelbagai pihak termasuk pembayar zakat, agensi kerajaan dan institusi kebajikan bagi menyantuni golongan fakir miskin.

Beliau berkata, tahun ini MAIDAM memperkenalkan mekanisme agihan bukan tunai dengan kerjasama platform digital Me12Pay, menggantikan agihan tunai sebelum ini.

“Dengan hanya membawa kad pengenalan, penerima boleh menggunakan bantuan itu bagi membeli barangan keperluan asas seperti makanan, pakaian, ubat-ubatan, membayar bil utiliti serta tambah nilai prabayar di kedai panel terpilih,” katanya.

Antara premis terlibat ialah Pasar Raya Sakan, Sabasun, Farmasi Gpharmax dan Klinik Hijraa, selain beberapa farmasi serta kedai runcit lain di seluruh negeri.

“Program ini menjadi simbol komitmen MAIDAM memastikan pengurusan zakat dilaksanakan secara cekap dan berkesan.

“Tahun lalu, kadar agihan zakat berbanding kutipan mencapai 115 peratus, membuktikan keberkesanan sistem agihan zakat yang diamalkan di Terengganu,” katanya.


Tag :

Artikel Berkaitan