KUALA NERUS, 30 Oktober – Usaha bagi mengatasi masalah banjir air pasang besar di kawasan Lembah Harapan diteruskan menerusi pembinaan benteng dan pintu air di lokasi berisiko tinggi.
Tinjauan pagi tadi yang diketuai Pengerusi JPKK Kampung Seberang Takir, Abdul Halim Che Ibrahim, turut disertai Jurutera Daerah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kuala Nerus bersama beberapa pegawai teknikal JPS.
Lawatan tersebut bertujuan memantau status semasa kerja-kerja pembinaan dan memastikan pelaksanaannya berjalan mengikut jadual.
Projek ini dijangka dapat mengurangkan impak limpahan air laut serta banjir termenung yang kerap berlaku ketika musim tengkujuh dan fenomena air pasang besar.
Abdul Halim berkata, penduduk setempat amat mengharapkan penyelesaian jangka panjang bagi isu ini kerana ia memberi kesan kepada kehidupan harian dan keselamatan harta benda.
“Projek ini merupakan antara inisiatif proaktif hasil kerjasama JPKK, pihak JPS serta sokongan penuh pemimpin setempat dalam memastikan kesejahteraan komuniti terus terpelihara”
“Kita jangka siap sebelum banjir atau air pasang besar tahun ini dan rumah pam juga dalam pembinaan,” katanya.
Untuk rekod, 12 unit rumah yang terlibat setiap kali air pasang besar berlaku setiap tahun.