lightning-solid
Berita :
Program ‘Ziarah Kasih’ Bukti Keprihatinan Terhadap Golongan Memerlukan
Program ‘Ziarah Kasih’ Bukti Keprihatinan Terhadap Golongan Memerlukan
Ahmad Mawardi
2 jam yang lepas
47

HULU TERENGGANU, 30 Oktober – Program ‘Ziarah Kasih’ anjuran Skuad Kebajikan Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manir,  Hilmi Harun menjadi langkah proaktif yang membuktikan keprihatinan terhadap golongan memerlukan.

Hilmi berkata, kunjungan Skuad Kebajikan PKM diadakan dari semasa ke semasa bagi menziarahi pesakit terlantar, warga emas serta mereka yang diuji dengan pelbagai musibah.

Tambahnya lagi, program ini bukan sekadar menziarahi pesakit, malah bertujuan untuk bertanya khabar mengenai kesihatan mereka serta merapatkan hubungan silaturahim dengan keluarga yang diziarahi.

“Setiap minggu, pada masa terluang, kita akan pergi ke beberapa buah rumah sasaran biasanya tiga atau empat rumah bagi menziarahi pesakit, warga emas atau mereka yang ditimpa bencana serta penyakit dalam masa terdekat.

“Senarai nama-nama tersebut disusun dan dijadualkan oleh Skuad Kebajikan kami,” katanya.

WhatsApp Image 2025-10-30 at 1.09.00 PM.jpeg 76.6 KB

Beliau berkata demikian kepada media selepas menziarahi empat buah rumah penduduk di Kampung Pulau Bahagia, Padang Macang, Pujuk dan Padang Ujib baru-baru ini.

Sementara itu, Ketua Skuad Kebajikan PKM, Rozali Mamat berkata, pihaknya menyasarkan sekurang-kurangnya 80 peratus masalah rakyat di kawasan tersebut dapat diselesaikan melalui inisiatif yang dijalankan.

Menurutnya, dalam setiap kunjungan, skuad tersebut turut menyampaikan sedikit buah tangan dan saguhati bagi membantu pesakit membeli keperluan perubatan.

“Ada warga emas atau pesakit terlantar yang tidak tahu cara memohon bantuan, jadi kami akan ambil butiran mereka untuk diajukan kepada agensi kebajikan kerajaan bagi tindakan susulan.

“Jika dalam lawatan kami dapati ada rumah yang terlalu uzur, kita akan usahakan bantuan melalui peruntukan ADUN,” jelasnya.

Katanya lagi, melalui program seumpama ini, kebajikan PKM dan wakil rakyat akan sentiasa dekat di hati rakyat serta menjadi jambatan antara masyarakat dan pihak kerajaan.


Tag :

Artikel Berkaitan