KEMAMAN, 30 Oktober – Seramai 86 mahasiswa Tahun Satu Kolej Al-Quran Terengganu (KQT) menyertai Kem Pemantapan Jati Diri selama tiga hari dua malam yang berlangsung di Darul Iman Training Centre (DITC) di sini, baru-baru ini.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Ahmad Shah Mohamed, berkata program berkenaan diadakan bagi memperkasakan kefahaman mahasiswa terhadap asas-asas Islam dalam kehidupan sebagai individu muslim di institusi pengajian tinggi.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penutupan Kem Pemantapan Jati Diri tersebut.
Tambahnya lagi, kem itu turut memberi penekanan terhadap penerapan kemahiran insaniah (soft skills) yang meliputi aspek pembentukan diri dan kerjasama berkumpulan dalam kalangan peserta.