lightning-solid
Berita :
Kes Kanser Payudara Meningkat, Terengganu Perkasa Agenda Pink Oktober
Kes Kanser Payudara Meningkat, Terengganu Perkasa Agenda Pink Oktober
Rohayati Ripin
3 jam yang lepas
59

KUALA TERENGGANU, 30 Oktober – Kes kanser payudara yang semakin meningkat di negeri ini mendorong Kerajaan Terengganu memperkukuh agenda kesihatan wanita melalui pelaksanaan pelbagai inisiatif kesedaran dan pendidikan sejajar dengan sambutan Kempen Pink Oktober 2025.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Zuraida Md Noor, berkata kerajaan negeri komited memperkasa masyarakat, khususnya wanita di peringkat akar umbi, bagi meningkatkan kefahaman mengenai kepentingan pemeriksaan awal kanser payudara.

“Kami Kerajaan Negeri Terengganu terus komited memperkukuh agenda kesihatan wanita dan keluarga.

“Melalui pelbagai inisiatif di bawah portfolio kebajikan dan pembangunan wanita, kerajaan negeri terus memberi sokongan terhadap program kesedaran seperti ini yang mampu memperkasakan masyarakat, khususnya golongan wanita di peringkat akar umbi,” jelasnya.

AMRZ0246.jpg 4.5 MB
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Mega Pink 2025 : Pink October Breast Cancer Awareness Month di Ombak Pazaar, Tingkat 3, Mayang Mall, Kuala Terengganu, hari ini.

Menurutnya, kempen kesedaran kanser payudara atau Pink Oktober yang mula diperkenalkan di Amerika Syarikat pada tahun 1985 kini disambut secara global dan simbol rasmi untuk kesedaran kanser payudara.

“Warna pink melambangkan feminin, kasih sayang, dan harapan, serta menunjukkan sokongan kepada penghidap kanser payudara, mereka yang telah sembuh dan usaha pencegahan serta rawatan penyakit ini.

“Warna ini juga melambangkan harapan, solidariti, dan kesedaran. Simbol ini menjadi penanda global untuk Bulan Kesedaran Kanser Payudara setiap Oktober, yang juga menggalakkan pemeriksaan awal dan sokongan terhadap mereka yang berjuang melawan penyakit ini,” ujarnya.

Zuraida berkata, berdasarkan statistik Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu, jumlah pesakit kanser di negeri ini terus menunjukkan peningkatan dan keadaan itu memerlukan tindakan proaktif semua pihak, bukan sahaja kerajaan.

“Kanser payudara masih menjadi antara penyakit utama yang menjejaskan kesihatan wanita di Malaysia termasuk di negeri Terengganu.
AMRZ0366.jpg 4.51 MB
“Saya menyeru semua wanita, terutama di Terengganu, supaya mengamalkan pemakanan dan gaya hidup sihat dan menjalani pemeriksaan secara berkala sebagai satu tanggungjawab terhadap diri sendiri. Ingatlah bahawa langkah kecil seperti pemeriksaan kendiri (self-examination) dan menjalani saringan mamogram boleh menyelamatkan nyawa.

“Penyakit ini dapat dirawat dengan lebih berkesan jika dikesan pada peringkat awal. Oleh sebab itu, kesedaran, keberanian dan tindakan awal amat penting. Kempen Pink Oktober bukan hanya sekadar lambang warna merah jambu, tetapi satu simbol kekuatan, keprihatinan dan kasih sayang bagi memberi sokongan moral dan emosi kepada para pesakit serta keluarga mereka.,” katanya.

Beliau menegaskan, kejayaan usaha kerajaan bergantung kepada kesedaran masyarakat secara menyeluruh, termasuk peranan suami, anak-anak dan komuniti setempat dalam menyokong kesihatan wanita.

“Kerajaan Negeri Terengganu sentiasa komited melestarikan agenda masyarakat sihat melalui pelbagai program yang berterusan.

“Kesedaran dan pendidikan kesihatan perlu menjadi budaya bersama agar kita dapat melahirkan masyarakat yang sihat, berpengetahuan dan penyayang,” katanya.

Dalam masa sama, Zuraida turut menekankan bahawa Dasar Wanita Terengganu menjadi bukti kesungguhan kerajaan negeri melindungi dan memperkasa wanita termasuk dari aspek kesihatan fizikal, mental, sosial dan rohani.

“Setiap wanita perlu diberi akses kepada prasarana yang mesra wanita untuk menjalani dan membudayakan gaya hidup yang sihat,” tambah beliau.

Beliau berkata, sambutan Pink Oktober bukan sekadar meraikan warna merah jambu, tetapi lambang kekuatan dan kasih sayang seluruh masyarakat dalam mendepani isu kesihatan wanita.

Zuraida menambah, Kerajaan Negeri Terengganu akan terus komited melestarikan agenda masyarakat sihat melalui program yang berterusan agar setiap wanita di negeri ini dilindungi dan diberdayakan.


Tag :

Artikel Berkaitan