Artikel "Pendidikan" Terkini
163 Pelajar Cemerlang SPM, STAM 2024 Terima Pengiktirafan
KUALA NERUS, 25 Jun - Seramai 163 pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2024 diraikan dalam Majlis Anugerah Kecemerlangan Pelajar Peringkat DUN Tepoh 2024 yang diadakan di Dewan Utama, Ar-Riyadah Residence, Majlis Sukan Negeri Terengganu semalam.
Majlis anjuran Pusat Khidmat Masyarakat DUN Tepoh ini bertujuan meraikan dan memberi penghargaan atas kejayaan mendapat keputusan cemerlang dalam SPM dan STAM.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh, Hishamuddin Abdul Karim menyempurnakan majlis dengan menyampaikan sijil penghargaan, wang tunai, plak dan hadiah iringan kepada semua pelajar yang diraikan.
Beliau turut merakamkan penghargaan atas usaha gigih para pelajar, sokongan ibu bapa serta dedikasi para pendidik dalam membentuk generasi berilmu dan berakhlak mulia.
“Kejayaan ini bukan noktah terakhir, tetapi permulaan kepada perjalanan yang lebih mencabar. Insya-Allah, mereka akan melangkah ke peringkat lebih tinggi, sama ada dalam bidang akademik, teknikal mahupun pengajian agama.
“DUN Tepoh akan terus menyokong usaha untuk melahirkan modal insan berkualiti yang menjadi aset penting negeri dan negara,” ujarnya ketika berucap dalam majlis tersebut.
Majlis turut diserikan dengan kehadiran Faridah Yahya yang mewakili Pegawai Pendidikan Daerah Kuala Nerus serta Penghulu Mukim Wakaf Tembesu, Muhammad Naim Jasmi.
Salah seorang pelajar cemerlang, Mohd Hafizuddin Mohd Madhan dari Sekolah Menengah Agama Atas Sultan Zainal Abidin turut menzahirkan rasa syukur dan terima kasih atas penghargaan yang diberikan oleh pihak DUN Tepoh.
Pelajar yang memperoleh 10 Mumtaz dalam Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2024 itu berkata, inisiatif seumpama ini menjadi pembakar semangat buat dirinya dan rakan-rakan untuk terus melangkah lebih jauh dalam bidang ilmu.
“Saya amat berterima kasih kepada semua pihak terutamanya YB ADUN, guru-guru dan ibu bapa atas sokongan berterusan. Ini bukan sahaja satu pengiktirafan, tetapi satu motivasi untuk saya terus berjaya,” ujarnya.
26 Jun 25
77
Peluang Emas Untuk Mahasiswa Terengganu - Akses Percuma Ke Forum Antarabangsa
KUALA TERENGGANU, 16 Jun - Pelajar dari universiti tempatan di Terengganu bakal menikmati peluang eksklusif menyertai Young Leaders Program sempena East Coast Energy (ECE) 2025 yang dijadualkan berlangsung pada 23 dan 24 Jun ini di Taman Tamadun Islam (TTI), tanpa sebarang bayaran penyertaan.
Menurut Ahli Jawatankuasa Pemandu ECE 2025, Mohd Zamri Abdul Ghani, langkah menaja penyertaan pelajar ini bertujuan memberi pendedahan awal kepada golongan muda terhadap topik-topik semasa berkaitan tenaga boleh baharu, industri masa hadapan serta cabaran kerjaya profesional.
"Akademik adalah satu hal, kerjaya pula satu hal yang lain. Kita mahu bantu pelajar bersedia menempuh dunia luar. Mereka akan diberi ‘coaching’ tentang penulisan CV dan pendedahan peluang pekerjaan yang sepadan dengan bidang mereka.
"Jadi, ini adalah satu peluang yang baik untuk pelajar-pelajar yang berada di universiti di Terengganu.
"Setakat hari ini, kita sudah berjaya mendapatkan pengesahan penyertaan 50 orang pelajar-pelajar daripada universiti-universiti sekitar Terengganu seperti Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Terengganu," katanya.
Ahli Jawatankuasa Pemandu ECE 2025, Mohd Zamri Abdul Ghani
Pelajar yang terlibat juga bakal digabungkan dalam kumpulan tertentu bersama penceramah, moderator dan wakil industri sepanjang dua hari persidangan, menjadikan program ini platform rangkaian profesional yang berharga.
Program anjuran bersama kerajaan negeri dan Terengganu Petroleum Council (TPC) itu sekali gus menzahirkan komitmen penganjur untuk mendidik dan mencungkil potensi kepimpinan dalam kalangan belia negeri, seiring matlamat jangka panjang pembangunan tenaga mampan dan pembangunan sumber manusia tempatan.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EPIC Berhad, Dr. Ts. Muhtar Suhaili juga memaklumkan penglibatan Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (JPNT) bagi mempromosikan kebudayaan yang boleh didapati di negeri tersebut.
"Sempena dengan ECE 2025 ini, Tourism Terengganu (JPNT) juga akan menganjurkan program yang dinamakan 'Beautiful Terengganu' yang akan dijalankan di dua tempat, iaitu di Pasar Payang dan juga di Taman Tamadun Islam sendiri akan ada program persembahan kebudayaan yang akan dilaksanakan oleh Tourism Terengganu.
"Bagi orang luar daripada Terengganu (peserta ECE 2025), yang datang ke negeri Terengganu boleh datang melihat sendiri budaya masyarakat negeri Terengganu melalui persembahan kebudayaan yang akan diadakan ketika majlis pembukaan, majlis penutupan dan juga semasa selingan antara program.
"Antaranya ialah seperti persembahan gamelan, persembahan tarian, kebudayaan dan lain-lain yang dianjurkan bagi memberi nilai tambah kepada persidangan ECE 2025," jelasnya.
Persidangan julung kali diadakan itu telah berjaya meraih melebihi 700 penyertaan delegasi dari dalam serta luar negara dan akan berlangsung secara keluruhannya selama tiga hari iaitu pada 22 Jun, hari pra-persidangan dan hari persidangan penuh yang akan dijalankan pada 23 sehingga 24 Jun 2025.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EPIC Berhad, Dr. Ts. Muhtar Suhaili
16 Jun 25
646
Simulasi Haji Cilik Hidupkan Suasana Ibadah dikalangan Kanak-Kanak
HULU TERENGGANU, 12 Jun – Penganjuran program Simulasi Haji Cilik mencerminkan peranan besar institusi pendidikan Islam seperti Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) yang membentuk generasi berakhlak dan celik agama sejak usia awal.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil, Maliaman Kassim berkata usaha murni itu wajar dipuji kerana membentuk kesedaran rohani dalam kalangan anak-anak melalui pengalaman langsung yang menghidupkan suasana ibadah.
"Hari ini kita berada di Dataran Ajil, macam Dataran Mekah juga untuk simulasi haji kanak-kanak PASTI. Walaupun haji ini biasanya untuk orang dewasa, tapi pendedahan dari sudut ilmu dan penghayatan kita buat ini untuk menunjukkan mood, aura dan gelombang ibadah dalam kalangan kanak-kanak. Terbaik PASTI...
"Program anjuran PASTI Ajil itu bukan sahaja memberi pendedahan awal kepada anak-anak mengenai ibadah haji, bahkan menyemai rasa cinta kepada agama sejak kecil melalui pendekatan pembelajaran yang interaktif dan berkesan,' katanya ketika ditemui.
Seramai 246 orang murid daripada empat buah Pusat Asuhan Tunas Islam(PASTI) dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Ajil telah menyertai Program Simulasi Haji Cilik yang diadakan secara tahunan.
Program yang bermula seawal jam 7.30 pagi itu berakhir pada jam 10.30 pagi turut melibatkan aktiviti tawaf, saie, melontar jamrah dan bertahlul dalam suasana santai namun sarat dengan penghayatan ibadah, serta disambut baik oleh ibu bapa dan komuniti setempat.
"Ini yang kita kata, PASTI merupakan satu institusi pendidikan daripada kecil sampai ke besar dan terus berkembang. Tahniah kepada guru-guru dan pihak pengurusan PASTI atas usaha berterusan ini," ujarnya lagi.
12 Jun 25
237
Kebajikan, Pendidikan Agenda Utama Kerajaan
KEMAMAN, 1 Jun – Kebajikan rakyat dan pendidikan generasi muda menjadi dua agenda paling utama dalam dasar pentadbiran negeri.
Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata dasar yang memberi kesan terus kepada rakyat sentiasa menyentuh jiwanya, terutamanya dalam perkara yang mampu meringankan beban hidup rakyat.
"Daripada keseluruhan dasar yang kita rancang, antara perkara terpenting ialah melibatkan inisiatif kebajikan kepada rakyat.
"Untuk meringankan bebanan kepada rakyat, itu ada nilai sentimental kepada saya," katanya dalam Majlis Bicara Santai Pimpinan semasa program Himpunan Teguh Memimpin Terengganu (TMT 1.0) di Padang Astaka, Cukai, di sini, baru-baru ini.
Menurut beliau, selain kebajikan, inisiatif Pendidikan menjadi perkara kedua untuk membina kehidupan berdikari dan bukan sekadar pemberian sementara.
"Saya lihat, manusia ini kalau kita beri ikan, maka dia bolehlah makan ikan tersebut.
"Tapi kalau kita beri joran kepada dia, maka dia boleh berdikari, kita ajar pula cara nak guna joran itu, akhirnya dia mampu untuk cari ikan sendiri," jelasnya.
Ahmad Samsuri yakin, pendidikan ialah pelaburan jangka panjang yang akan mencorakkan masa depan rakyat dan negeri.
"Inilah konsep pendidikan kepada rakyat, saya percaya kalau buat begitu, kita menyediakan kehidupan mereka di masa akan datang.
"Mungkin 10 hingga 20 tahun akan datang, anak muda inilah yang akan meneruskan agenda kita di masa kita sudah tiada," ujarnya.
01 Jun 25
165
ADUN Bukit Besi Taja SSPN-i Buat Pelajar Cemerlang SPM
DUNGUN, 1 Jun – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)Bukit Besi, Ghazali Sulaiman menyediakan inisiatif istimewa berupa pembukaan akaun SSPN-i (Skim Simpanan Pendidikan Nasional) sebanyak RM200, buat pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di DUN berkenaan baru-baru ini.
Dalam Majlis Anugerah Kecemerlangan dan Apreasiasi SPM 2024 bagi DUN Bukit Besi yang berlangsung pada Rabu, seramai 20 pelajar cemerlang yang memperoleh keputusan 7A dan ke atas menerima tajaan tersebut.
Selain tajaan itu, sumbangan wang tunai serta cenderahati turut disampaikan kepada setiap pelajar yang hadir.
"Sumbangan ini merupakan salah satu usaha meringankan beban kewangan pelajar dan ibu bapa dalam persediaan menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.
"Saya berpendapat bahawa seharusnya diwujudkan satu tabung pendidikan yang dimulakan sejak usia kecil lagi.
Ia sedikit sebanyak dapat membantu pelajar dan keluarga mereka dalam perancangan pendidikan jangka panjang," katanya.
Beliau berkata demikian sewaktu berucap semasa majlis berlangsung.
Beliau turut menyatakan harapan besar agar para pelajar terus berusaha mencapai kejayaan ke menara gading dan seterusnya menyumbang kepada pembangunan DUN Bukit Besi khususnya, yang terletak di kawasan pedalaman Hulu Dungun sebuah lokasi yang dikenali dengan potensi pelancongan dan sumber mineralnya.
Tambahnya, pihaknya akan cuba untuk terus mengadakan program penghargaan kepada pelajar apabila mereka menamatkan pengajian di universiti kelak.
Majlis juga berkesempatan memberikan penghargaan kepada para guru dan ibu bapa yang menjadi tonggak kejayaan pelajar-pelajar berkenaan melalui sokongan dan dorongan berterusan.
29 May 25
109
42 Pelajar Cemerlang SPM Diraikan
HULU BESUT, 27 Mei – Seramai 42 pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 diraikan dalam Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang DUN Hulu Besut yang berlangsung dengan penuh meriah dan bermakna.
Majlis yang diadakan bagi menghargai pencapaian pelajar yang memperoleh keputusan 7A hingga 12A ini turut menyaksikan penyampaian sijil penghargaan dan wang saguhati sebagai tanda pengiktirafan atas kecemerlangan mereka.
Ahli Dewam Undangan Negeri (ADUN) Hulu Besut, Mohd Husaimi Hussin merakamkan ucapan tahniah kepada semua pelajar cemerlang yang selama ini telah berusaha gigih, menunjukkan ketekunan serta semangat juang yang tinggi sehingga mencapai kejayaan yang membanggakan.
"Saya amat berbangga dengan pencapaian adik-adik kita ini, kejayaan ini adalah hasil kerjasama erat antara pelajar, ibu bapa, guru dan seluruh warga sekolah yang tidak pernah berputus asa memberikan sokongan,"katanya ketika berucap di majlis tersebut yang diadakan di Dewan Warung Ramai, Alor Keladi, di sini.
Dalam pada itu,penghargaan khas turut diberikan kepada pelajar istimewa, Surya Aidil Zawawi dari kelas Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) SMK Putra, yang mencatat pencapaian membanggakan apabila berjaya memperoleh 4A dalam peperiksaan tersebut.
"Pencapaian adik Surya Aidil adalah luar biasa dan wajar dijadikan inspirasi kepada kita semua,"ujar beliau.
Dalam pada itu, Husaimi turut menyeru para pelajar agar terus berusaha dan berdoa untuk mencapai kejayaan lebih besar di masa hadapan, sambil menekankan pentingnya menjadi insan yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, tetapi juga berakhlak mulia serta memberi manfaat kepada masyarakat.
27 May 25
2439
Dr. Sam Lancar Biasiswa Anak Terengganu
Kerajaan negeri melancarkan Biasiswa Terengganu Sejahtera buat anak Terengganu yang berpotensi tetapi menghadapi kekangan kewangan untuk melanjutkan pengajian di Universiti College (UC) TATI.
27 May 25
97
Dari Rumah Asnaf ke Sektor Minyak dan Gas
KUALA NERUS, 20 Mei – Tatkala sebahagian anak muda masih tercari-cari arah hidup, seramai 47 anak asnaf berjaya menamatkan latihan teknikal dan industri dalam Program Oil and Gas Wakalah TVET (OGWTP) di Institut Teknologi Petroleum PETRONAS (INSTEP), sekali gus membuka jalan keluar dari belenggu kemiskinan menuju masa depan yang lebih terjamin.
Program selama enam bulan itu bukan sahaja membekalkan mereka dengan kemahiran dalam bidang mekanikal serta elektrikal dan instrumentasi, malah menyediakan pensijilan industri bernilai tinggi yang laku keras dalam sektor minyak dan gas, satu peluang yang sebelum ini hanya menjadi angan-angan bagi mereka yang datang dari rumah-rumah serba sederhana.
Mohammad Nasrul Nafie Mohd Nasran, salah seorang graduan program, meluahkan rasa syukur kerana diberi peluang menyertai program latihan yang disifatkannya sebagai luar biasa.
"Sepanjang enam bulan ini, kami menempuh pengalaman yang tak pernah kami bayangkan, dan amat bermakna," katanya penuh terharu.
Bagi Iman Hakim Mohd Firuz, 24, dari Kampung Pelandan, Kuala Berang, keputusan menyertai OGWTP adalah satu anjakan besar dalam hidupnya.
"Saya mula berminat dalam bidang ini semasa kerja dulu.
"Bila tahu sijil INSTEP sangat bernilai, saya terus mohon," katanya, sambil berkongsi bahawa minatnya disemai oleh pengalaman kerja serta sokongan ayahnya.
Kisah Amer Mustaqim Kamaruddin, 22, dari Kampung Raja, Besut, pula mencerminkan kecekalan seorang anak buruh yang menjadikan minat terhadap kerja tangan sebagai motivasi untuk keluar dari kepompong kemiskinan.
"Saya minat baiki motor sejak sekolah.
"OGWTP ini bagi saya peluang belajar betul-betul," ujarnya.
Program OGWTP adalah hasil kolaborasi INSTEP bersama Yayasan Pendidikan MAIDAM, Dana Asy-Syakirin, THRDC dan lebih 20 rakan industri, dibiayai sepenuhnya melalui dana zakat wakalah berjumlah RM2 juta.
20 May 25
371
RM2 Juta Bantu Anak Asnaf Terengganu Ceburi Industri Minyak dan Gas
KUALA NERUS, 18 Mei – Sebanyak RM2 juta dana zakat wakalah dimanfaatkan bagi membiayai latihan teknikal dan penempatan industri selama enam bulan kepada 47 anak asnaf Terengganu, sekali gus membuka peluang kerjaya dalam sektor minyak dan gas.
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Dato’ Ariffin Deraman berkata, program Oil and Gas Wakalah Technical and Vocational Education Training Programme (OGWTP) itu khusus untuk membantu golongan asnaf keluar daripada belenggu kemiskinan.
"Pelatih yang mengikuti program ini sebahagian besarnya adalah dari kalangan anak asnaf yang berdaftar dengan Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) dan menerima bantuan zakat,” kata beliau.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penutup OGWTP Kumpulan 2/2024 di Institut Teknologi Petroleum PETRONAS (INSTEP), di sini hari ini.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Rakit, Mohd Shafizi Ismail, Pegawai Eksekutif Yayasan Pendidikan MAIDAM (YPM), Norhana Yaakub, dan Pengurus Besar PETRONAS Wilayah Pantai Timur, Mohammad Ahmad Shazly Ramli.
Beliau turut menjelaskan, peruntukan besar hasil sumbangan zakat kakitangan PETRONAS dan kerjasama strategik bersama kerajaan negeri menjadi pemangkin kepada kejayaan program tersebut.
"Saya ucapkan terima kasih kepada pihak PETRONAS, khususnya INSTEP, dan juga kepada MAIDAM.
"Memang kita ada satu bajet zakat daripada MAIDAM, yang sebahagiannya zakat dari para pekerja PETRONAS, juga dengan kerjasama kerajaan negeri melalui Pusat Pembangunan Sumber Manusia Terengganu (THRDC)," jelasnya.
OGWTP Kumpulan 2/2024 yang berlangsung di INSTEP menyaksikan 47 peserta menerima sijil tamat latihan dalam satu majlis penuh penghargaan.
"Program ini kali kedua, program pertama selesai tahun lepas.
"Seramai 47 orang menerima sijil, berkolaborasi dengan 20 syarikat untuk menawarkan peluang kerja kepada pelatih," ujarnya.
Antara nilai tambah program ini ialah pensijilan industri seperti Sijil Kemahiran Pendawaian Kabel, Ujian Tanpa Musnah Tahap 2 (NDT), serta latihan Keselamatan Bekerja di Tempat Terkurung (AESP), Pengetahuan Bantuan Cemas, Latihan Keselamatan dan Kesihatan (OGSP), dan Induksi Asas Keselamatan Luar Pesisir dan Latihan Kecemasan (BOSIET), yang diperlukan oleh syarikat industri minyak dan gas.
Selain itu, tempoh penempatan industri turut dilanjutkan kepada enam bulan bagi memberikan pelatih pengalaman sebenar bekerja, sekali gus meningkatkan kebolehpasaran mereka dalam sektor yang sangat kompetitif.
Program ini merupakan hasil kolaborasi INSTEP, YPM, Dana Asy-Syakirin, THRDC dan lebih 20 rakan industri, dan dijangka terus diperluas demi memberi manfaat lebih besar kepada anak-anak asnaf di seluruh Terengganu.
19 May 25
965
Pelajar Imtiaz Raih Anugerah Emas di Universiti Vietnam
KUALA TERENGGANU, 5 Mei - Pelajar sekolah menengah Imtiaz Yayasan Terengganu Besut berjaya meraih pingat emas kategori Anugerah Inovasi sempena Anugerah Kreativiti dan Inovasi Antarabangsa (ICIA) 2025 yang berlangsung di University of Economics Ho Chi Minh City, Vietnam, baru-baru ini.
Kemenangan tersebut diperoleh menerusi inovasi platform pembelajaran interaktif i-Tasheel Arabic Innovation (i-TAR), hasil usaha pelajar Muhammad Hafizin Fahmi Mohd Hamdan, Ahmad Wajdan Mohd Shafiee dan Nik Muhammad Aqil Syauqi Nik Abdul Halim.
Menteri Besar, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berbangga atas kejayaan mereka yang secara tidak langsung membawa nama Terengganu ke peringkat antarabangsa.
"Pencapaian cemerlang yang membanggakan ini merupakan satu pengiktirafan yang amat bermakna terhadap keupayaan intelektual dan daya inovasi generasi muda Terengganu.
"Semoga menjadi inspirasi buat anak-anak pelajar yang lain serta kebanggaan seluruh warga Negeri Terengganu.
"Teruskan mengorak kejayaan dan pencapaian yang lebih gemilang pada masa akan datang. Syabas," ucapnya dalam satu hantaran yang telah dimuatnaik melalui laman sosial media rasminya, sebentar tadi.
Guru pembimbing pelajar-pelajar tersebut, Muhammad Badruzzaman Hassan berkata,
i-TAR merupakan projek perintis yang bertujuan untuk melahirkan pelajar yang menguasai bahasa al-Quran, iaitu bahasa Arab (Quranik).
"Melalui i-TAR, pelajar dapat memperoleh pengetahuan yang mendalam (Ensiklopedik) dalam mengenal pasti tanda-tanda i'rab dan seterusnya menganalisis (Ijtihadik) baris akhir perkataan dalam al-Quran.
"persembahan i-TAR yang menyusun kandungan utama daripada buku teks ke dalam bentuk jadual dan animasi membantu meningkatkan kefahaman serta minat pelajar dalam mempelajari tatabahasa Arab (nahu)," katanya kepada sebuah akhbar tempatan, dua hari yang lepas.
Tambah Badruzzaman, pasukan di bawah bimbingannya itu turut telah tersenarai dalam 'Top 10 Quality Education Challenge' anjuran Southeast Asian Ministers of Education Organization (SEAMEO).
05 May 25
3660