Berita :
Tiga Bandar di Terengganu Tersenarai Antara 10 Bandar Paling Bahagia
Tiga Bandar di Terengganu Tersenarai Antara 10 Bandar Paling Bahagia
Mastura Jamal Din
11 jam yang lepas
57

KUALA TERENGGANU, 8 April - Tiga bandar di Terengganu iaitu Bandar Kuala Terengganu, Bandar Permaisuri dan Bandar Marang diiktiraf sebagai antara 10 bandar paling bahagia di Malaysia oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Pengiktirafan itu dilihat sebagai cerminan kepada tahap kesejahteraan hidup rakyat, keharmonian komuniti serta kecekapan tadbir urus di peringkat akar umbi di negeri ini.

Menteri Besar, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pencapaian tersebut membuktikan Terengganu bukan sahaja terus berkembang dari segi pembangunan, malah berjaya mewujudkan suasana kehidupan yang selesa dan membahagiakan untuk rakyat.

Menurut beliau, kejayaan itu turut mencerminkan komitmen pelbagai pihak termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT), agensi kerajaan serta seluruh masyarakat yang memainkan peranan penting dalam membentuk persekitaran bandar yang lebih sejahtera.

“Setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan kepada semua pihak yang telah bertungkus-lumus memastikan bandar-bandar di Terengganu terus menjadi tempat yang harmoni, selamat dan selesa untuk didiami.

“Bahagia itu bukan sesuatu yang berlaku secara kebetulan, sebaliknya hasil usaha yang konsisten dan kerjasama semua pihak,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook rasmi  hari ini.

Sehubungan itu, Ahmad Samsuri berharap pengiktirafan tersebut dapat menjadi pemangkin kepada semua pihak untuk terus mengekalkan momentum pembangunan yang berteraskan kesejahteraan rakyat.

“Usaha membina negeri yang maju perlu sentiasa diseimbangkan dengan aspek kebahagiaan, keharmonian dan kesejahteraan masyarakat,” katanya.
Penilaian tersebut dibuat menerusi Indeks Kebahagiaan Bandar 2026 yang menggabungkan data daripada Jabatan Perangkaan Malaysia dan sistem MURNInets oleh PLANMalaysia.

Penilaian itu juga melibatkan pelbagai aspek penting termasuk kesejahteraan rakyat, kualiti hidup serta persekitaran bandar yang kondusif.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan