Berita :
Pengiktirafan UEC Cetus Kebimbangan Perpaduan Nasional
Pengiktirafan UEC Cetus Kebimbangan Perpaduan Nasional
Rohayati Ripin
3 jam yang lepas
63

KUALA TERENGGANU, 19 Mei – Keputusan kerajaan membenarkan sijil ‘Unified Examination Certificate’ (UEC) digunakan bagi permohonan kemasukan ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) disifatkan bercanggah dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan (DPK) dan berpotensi menjejaskan usaha memperkukuh perpaduan rakyat negara ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tunggal, Zaharuddin Zahid berkata, UEC menggunakan silibus yang tidak selaras dengan DPK dan pengiktirafannya boleh membuka ruang kepada kewujudan dua sistem pendidikan berasingan di negara ini.

Menurut beliau, perkara itu juga dilihat tidak menepati semangat Akta Pendidikan 1996 yang menekankan sistem pendidikan kebangsaan sebagai medium utama penyatuan rakyat pelbagai kaum di Malaysia.

“Penerimaan UEC ini akan menyebabkan usaha penyatuan rakyat Malaysia di bawah satu bahasa menjadi semakin sukar dan akhirnya memberi kesan kepada perpaduan masyarakat majmuk di negara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas keputusan kerajaan berkaitan pengiktirafan sijil UEC untuk kemasukan ke IPTA, hari ini.

Zaharuddin turut mendakwa isu tersebut menunjukkan tuntutan pengiktirafan UEC yang diperjuangkan sebelum ini akhirnya berjaya direalisasikan dalam situasi politik negara yang sedang menuju Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Katanya, kerajaan perlu menilai semula keputusan tersebut demi memastikan dasar pendidikan negara kekal berteraskan identiti nasional dan mampu menjadi asas penyatuan rakyat.

“Kita berharap kerajaan dapat mempertimbangkan semula keputusan ini supaya perpaduan masyarakat majmuk di Malaysia dapat terus diperkukuhkan dan dipertahankan,” ujarnya.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan