Berita :
Terengganu Perkukuh Agenda Air Demi Pelaburan, Kesejahteraan Rakyat
Terengganu Perkukuh Agenda Air Demi Pelaburan, Kesejahteraan Rakyat
Mastura Jamal Din
6 jam yang lepas
89

KEMAMAN, 19 Mei – Kerajaan negeri terus memperkukuh agenda pembangunan infrastruktur air sebagai langkah strategik memastikan kestabilan ekonomi, menarik pelaburan baharu serta menjamin kesejahteraan rakyat di seluruh negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dato'  Hanafiah Mat berkata, keterjaminan bekalan air bersih dan stabil menjadi asas penting kepada pembangunan negeri khususnya dalam sektor pelancongan, perindustrian serta pertanian.

Menurut beliau, tanpa sistem bekalan air yang cekap dan berterusan, usaha kerajaan negeri untuk menarik pelaburan strategik dan memperkukuh pertumbuhan ekonomi sukar direalisasikan.

“Kerajaan negeri melalui syarikat operator air, SATU sentiasa memberi keutamaan kepada agenda pembangunan infrastruktur air negeri bagi memastikan rakyat menikmati bekalan air berkualiti, stabil dan mencukupi.

“Pelaburan besar terus disalurkan untuk menaik taraf loji-loji rawatan air di seluruh negeri selain melaksanakan program penggantian paip lama dan usang secara berterusan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Sambutan Hari Terbuka Loji Syarikat Air Terengganu (SATU) sempena Hari Air Sedunia 2026 bersama Pimpinan Kerajaan Negeri Terengganu di Loji Rawatan Air Bukit Sah, di sini hari ini.

Tambah beliau, langkah penggantian paip lama itu penting bagi mengurangkan kadar Non-Revenue Water (NRW) atau Air Tidak Hasil yang menjadi antara fokus utama kerajaan negeri dalam meningkatkan kecekapan sistem bekalan air.

Katanya, loji rawatan air memainkan peranan penting dalam memastikan proses rawatan dan pengagihan air bersih kepada pengguna dapat dilaksanakan secara cekap dan berkesan.

“Di sebalik setiap bekalan air yang sampai ke rumah pengguna, terdapat proses teknikal yang kompleks melibatkan rawatan, pemantauan kualiti air, penyelenggaraan sistem serta operasi berterusan yang memerlukan kepakaran dan komitmen tinggi daripada seluruh warga kerja sektor air,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut menyifatkan program hari terbuka tersebut sebagai platform terbaik untuk memberi pendedahan kepada masyarakat mengenai proses rawatan air mentah sebelum menjadi air bersih yang selamat digunakan.

“Program seperti ini juga mampu meningkatkan penghargaan rakyat terhadap usaha besar yang dilaksanakan operator air negeri dalam memastikan bekalan air sentiasa mencukupi dan berkualiti,” katanya.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan