KUALA TERENGGANU, 18 Mei - Kerajaan menegaskan isu perpindahan 14 keluarga dari kawasan Kampung Hiliran Jejawi bagi memberi laluan kepada projek Rumah Pangsa Mampu Milik (RPMM) Hiliran Jejawi telah ditangani dengan pelbagai bantuan dan kemudahan penempatan alternatif.
Ia termasuk bantuan sewa rumah melalui Majlis Agama dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), tawaran unit di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Hiliran kepada penghuni rumah di sana, serta penangguhan sementara tindakan penguatkuasaan bagi memastikan kebajikan penduduk terlibat diselesaikan terlebih dahulu.
Ketua Penolong Setiausaha Kerajaan (Perumahan), Pentadbiran dan Kewangan negeri, Mohd Asrur Omar berkata proses penyelesaian itu telah berjalan sejak 2025 melalui beberapa siri perbincangan melibatkan SUK Bahagian Perumahan, Pejabat Tanah dan Daerah Kuala Terengganu (PTKT), Pejabat Tanah dan Galian (PTG), MAIDAM, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) serta wakil penduduk.
Menurutnya, satu perjumpaan bersama 17 keluarga penduduk telah diadakan pada 9 November 2025, turut melibatkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar, Ahmad Shah Muhamed.
Katanya, Ppertemuan itu diadakan bagi memberi penerangan berhubung keperluan berpindah, selain mendengar pandangan dan aduan penduduk secara langsung.
“Dalam sesi itu, kerajaan telah menjelaskan pendirian untuk meneruskan projek RPMM Hiliran Jejawi dan keperluan penduduk untuk berpindah.
“Susulan perjumpaan itu juga, PTKT bersama Pejabat SUK Perumahan telah membuat siasatan terperinci dan mengesahkan hanya 14 unit rumah masih dihuni melibatkan 14 keluarga,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Mohd Asrur berkata, daripada 14 nama ketua keluarga yang disahkan masih mendiami tanah kerajaan berkenaan, empat daripadanya telah menyewa di PPR Hiliran dengan bantuan sewa rumah daripada kerajaan negeri melalui MAIDAM.
"Lima lagi pula menerima bantuan sewa rumah," jelasnya.
Bagaimanapun, katanya, lima individu tidak layak menerima bantuan MAIDAM kerana empat daripadanya melebihi had kifayah, manakala seorang lagi tidak terlibat dengan tapak kediaman sebaliknya melibatkan tapak kedai makan.
Tambah beliau, dalam usaha menjaga kebajikan penduduk, Bahagian Perumahan turut mencadangkan tawaran unit rumah di PPR Hiliran kepada pihak terlibat.
“Daripada cadangan itu, dua penama bersetuju menerima tawaran berkenaan, manakala dua lagi penama memilih untuk tinggal di rumah sewa lain,” jelasnya.
Menurut beliau, surat temu duga kepada penduduk telah dikeluarkan pada 4 Mei lalu dan sesi temu duga diadakan pada 12 Mei.
SUK Perumahan kini sedang menyelesaikan proses siasatan dan penawaran oleh Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) dijangka dibuat sekitar Jun.
Beliau turut memaklumkan tindakan penguatkuasaan telah ditangguhkan sementara bagi memberi ruang kepada urusan bantuan serta semakan kebajikan penduduk diselesaikan oleh agensi berkaitan.
Dalam masa sama, kerajaan negeri menegaskan penduduk sendiri memahami status tanah yang diduduki, manakala projek RPMM Hiliran Jejawi perlu diteruskan demi kepentingan rakyat yang lebih luas.
RPMM Hiliran Jejawi akan menempatkan 32 unit rumah pangsa berkeluasan 800 kaki persegi, dilengkapi tiga bilik tidur dan dua bilik air.
Tapak cadangan projek itu merupakan tanah milik kerajaan negeri dan tidak melibatkan pengambilan balik tanah.
Justeru, isu pampasan atau ex gratia tidak timbul dalam konteks ini.
Projek tersebut dijadualkan bermula pada Januari 2027.
Sebelum ini, ada pemimpin parti politik cuba memainkan isu ini seolah-olah kerajaan negeri bertindak secara tidak berperikemanusiaan dan mendakwa tiada bantuan diberikan.
Tag :