Berita :
Video Tular Pasangan Miskin Tegar: Hanya Pondok Kebun, Bukan Kediaman Tetap
Video Tular Pasangan Miskin Tegar: Hanya Pondok Kebun, Bukan Kediaman Tetap
Hidayah Azlin
9 jam yang lepas
490

SETIU, 14 Mei – Jawatankuasa Penimbangan Kebajikan Daerah Setiu tampil memberikan penjelasan berhubung sebuah video tular yang mendakwa sepasang suami isteri miskin tegar tinggal di sebuah rumah daif di Kampung Padang Saujana, Permaisuri.

Pengerusi Jawatankuasa Penimbangan Kebajikan Daerah Setiu, Dato’ Dr. Azman Ibrahim berkata, hasil laporan yang dibentangkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permaisuri, Mohd Yusop Majid dalam mesyuarat jawatankuasa tersebut mendapati lokasi yang digambarkan dalam video berkenaan bukanlah kediaman tetap pasangan terbabit.


Menurut beliau, pemeriksaan mendapati rumah yang dimaksudkan hanyalah sebuah pondok kebun yang digunakan oleh pasangan tersebut, Faizal Ibrahim dan Salina Hassan, sebagai tempat tinggal sementara untuk mengusahakan tanaman di kawasan berkenaan.

“Tanah tersebut merupakan tanah sewaan daripada Terengganu Agrotech Development Corp Sdn Bhd (TADC). Berdasarkan semakan pada kad pengenalan, alamat tetap pasangan ini sebenarnya terletak di Kampung Alor Selising, Besut dan bukannya menetap secara kekal di pondok tersebut," katanya.

Mengulas lanjut mengenai status bantuan, Dr. Azman menjelaskan bahawa pasangan tersebut tidak terlepas daripada perhatian pihak berkuasa. 

Beliau mengesahkan bahawa mereka ada menerima bantuan bulanan bagi urusan persekolahan anak daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Besut.

Pihak jawatankuasa mengambil maklum akan penularan maklumat tersebut dan akan terus memantau serta menjalankan tindakan susulan bagi memastikan kebajikan pasangan itu sentiasa terpelihara mengikut prosedur yang ditetapkan.

Terdahulu, tular sebuah rakaman video di media sosial yang memaparkan kedaifan sebuah pondok di tengah kebun sehingga mengundang simpati netizen dan pelbagai reaksi terhadap tahap penyaluran bantuan di kawasan tersebut.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan