Berita :
Pasangan Mengaku Khalwat Kali Kedua Dihukum Sebatan, Denda
Pasangan Mengaku Khalwat Kali Kedua Dihukum Sebatan, Denda
Mastura Jamal Din
8 jam yang lepas
107

KUALA TERENGGANU, 14 Mei – Seorang pembantu kedai makan dan pasangannya dijatuhi hukuman enam sebatan (syariah) serta denda keseluruhan RM6,000 oleh Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas kesalahan khalwat berulang, Januari lalu.

Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu, Nik Mohd Shahril Irwan Mat Yusof memerintahkan kedua-dua tertuduh dikenakan tiga sebatan dan denda RM3,000 setiap seorang.

Mahkamah turut menetapkan hukuman penjara empat bulan sekiranya gagal menjelaskan denda berkenaan.

Hukuman sebatan itu diperintahkan dilaksanakan di Penjara Marang pada pukul 10 pagi, 7 Jun depan selepas tamat tempoh rayuan selama 14 hari.

Tertuduh, Anuar (bukan nama sebenar), 26, dan pasangannya, Nurul (bukan nama sebenar), 24, didapati melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Kerteh, Kemaman kira-kira pukul 3.15 pagi pada 15 Januari lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 31(a) dan (b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2021.

Berdasarkan fakta kes, pasangan itu ditahan dalam satu serbuan sebelum pemeriksaan lanjut mendapati mereka tidak mempunyai hubungan mahram atau dokumen perkahwinan yang sah.

Dalam penghakimannya, Nik Mohd Shahril berkata, mahkamah memandang serius kesalahan berulang yang dilakukan kedua-dua tertuduh memandangkan mereka pernah disabitkan atas kes sama sebelum ini.

“Kesalahan ini bukan sahaja melanggar hukum syarak, malah menunjukkan kegagalan tertuduh mengambil pengajaran daripada hukuman terdahulu,” katanya.

Sebelum ini, pasangan berkenaan pernah ditahan atas kesalahan sama pada Januari 2025 sebelum Mahkamah Rendah Syariah Kemaman pada 13 Mei tahun lalu menjatuhkan hukuman denda RM2,600 atau penjara tiga bulan terhadap Anuar.

Nurul pula sebelum ini didenda RM2,500 atau penjara dua bulan bagi kesalahan sama.

Terdahulu, Anuar yang bekerja sebagai pembantu kedai makan merayu hukuman diringankan dengan alasan merupakan anak bongsu daripada enam beradik.

Sementara itu, Nurul yang bekerja sebagai barista memohon hukuman dikurangkan kerana perlu menyara ibu dan adik-beradik selepas kematian bapanya.

Mahkamah bagaimanapun mengekalkan hukuman tersebut sebagai pengajaran sebelum membenarkan kedua-duanya diikat jamin RM1,000 setiap seorang dengan seorang penjamin sementara menunggu tarikh pelaksanaan hukuman.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan