Artikel "Utama" Terkini
Sidang DUN : Sedia Teliti Cadangan Sedia Ruang Khas Untuk Keluarga Di Panggung Wayang
Kerajaan negeri bersedia meneliti cadangan supaya menambah baik kemudahan termasuk menyediakan ruang khas untuk keluarga di panggung wayang Paya Bunga (PB) Sentral, Kuala Terengganu.Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri, Dato’ Mohd Jidin Shafie berkata, kerajaan negeri bersedia meneliti cadangan Ariffin Deraman (Pas-Alor Limbat) supaya diadakan ruang khas berkenaan untuk penonton yang datang bersama keluarga selain pengasingan antara lelaki dengan perempuan.Beliau berkata, walaupun cadangan itu agak 'membebankan' pengusaha panggung wayang tersebut, pihaknya akan melihat kesesuaian dan keperluan itu sebelum memutuskannya. "Sejak dilancarkan pada 18 Mac lalu, sambutan orang ramai sangat memberangsangkan. Setakat ini melalui pemerhatian semua panggung penuh dan ini menunjukkan sesuatu yang bagus."Kita kena ingat, tak semestinya yang datang tu belia sahaja, anak-anak dan ibu bapa, adik beradik pun datang tengok juga. Kita tengok nanti bagaimana boleh buat tambah baik," katanya.Beliau berkata demikian dalam sesi penggulungan persidangan penggal kelima Dewan Undangan Negeri Ke-13 di Wisma Darul Iman, hari ini.Terdahulu, Ariffin Deraman (Pas-Alor Limbat) dalam sesi perbahasan semalam meminta pihak kerajaan mengkaji balik serta menutup panggung wayang kerana dikhuatiri akan menyebabkan gejala sosial yang serius berlaku dalam kalangan masyarakat terutamanya belia.Panggung wayang di PB Sentral itu dikendalikan oleh Lotus Fivestar Cinemas (M) Sdn Bhd bermula 18 Mac lalu menyediakan 11 dewan yang akan dibuka secara berperingkat.Mohd Jidin (BN-Permaisuri) dalam sesi pergulungan juga berkata, kamera litar tertutup (CCTV) memang sudah dipasang di beberapa kawasan sesuai di sekitar panggung tersebut untuk tujuan keselamatan pengunjung."Alor Limbat kata pastikan panggung wayang ni dalam cerah. Nak tengok wayang memang lah kena gelap sebab cahaya skrin pun dah cerah."Kerajaan negeri ambil maklum juga bahawa panggung wayang ini tidak akan beroperasi pada hari-hari kebesaran dalam Islam. Ia hanyalah sekadar tempat hiburan untuk seisi keluarga. Biarlah ada sedikit hiburan di Terengganu yang sesuai dalam penerimaan rakyat negeri ini," katanya.Tambahnya, operasi panggung wayang itu tertakluk kepada peraturan di bawah Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan 2002 serta Kaedah-kaedah Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan 2003.Mohd Jidin berkata Majlis Bandaraya Kuala Terengganu hanya mengeluarkan lesen hiburan sebanyak RM9,910 setahun manakala cukai hiburan dikenakan 25 peratus daripada setiap jualan tiket dan menjadi hasil kerajaan negeri (SUK).
30 Mar 17
70
Sidang DUN : Bayaran Pembangunan Pusat Pentadbiran Daerah Kuala Nerus Secara Berjadual Dengan Had
Kaedah pembayaran projek Pembangunan Pusat Pentadbiran Daerah Kuala Nerus adalah secara Bayaran Berjadual Dengan Had.Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, bayaran bukan dilakukan secara 'deferred payment' seperti yang dikatakan oleh Hishamuddin Abdul Karim (Pas-Tepoh).Katanya, cara pembayaran yang dinyatakan wakil pembangkang itu mempunyai perbezaan sangat besar."Kos pembangunan pusat pentadbiran ini adalah sebanyak RM600 juta, tanpa sebarang faedah."Saya juga sudah jelaskan yang bayaran akan dibuat dengan had, sebanyak RM70 juta setahun sehingga selesai pada tahun 2024 iaitu selama lapan tahun dan enam bulan," katanya.Beliau berkata demikian dalam sesi penggulungan persidangan penggal kelima Dewan Undangan Negeri Ke13 di Wisma Darul Iman, hari ini.Tambahnya, cadangan penubuhan daerah baharu Kuala Nerus merupakan cadangan yang sudah lama dirancang."Ianya sudah wujud sebelum zaman Pas memerintah Terengganu lagi."Tetapi keperluannya semakin mendesak berikutan pertambahan penduduk yang mendadak dan perkembangan ekonomi yang pesat di daerah tersebut," katanya.
30 Mar 17
219
Sidang DUN : Terengganu Bakal Terima RM183 Juta Pampasan Penyerahan UniSZA
Kerajaan negeri sudah menerima bayaran sebanyak RM10 juta hasil tuntutan pampasan dari Kerajaan Persekutuan susulan penyerahan Kolej Ugama Sultan Zainal Abidin (KUSZA) kepada Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur & Kemudahan Awam, Tenaga dan Teknologi Hijau Negeri, Ir Rosli Othman berkata, nilai itu adalah sebahagian daripada jumlah keseluruhan RM183 juta yang dituntut kerajaan negeri sebaik KUSZA diserahkan kepada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).“Lebihan bayaran akan diterima secara berjadual di mana RM61 juta bakal diperoleh pada tahun ini manakala selebihnya iaitu lebih RM112 juta lagi dibayar pada 2018,” katanya.Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ridzuan Hashim (Pas-Teluk Pasu) di persidangan penggal kelima Dewan Undangan Negeri ke-13, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, pada hari ketiga, hari ini.Katanya, tiada cadangan untuk membina institut pengajian tinggi lain bagi menggantikan UniSZA yang kini di bawah pengurusan KPT.“Sebaliknya penyerahan institut itu, Terengganu bakal memiliki Hospital Pengajar Unisza,” katanya..
30 Mar 17
76
Sidang DUN: Status Projek Pasar, Terminal Bas Chukai Masih Peringkat Permohonan
Status projek pasar dan terminal bas Chukai, di Bandar Chukai, Kemaman menerusi Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan sejak 2004, masih di peringkat permohonan untuk diluluskan sebelum dilaksanakan secepat mungkin.Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Tenaga dan Teknologi Hijau Negeri, Ir Rosli Othman berkata, kelulusan pembinaan projek di Pengkalan Pandan yang turut meliputi bangunan komersial sudah beberapa kali tertangguh disebabkan pelbagai masalah teknikal.“Pihak itu terpaksa meneliti dan mengkaji beberapa perkara, termasuk pemilikan tanah awam, kos yang agak tinggi iaitu melibatkan RM50 juta selain penglibatan pelbagai pihak untuk sesuatu projek,” katanya.Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Hanafiah Mat (Pas-Chukai) di persidangan penggal kelima Dewan Undangan Negeri ke-13, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, pada hari ketiga, hari ini.Rosli memberitahu bagaimanapun, kerajaan negeri tetap menghantar permohonan baru pada pertengahan tahun lalu dengan memohon peruntukan kira-kira RM10 juta bagi memulakan projek Terminal Bas Chukai berkenaan.“Projek lain termasuk pasar, bangunan komersial, laluan bertar, landskap dan beberapa kemudahan lain di kawasan 5.4 hektar itu akan dibina secara berperingkat-peringkat,” katanya .
30 Mar 17
227
Sidang DUN : Semua Masyarakat Perlu Bersikap Dan Berfikiran Pelancongan
Tengku Zaihan ketika membahaskan titah Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin di persidangan penggal kelima Dewan Undangan Negeri ke-13, di Wisma Darul Iman pada hari ketiga, hari ini. Foto oleh Tg Syamim Tg IsmailSetiap lapisan masyarakat di negeri ini diminta supaya lebih berfikiran dan bersikap pelancongan dalam usaha mencapai matlamat serta menjayakan Visit Beautiful Terengganu 2017 .Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Besut, Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman berkata, berfikiran dan bersikap pelancongan mampu meningkatkan mutu dan memberi kesan positif terhadap sektor pelancongan Terengganu secara khasnya.“Berfikiran pelancongan ini bermaksud masyarakat termasuk dari pihak jabatan kerajaan, swasta, penggiat-penggiat pelancongan termasuk pekedai, pemandu kereta sewa dan bot yang merupakan barisan hadapan menyerapkan pemikiran ke arah memajukan sektor pelancongan. “Dari segi kelakuan pula, mereka hendaklah menjadi seperti penggiat pelancongan. Contohnya seperti pekedai, mereka hendaklah memberi layanan yang istimewa serta penuh kemesraan agar pengunjung akan terus mengunjungi kedai tersebut pada masa akan datang,” katanya.Beliau berkata demikian selepas selesai membahaskan titah Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin di persidangan penggal kelima Dewan Undangan Negeri ke-13, di Wisma Darul Iman pada hari ketiga, hari ini.Dalam pada itu, Tengku Zaihan juga mensasarkan lebih banyak lagi taman negeri akan diwartakan, selepas Taman Bencah Setiu diwartakan sebagai taman negeri.Tambahnya, kerajaan negeri juga telah mewujudkan Terengganu Riverine and Coastal Authority (Trevicosta) bagi memantau taman-taman negeri yang ada di Terengganu.“Apabila bercakap pasal pelancongan di Terengganu, kita tidak dapat lari daripada eko-pelancongan yang mana melibatkan keindahan dan juga khazanah alam yang ada di negeri ini iaitu keindahan flora dan fauna yang ada di seluruh pelosok negeri Terengganu.“Trevicosta ini merupakan satu agensi yang mana akan menjaga kelestarian sungai-sungai, tasik-tasik, persisiran pantai dan juga hutan-hutan yang ada di Terengganu,” katanya.
29 Mar 17
82
Sidang DUN : Perluaskan Trenglish Ke Lebih Banyak Sekolah
Kerajaan negeri diharap supaya memperluaskan program Trenglish ke lebih banyak sekolah berikutan banyak kesan positif dan kejayaan yang direkodkan peserta-peserta program tersebut.Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Rakit, Bazlan Abdul Rahman berkata, pada tahun lepas terdapat peningkatan kelulusan dalam Bahasa Inggeris Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sebanyak 3.25 peratus bagi peserta yang menyertai program tersebut.Katanya, sehingga kini, hanya beberapa sekolah di Terengganu sahaja yang terlibat dalam program tersebut dan bilangan itu merangkumi beberapa peratus sahaja dari keseluruhan sekolah di Terengganu.“Program tersebut hanya melibatkan sebahagian kecil, iaitu 37 buah sekolah sebagai perintis dan 50 buah sekolah pada tahun ini. Bermakna hanya 10 peratus sahaja daripada jumlah 501 sekolah di negeri Terengganu yang terlibat dalam program tersebut."Kita berharap kerajaan negeri dapat memberi perhatian dan menambah peruntukan untuk program ini bagi meningkatkan mutu pencapaian kepada anak-anak Terengganu. Mungkin diperluaskan sekurang-kurangnya 50 peratus daripada bilangan sekolah yang ada di negeri ini sebagai komited meningkatkan pencapaian dan penguasaan Bahasa Inggeris di kalangan pelajar," katanya.Beliau berkata demikian selepas selesai membahaskan titah Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin di persidangan penggal kelima Dewan Undangan Negeri ke-13, di Wisma Darul Iman pada hari ketiga, hari ini.Dalam masa yang sama, Bazlan turur memberi cadangan agar memberi perhatian semula kepada sekolah-sekolah elit dan premier di Terengganu dengan mengaktifkan beberapa bidang yang boleh menonjolkan kreativiti pelajar seperti robotik, aeronatik, memanah, astronomi dan sukan berkuda."Satu ketika dahulu, sekolah-sekolah ini sering menjadi pilihan pelajar cemerlang, namun akhir-akhir ini ia agak suram.“Mungkin sekolah-sekolah ini kembali menjadi rebutan sekiranya ada keistimewaan dan keunikan tersendiri di sekolah tersebut," katanya.
29 Mar 17
58
Sidang DUN : RM85 Juta Dibelanja Untuk Bandar Baharu Kuala Nerus
Kerajaan negeri setakat ini hanya membelanjakan RM85 juta kepada kontraktor yang dipertanggungjawabkan daripada keseluruhan peruntukan RM600 juta bagi melaksanakan projek pembangunan Bandar Baharu Kuala Nerus.Ir Rosli Othman (BN-Kemasik) berkata, projek berkenaan menggunakan konsep bayaran tertangguh dengan kerajaan negeri hanya akan menjelaskan pembayaran sebanyak RM70 juta setahun dan bukannya berdasarkan kemajuan projek. "Projek Bandar Baharu Kuala Nerus dirancang pada 2013 dan ianya dijangka akan mengambil masa kira-kira sembilan tahun untuk disiapkan. "Setakat ini, kemajuan projek itu sudah mencapai 30 peratus, termasuk pembinaan jalan masuk dan landskap," katanya.Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Azan Ismail (PKR-Bandar) mengenai kemajuan serta jumlah peruntukan dan perbelanjaan sehingga kini bagi projek itu, di persidangan kelima Dewan Undangan Negeri ke-13, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, pada hari ketiga, hari ini.Sementara itu, Ir Rosli yang juga Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Tenaga dan Teknologi Hijau Negeri berkata, kerajaan negeri tidak berhasrat untuk menjadikan pokok gergasi, 'Ceiba Chodatii' sebagai ikon atau simbol untuk Bandar Baharu Kuala Nerus.Katanya, pokok itu hanyalah sumbangan kontraktor utama projek bagi pembangunan bandar baharu yang bertujuan memperindahkan landskap, menambah tarikan dan keunikan di Bandar Kuala Nerus. "Dakwaan dan tohmahan yang tersebar kononnya pokok itu akan menjadi ikon Kuala Nerus di laman sosial adalah tidak benar, disebarkan pihak tidak bertanggungjawab yang hanya ingin menimbulkan kekeliruan di kalangan rakyat," ujarnya menjawab soalan tambahan lisan Azan berhubung dakwaan menjadikan tanaman itu sebagai ikon. Menjawab soalan tambahan Hishammuddin Abdul Karim (Pas-Tepoh) sama ada sumbangan dari kontraktor untuk mana-mana projek kerajaan adalah amalan biasa, Ir Rosli berkata ia bukan amalan kerajaan negeri, namun jika sumbangan tersebut diberi sebagai tanggungjawab sosial korporat (CSR), ia diterima dengan tangan terbuka."Saya juga menafikan terdapat dua pokok gergasi itu di Kuala Nerus, sebaliknya yang ada hanya satu pokok sahaja. Buat pengetahuan semua juga, penyelenggaraan pokok ini juga akan dibuat oleh kontraktor itu secara percuma, langsung tidak membabitkan duit kerajaan negeri, " katanya.Pembinaan Bandar Baru Kuala Nerus bermula pada Disember 2015 dan dijangka siap pada Disember 2020, namun melalui laporan kemajuan projek, sehingga kini dijangka bangunan pentadbiran boleh mula digunakan pada Disember 2018.
29 Mar 17
147
Sidang DUN : Kaji Cadangan Pembangkang Bina Penempatan Khas Untuk Penagih
Kerajaan negeri tidak menolak mentah-mentah sebarang cadangan pihak pembangkang, termasuk membina penempatan khas untuk penagih dadah, sebagaimana yang dicadangkan Mohd Abdul Wahid Endut (Pas-Wakaf Mempelam).Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Roslee Daud berkata, cadangan tersebut memerlukan kajian secara terperinci sebelum membuat sebarang keputusan.“Dalam usaha membanteras penyalahgunaan dadah, pendekatan yang dibuat oleh kerajaan termasuk penguatkuasan akta setakat ini agak menyakinkan.“Walau bagaimanapun, cadangan untuk menempatkan mereka ini (penagih dadah) di sebuah pulau agar bekalan dadah sukar diperoleh sepertimana yang dicadangkan wakil pembangkang akan diteliti dan dikaji balik,” ujarnya.Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Mohd Abdul Wahid di persidangan kelima Dewan Undangan Negeri ke-13, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, pada hari ketiga, hari ini.Roslee (BN-Bukit Besi) berkata, kerajaan negeri sentiasa memberi perhatian serius terhadap isu penyalahgunaan dadah khususnya di kalangan belia memandangkan golongan ini adalah pewaris generasi akan datang."Dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO), kita sentiasa memberi sokongan terhadap apa yang dilaksanakan termasuk usaha beberapa pusat pemulihan yang telah dibuat oleh NGO dalam mengatasi masalah penyalahgunaan dadah ini,” ujarnya.
29 Mar 17
101
Sidang DUN: Terengganu Belanja RM300 Ribu Bantu Penternak Ikan Kerapu
Kerajaan negeri membelanjakan hampir RM300,000 bagi membantu penternak ikan kerapu di persisiran pantai di Terengganu sepanjang tahun lalu.Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani, Perusahaan Perladangan dan Komoditi Negeri, Dato’ Muhammad Pehimi Yusof, berkata peruntukkan itu termasuk membekalkan induk kerapu, membekalkan peralatan-peralatan seperti tangki, sistem air laut dan juga peralatan-peralatan lain.Katanya, kebanyakan benih kerapu sekarang ini masih perlu diperolehi dari luar negara seperti Bali ataupun Surabaya di Indonesia. “Apa yang diusahakan penternak benih ikan itu di Terengganu sebelum ini menemui kegagalan disebabkan faktor cuaca dan beberapa permasalahan yang tidak dapat dielakkan.“Walaupun gagal, kita berjaya menghasilkan benih ikan dari spesis lain, termasuk siakap,” katanya.Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Satiful Bahri Mamat (Pas-Paka) di persidangan kelima Dewan Undangan Negeri ke-13, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu pada hari kedua, semalam..Menurutnya, tiga lokasi penetasan bagi projek pembenihan dan ternakan ikan kerapu yang diusahakan Terengganu Agrotech Development Corp Sdn Bhd (TADC) beberapa tahun lalu telah pun diserahkan kepada pihak lain."Satunya kita serah kembali kepada perikanan, dua lagi kita bekerjasama dengan syarikat swasta yang mana untuk mengeluarkan benih kerapu,”katanya.
29 Mar 17
49
Sidang DUN : Kerajaan Disaran Tubuh Jawatankuasa Khas Persediaan DFTZ
Kerajaan negeri disarankan agar menubuhkan satu jawatankuasa khas sebagai persedian awal dalam Zon Perdagangan Bebas Digital (DFTZ) yang baru dilancarkan pada 22 Mac lalu.Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih, Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar berkata, DFTZ adalah sumber pendapatan baru untuk negara yang tidak boleh dipandang ringan oleh pihak kerajaan negeri.“Saya meminta pihak kerajaan melalui Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU), Majlis Ekonomi Negeri Terengganu (MEN-T), serta exco-exco cuba fokuskan kembali bagaimana untuk mencari ruang atau sumber pendapatan negara yang terbaru ini.“Kita tidak boleh lepaskan peluang ini tatkala kita menjalankan aktiviti konvensional, masih mengharapkan kepada pendapatan minyak. Kita perlu fokus dan kumpul segalanya terhadap bagaimana untuk kita dapat mencari pendapatan yang bakal dijana oleh DFTZ ini,” katanya.Beliau berkata demikian ketika membahaskan titah Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin di persidangan penggal kelima Dewan Undangan Negeri ke-13, di Wisma Darul Iman pada hari kedua, hari ini.Wan Abdul Hakim berkata, teknologi kini sudah berubah apabila ianya turut meliputi landskap kehidupan manusia, pengurusan kerajaan serta pengurusan syarikat.Tambahnya DFTZ yang baru dilancarkan tersebut dijangka akan memberi beberapa kesan positif kepada negara dalam masa lapan tahun.“Pertama DFTZ akan menyumbangkan 20 peratus kepada Keluaran Dalam Negara (GDP) menjelang 2025 iaitu sebanyak RM286 bilion serta pertumbuhan eksport akan berganda dalam masa yang sama.“60,000 peluang pekerjaan secara langsung dan tidak langsung akan turut diwujudkan dalam masa lapan tahun ke hadapan,” katanya.
28 Mar 17
88