lightning-solid
Berita :

Artikel "Pendidikan" Terkini

Terengganu Mampu Jadi Hab Inovasi Tempatan
Terengganu Mampu Jadi Hab Inovasi Tempatan
DUNGUN, 4 Oktober - Negeri Terengganu mampu menjadi negeri yang kaya dengan inovasi sekiranya diuruskan dengan baik. Pengarah Pusat Penyelidikan Alam Sekitar Pantai Timur Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Profesor Madya Ts. Dr. Roslan Umar menyatakan harapan itu ketika menyentuh isu penurunan minat pelajar bagi memasuki aliran sains. "Saya berpandangan, Terengganu memiliki modal insan yang besar dan saya lihat sebagai antara negeri yang boleh kembangkan inovasi. "Cuma, kerajaan negeri perlu lebih proaktif buka ruang dan peluang kerana anak-anak Terengganu bijak dan berkebolehan," katanya. Dr. Roslan menunjukkan alat cerapan UniSZA yang dipamerkan. Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengendalikan Bicara STEM bertajuk Astronomi, Falak dan Alam Semesta dalam Sciences Journey Carnival STI Madani anjuran Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu (PSKT) di Bandar Al Muktafi Billah Shah, semalam. Selain bertindak sebagai panel dalam program tersebut, Dr. Roslan juga merupakan salah seorang daripada 100 saintis tempatan yang dilantik bagi Program STI 100 on Power of Three yang diketengahkan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi pemerkasaan pembudayaan Sains, Teknologi dan Inovasi (STI).  Tambahnya, penganjuran karnival yang boleh dianggap 'pusat sains bergerak' itu merupakan langkah bijak bagi pembudayaan ilmu sains di kalangan masyarakat luar bandar. "Saya rasa PSKT telah berjaya menarik banyak institusi turun padang ke karnival ini dan ia menjadi titik permulaan. "Inilah peluang yang cukup baik dan perlu disokong. Program begini perlu dilakukan secara berkala dan mencapai daerah-daerah," katanya.
05 Oct 25
164
PSKT Bawa Sains Masuk Kampung
PSKT Bawa Sains Masuk Kampung
DUNGUN, 4 Oktober - Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu (PSKT) mengambil langkah proaktif membawa 'sains' menerobos kawasan luar bandar menerusi Science Journey Carnival STI Madani yang diadakan di Dewan Balora, Bandar Al Muktafi Billah Shah, di sini hari ini. Terkenal sebagai pusat transformasi yang berkaitan sains kreativiti tempatan yang bertempat di bandar, akses itu kini dapat dirasai pelajar-pelajar di desa. Menurut salah seorang guru Sekolah Kebangsaan Ayer Putih, Mustafa Mohd Rafi, 26, peluang itu perlu dimanfaatkan pelajar dengan mencuba semua aktiviti kerana bukan mudah untuk memperolehi suasana sebegitu. Mustafa bersama sebahagian anak-anak muridnya  ​​​​mencuba aktivti yang disediakan. "Kita hendak bawa mereka ke PSKT pun jauh dan perlukan bajet yang banyak, jadi peluang agak terhad. "Di sini, anak-anak murid di luar bandar akan lebih terdedah dan boleh datang terokai sendiri. "Walaupun zaman ini zaman teknologi, masih ada sedikit jurang antara bandar dan luar bandar, tetapi dengan program sebegini membolehkan mereka belajar.  "Paling saya suka, tidak sangka ia meriah begini dengan kawasan agak kecil," katanya ketika ditemui di lokasi hari ini. Perkara itu turut diakui Penolong Pengurus Pembangunan Masyarakat dan Sosial KETENGAH, Muhammad Adhwa Hazziq Arsad yang menyatakan bahawa program itu sebagai medium pendedahan kepada anak-anak luar bandar untuk lebih dekat dengan sains. "Ini satu langkah permulaan ke arah kita membudayakan digitalisasi dan kecerdasan buatan (AI). "Kalau diteruskan, ia dapat mempersiapkan anak-anak muda di luar bandar khususnya agar tidak ketinggalan dalam membudayakan sains dalam kehidupan," jelasnya. Keterujaan merasai kemeriahan karnival berkenaan turut dikongsi Nur Zulaikha Zulkifli, 31, ibu kepda lima orang anak yang hadir di sini. Katanya, beliau tidak menyangka karnival itu sungguh meriah dengan pelbagai aktiviti. "Tidak sangka PSKT buat begini, saya dapat makluman anak cakap ada sukaneka sahaja, yalah dari luar nampak kecil sahaja. "Program ini bagus dan molek, anak-anak boleh kenal tentang sains lagi, macam begini anak boleh rasa sendiri, buat kajian sains depan mata dia, dia boleh rasa pengalaman itu," tambahnya. Zulaikha bersama anak-anaknya di depan Dome Show. Berlangsung selama dua hari bermula hari ini, Sciences Journey Carnival menawarkan aktiviti antaranya pertunjukan silap mata, projek Sains Teknologi Kejuruteraan dan Matematik (STEM), pameran agensi, cerapan langit dan banyak lagi. Karnival diadakan bermula jam 8.00 pagi sehingga 5.00 petang yang akan berakhir esok. Pelajar SK Durian Mas mencuba aktiviti yang disediakan Petrosains.  
04 Oct 25
148
Sultan Mizan Berkenan Rasmi Sambutan 100 Tahun SMK Sultan Sulaiman
Sultan Mizan Berkenan Rasmi Sambutan 100 Tahun SMK Sultan Sulaiman
KUALA TERENGGANU, 2 Oktober – Sejarah penuh makna terpahat di bumi Darul Iman apabila Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan mencemar duli merasmikan Sambutan 100 Tahun Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Sulaiman (SMKSS) dalam majlis penuh istiadat yang berlangsung di Dataran Perdana sekolah berkenaan, hari ini. Keberangkatan baginda disambut dengan penuh penghormatan, diiringi oleh Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah, serta Yang Di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail dan paduka-paduka anakanda. Majlis bertambah seri dengan kehadiran Tengku Seri Bijaya Raja, Ahli Dewan Pangkuan Diraja Terengganu merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan, diiringi Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Nara Setia, serta Penasihat Undang-Undang Negeri, Nawawi Ismail. Acara dimulakan dengan persembahan pancaragam SMKSS, diikuti tarian selamat datang oleh penari Sutra Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, dan persembahan silat oleh Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia. Sejurus selepas itu, Tengku Seri Bijaya Raja mempersembahkan ucapan aluan, sebelum majlis diserikan dengan titah ucapan perasmian oleh Sultan Mizan. Usai bertitah, baginda berkenan menyempurnakan gimik perasmian dengan paluan gong, diiringi Yang Di-Pertuan Muda, Tengku Muhammad Ismail, sebagai simbolik bermulanya lembaran baharu perjalanan kecemerlangan SMKSS dalam abad kedua penubuhannya. Majlis diteruskan dengan keberangkatan baginda menanam sepohon pokok Majesty Palm, tanda kelangsungan warisan pendidikan yang subur sepanjang zaman. Baginda kemudian berkenan melawat Galeri Junjungan Setangi yang memaparkan perjalanan sejarah 100 tahun SMKSS, sebelum berangkat ke majlis santapan diraja.  
02 Oct 25
1436
Dari Sekolah ke Dunia: I-DEWS Bukti Inovasi Pelajar Imtiaz Berimpak Global
Dari Sekolah ke Dunia: I-DEWS Bukti Inovasi Pelajar Imtiaz Berimpak Global
KUALA TERENGGANU, 2 Oktober - Kejayaan pelajar Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu Kuala Terengganu (IKT) meraih emas di pertandingan World Sustainable Development Goal Challenge 2025 (WSDG 2025) bukan sekadar pencapaian antarabangsa, malah membuka peluang untuk projek berimpak sosial itu dikembangkan lebih jauh. Rekaan Imtiaz Dual Eco Water System (I-DEWS) yang telah dibawa ke WSDG 2025 oleh tiga pelajar tingkatan dua – Aira Nur Maisarah Abdullah Fuad, Nur Aeisya Khadija Mohd Yazid dan Ummu Sofiyyah Abdul Mubin, merupakan cetusan idea guru IKT bidang TVET, Suryana Mat Husin. Dari kiri: Aira, Aeisya dan Ummu Pengetua IKT, Md Imran Md Nor, berkata pihaknya berhasrat untuk terus menaik taraf teknologi tersebut agar lebih praktikal dan mampu memberi manfaat kepada masyarakat umum. "Ya, kami berfikir untuk menaik taraf unit penapisan yang sebelum ini menggunakan bahan-bahan semula jadi seperti sabut kelapa, pasir halus dan arang buluh yang telah diklarifikasi oleh Institut Penyelidikan Alam Sekitar Pantai Timur (ESERI), UNISZA.  "Kami bercadang untuk menambah baik unit penapisan sehingga air yang ditapis dapat diminum oleh manusia. Kami juga berfikir untuk menaik taraf sistem penjanaan elektrik.  "Selain itu, kami juga akan cuba menurunkan kos pembuatan supaya I-DEWS dapat dimiliki semua," katanya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas dihubungi, baru-baru ini. Beliau turut menjelaskan bahawa integrasi kecerdasan buatan (AI) akan membantu menjadikan sistem lebih efisien dan bersifat automasi. "Dengan penambahbaikan AI dalam produk kami, AI dapat mengawasi sistem I-DEWS tanpa memerlukan pengawasan seseorang. Dengan ini, pengguna tidak perlu untuk mengendali secara manual kerana sifat 'autonomous' yang AI dapat berikan. "AI juga boleh memberi ramalan untuk sistem I-DEWS sekiranya terdapat perubahan dalam sistem ini secara keseluruhannya. Kesannya, pengguna mengetahui apa yang patut ditambah baik dan diubah," jelasnya. I-DEWS pada peringkat awalnya hanyalah sistem penapisan air, namun melalui penambahbaikan bersama pelajar IKT ia diinovasikan menjadi sistem penapisan air dan penjanaan tenaga yang menggunakan graviti serta turbin air dalaman. Pembentangan secara maya oleh pelajar IKT mengenai I-DEWS; bertajuk 'WSDG 2025 I-DEWA SM IMTIAZ YT KUALA TERENGGANU' di  laman sesawang Youtube "I-DEWS merupakan satu sistem air yang boleh mengitar semula air gunaan selain dari air kumbahan untuk kegunaan luaran seperti menyiram pokok, membasuh pinggan dan membasuh kereta. Air yang dikitar semula tidak boleh diminum terus setelah ditapis.  "I-DEWS juga menggunakan sistem hydroelectric untuk menjana tenaga hanya dengan menggunakan graviti. Air digerakkan secara automatik oleh graviti dan dapat bergerak tanpa henti. Teknik ini dinamakan teknik siphon," ulas Md Imran. Tambahnya, IKT turut merangkul satu lagi penghargaan emas dan satu penghargaan istimewa dalam penyertaan mereka WSDG 2025 yang telah berlangsung pada bulan lepas. Rekaan tersebut sebelum ini pernah meraih pingat perak dalam World Young Inventors Exhibition (WYIE) 2025, namun penambahbaikan berterusan menjadikan rekaan itu kini berjaya diiktiraf di peringkat antarabangsa. Katanya lagi, usaha tersebut membuktikan kreativiti dan inovasi pelajar IKT bukan sahaja mampu mengharumkan nama sekolah, malah mempunyai potensi untuk dimanfaatkan masyarakat dalam kehidupan harian.
02 Oct 25
32
R&R@Masjid : UMT Adaptasi Kemesraan Terengganu Sambut Tetamu
R&R@Masjid : UMT Adaptasi Kemesraan Terengganu Sambut Tetamu
KUALA NERUS, 30 September - Pendaftaran pelajar baharu di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) sesi 2025/2026, semalam bukan sahaja membuka lembaran dunia baharu kepada para penuntut, tetapi juga menyingkap wajah mesra universiti berkenaan dalam menyantuni kedatangan mereka ke sana. Antara usaha yang dilakukan UMT menerusi Pusat Islam Sultan Mahmud (PISM) ialah mengadakan R&R (Rehat dan Rawat) @Masjid UMT. Menurut Ketua PISM, Dr Kasyfullah Abdul Kadir, pelbagai kemudahan ditawarkan sebagai satu bentuk penghormatan kepada tetamu yang hadir ke UMT. “Penganjuran R&R @Masjid UMT bertujuan menyantuni para ibu bapa dan menyambut pelajar baharu ke UMT selain meringankan beban keluarga dengan kemudahan yang disediakan. “Usaha ini menjadikan masjid bukan sekadar tempat beribadah, tetapi juga pusat kebajikan dan ukhuwah.  "Kami mahu pelajar dan ibu bapa merasai bahawa mereka diraikan, diberi perhatian dan disambut dengan penuh kasih sayang," katanya. Tambahnya, antara kemudahan yang disediakan ialah sarapan pagi percuma, makan tengah hari percuma, minuman serta kudapan ringan, di samping ruang rehat, ruang solat dan tandas yang selesa. Selain menyediakan keperluan asas, program yang dianjurkan turut menjadi ruang untuk mengeratkan hubungan antara warga masjid, pelajar dan keluarga.  Ia juga memperlihatkan peranan masjid sebagai pusat komuniti kampus yang hidup dan dinamik, serta membina masyarakat kampus yang harmoni, berakhlak dan sejahtera. Melalui reaksi balas yang diterima di kalangan ibu bapa yang hadir, PISM merakamkan sekalung penghargaan kepada semua penyumbang serta berharap agar inisiatif berkenaan dapat diteruskan serta diperkasakan pada masa akan datang.  
30 Sep 25
997
PSKT- UniSZA Bina Produk Makanan Sihat
PSKT- UniSZA Bina Produk Makanan Sihat
KUALA TERENGGANU, 14 September - Usaha Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu (PSKT) bersama Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dalam mewujudkan rantaian makanan sihat perlu disokong sebaiknya. Antara yang menjadi tumpuan kini adalah pembangunan pelbagai produk hiliran berasaskan ubi keledek vitato. Ketua Penyelaras Unit Pemasaran Fakulti Biosumber dan Industri Makanan UniSZA, Dr Zarizal Suhaili menyifatkan, kerjasama yang dibangunkan mampu menawarkan manfaat besar kepada masyarakat. "Menerusi kerjasama PSKT, apa yang kita dapat adalah pendedahan luas bagi setiap kepakaran yang dipindahkan yang mana apa-apa penyelidikan yang kita usahakan dapat dikembangkan kepada komuniti. "Dalam projek ini, mereka wujudkan tapak untuk penyediaan kita punya sistem fertigasi, membolehkan kita laksanakan penanam 1,000 beg ubi vitato dalam keluasan setengah ekar tanah. "Ini prototaip pertama kami dengan pembenihan bermula awal bulan Jun lalu yang mana kita telah tuai sebahagiannya sebanyak 30 kilogram," katanya ketika ditemui dalam program jualan sempena Kejohanan Terengganu Pushbike Cup 2025 di perkarangan PSKT, semalam.  Tambahnya, hasil tuaian sepenuhnya dijangka mampu mencapai sekitar 500 kg. Selain itu, projek tersebut turut dijayakan dengan kerjasama pemain industri iaitu Warisan Kayana Group Sdn Bhd dalam usaha memastikan produk yang dihasilkan mampu bersaing dalam pasaran. "Kini kita terdedah dengan makanan segera, namun untuk imbangi keadaan ini kita cuba wujudkan konsep makanan segera dengan kandungan yang sihat melalui produk dari ubi keledek vitato ini. "Cabarannya besar, namun kita perlu cuba dapatkan pihak industri yang boleh keluarkan snek dengan kandungan sihat sebagaimana produk-produk pembangunan yang dikeluarkan universiti. "Kerjasama ibu bapa, universiti, komuniti dan industri mampu meletakkan keutamaan generasi masa depan kepada pemakanan yang sihat," katanya.  
14 Sep 25
1177
Sukan Pushbike, Lumba Sekadar Suka-suka?
Sukan Pushbike, Lumba Sekadar Suka-suka?
KUALA TERENGGANU, 13 September - Terengganu Pushbike Cup 2025 yang membuka tirai kejohanan hari ini, menyaksikan seramai 315 pelumba cilik mengambil bahagian. Berlangsung di Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu (PSKT), sebanyak 21 kategori dipertandingkan selama dua hari kejohanan sehingga esok. Namun, sejauh mana potensi dan hala tuju sukan ini yang menumpukan penyertaan seawal usia dua tahun hingga ke 12 tahun sahaja? Pengarah Program Terengganu Pushbike 2025 merangkap wakil M8 Malaysia, Mohd Zul Fadhli Mohamed bagaimanapun menegaskan bahawa sukan pushbike bukan semata-mata sukan dua roda, sebaliknya ia merupakan platform pembinaan bakat pelbagai sukan lain. Jelasnya, perkembangan sukan ini di kalangan peringkat awal kanak-kanak adalah satu perkara yang sangat baik. "Sebenarnya sukan ini adalah salah satu implementasi sains sukan yang mana kita bina dan kembangkan bakat anak-anak ini sebagai persediaan ke sukan-sukan lain. "Kita telah mula berkembang di Malaysia, namun di Indonesia dan Thailand lebih awal. "Menerusi sukan pushbike, ia ada pembinaan disiplin, persediaan latihan, fokus, mentaliti juara. Bayangkan dalam umur tiga tahun, mereka boleh fokus dengar arahan. "Kalau kata kita telah capai satu tahap matang, kita sebenarnya telah menyediakan satu kumpulan bakat untuk pelbagai sukan," katanya ketika ditemui di lokasi kejohanan, hari ini. Tambahnya, ada beberapa pelumba pushbike telah berjaya menyertai sukan motosikal mini GP(mini moto) setelah tamat usia matang berlumba pushbike. "Alhamdulillah, PSKT menyokong penuh sukan ini ditambah lagi dengan selaras kesesuaian sukan ini dalam pembangunan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), sebab ia ada unsur fizik, aerodinamik dan sebagainya. "Kita ada perbincangan dengan PSKT untuk adakan pushbike bertaraf antarabangsa di peringkat Terengganu dan ia masih di peringkat awal, bahkan pihak mereka turut menyatakan usaha untuk mewujudkan litar khusus buat sukan pushbike," ujarnya. Dalam pada itu, ketua pegawai eksekutif PSKT, Mohd Huzairil Nizam Ibrahim turut bersetuju dengan kenyataan itu. "Perancangan bersama penganjur M8 Bike sedang diusahakan untuk mengadakan litar tetap bagi latihan dan menganjurkan kejohanan. "Kita bersama kerajaan negeri akan mengenalpasti lokasi yang menarik dan paling utama apabila melibatkan kanak-kanak, kita memerlukan satu litar dengan spesifikasi keselamatan yang terjamin," jelasnya. Beliau menambah, pemilihan sukan pushbike sebagai antara tanda dagang (trademark) PSKT mempunyai beberapa sebab tersendiri. "Sukan pushbike melibatkan koordinasi motor yang berkait rapat dengan biologi dari segi pergerakan ketika berlumba, tentang bagaimana mereka dapat mengawal sistem saraf secara harmoni. "Apabila dilatih seawal usia dua tahun, kita berupaya melahirkan pelajar-pelajar yang cemerlang dan berkualiti. "Apabila kita bercakap untuk melahirkan kanak-kanak yang cergas dan cerdas, bukan itu sahaja. "Kita juga ingin membantu kerajaan negeri menyediakan pelapis di peringkat negeri dan negara," katanya.
13 Sep 25
98
PSKT Dok Rilek, Himpun 315 Pelumba Cilik
PSKT Dok Rilek, Himpun 315 Pelumba Cilik
KUALA TERENGGANU, 12 September - Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu (PSKT) kembali hangat minggu ini dengan kehadiran lebih 300 pelumba cilik dari dalam dan luar negara yang akan berentap bermula esok. Kali ini, PSKT menjadi tuan rumah bagi kejohanan Piala Terengganu Pushbike 2025 yang menampilkan penyertaan dari (5 peserta) Indonesia, Thailand(23) dan Singapura(5). Lebih menarik, sepanjang dua hari kejohanan PSKT menyediakan pakej istimewa memasuki galeri PSKT serendah RM15 sahaja. Menurut pengarah program Terengganu Pushbike, Mohd Zul Fadhli Mohamed, sebanyak 315 peserta berumur antara dua hingga sembilan tahun akan bertanding dalam 21 kategori sepanjang dua hari kejohanan. "Lapan kategori bagi hari pertama esok (campuran), manakala 13 kategori pada hari kedua. "Tahun ini kita sediakan lebih kurang 300 meter bagi kategori empat tahun ke atas, tetapi untuk bawah tiga tahun kita akan pendekkan sedikit. Antara pelumba yang mencuba litar sebelum kejohanan, hari ini. "Paling menjadi tumpuan tentulah kategori terbuka dan biasanya lebih sengit kerana pelumba semua telah matang dan berkemahiran," katanya ketika ditemui selepas sesi percubaan litar, hari ini. Dalam pada itu, seiring kejohanan ini turut diadakan pelbagai acara sampingan. Antaranya ialah pertandingan mewarna, persembahan dikir barat, pertunjukan maskot, forum sains dan acara pentas yang menampilkan Sham Visa, Shidi DATA dan Ustaz Elyas Ismail. Pertandingan mewarna menjadi salah satu acara sampingan yang diadakan.  
12 Sep 25
293
Tingkat 48 Peratus Pelajar Baharu Bukti Masyarakat Yakin Terhadap UC TATI
Tingkat 48 Peratus Pelajar Baharu Bukti Masyarakat Yakin Terhadap UC TATI
KUALA TERENGGANU, 11 September – Universiti Kolej TATI (UC TATI) mencatatkan peningkatan kemasukan pelajar baharu sebanyak 48 peratus bagi ambilan Julai lalu, iaitu seramai 312 orang berbanding tahun sebelumnya. Rektor Universiti College TATI (UC TATI) Prof. Ir. Dr Hairul Azhar Abdul Rashid berkata, peningkatan ini mencerminkan keyakinan masyarakat terhadap keupayaan UC TATI sebagai institusi pendidikan tinggi yang menawarkan pengajaran berkualiti, suasana kampus kondusif dan program pengajian  relevan dengan keperluan semasa. “UC TATI terus mengukuhkan kedudukan apabila berjaya tersenarai dalam TOP 3 MQA Awards 2025 (Internal Quality Assurance) Higher Education Provider Excellence Award. “Selain itu, UC TATI turut mendapat kelulusan untuk melaksanakan program Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) di Kampus Bandaraya Kuala Terengganu dan program Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Teknologi Maklumat di Kampus Induk Kemaman,” jelasnya. Beliau berkata demikian ketika dihubungi hari ini. Selaras dengan visi, pelajar baharu diseru untuk membiasakan diri dengan budaya ilmu, menanam semangat ingin tahu dan berfikiran kritis.  Selain itu, mereka juga diingatkan agar menghormati pensyarah, menghargai rakan dan mengurus masa dengan bijak kerana kejayaan individu adalah sebahagian daripada kejayaan UC TATI. “⁠Teruskan berusaha dengan ilmu, integriti dan semangat perpaduan. Kekalkan budaya positif, saling menyokong, dan jadikan cabaran sebagai peluang untuk maju. Bersama kita angkat nama UC TATI ke peringkat lebih tinggi. “UC TATI memberi fokus kepada pengajaran berkualiti, pembinaan karakter graduan yang seimbang, serta penerapan nilai profesionalisme,” tambah beliau. Dengan komitmen berterusan terhadap peningkatan infrastruktur, kemudahan pembelajaran moden dan penekanan kepada nilai integriti serta perpaduan, justeru itu, UC TATI bertekad untuk terus melangkah sebagai sebuah institusi pengajian tinggi berprestij di peringkat nasional.
11 Sep 25
277
Kemasukan Tingkatan Satu Sekolah Agama Terengganu 2026 Dibuka
Kemasukan Tingkatan Satu Sekolah Agama Terengganu 2026 Dibuka
KUALA TERENGGANU, 10 September – Jabatan Pendidikan Islam Negeri Terengganu (JPINT) mengumumkan permohonan kemasukan murid Tingkatan Satu ke Sekolah Menengah Agama Negeri Terengganu (SMANT) bagi sesi persekolahan 2026 dibuka bermula 4 September hingga 4 Oktober 2025. Permohonan boleh dibuat secara dalam talian melalui pautan https://jpint.awfatech.com/daftar.php. Menurut kenyataan JPINT, tawaran ini melibatkan dua kategori sekolah iaitu Sekolah Menengah Agama Berasrama Penuh dan Sekolah Menengah Agama Harian. Sekolah Menengah Agama Berasrama Penuh iaitu Sekolah Menengah Agama (Atas) Sultan Zainal Abidin, Batu Buruk, Kuala Terengganu, Sekolah Menengah Islam Darul Iman (SMIDI), Dungun, Sekolah Menengah Islam Darul Iman (SMIDI), Besut, Sekolah Menengah Islam Darul Iman (SMIDI), Kuala Nerus (Pengambilan Murid Lelaki Sahaja) dan Sekolah Menengah Islam Darul Iman (SMIDI), Hulu Terengganu (Pengambilan Murid Perempuan Sahaja). Manakala Sekolah Menengah Agama Harian ialah Sekolah Menengah Agama Khairiah, Kuala Terengganu (Pengambilan Murid Perempuan Sahaja), Sekolah Menengah Agama Sultan Zainal Abidin Ladang, Kuala Terengganu (Pengambilan Murid Lelaki Sahaja), Sekolah Menengah Agama Maarif, Besut, Sekolah Menengah Agama Sultan Ismail, Dungun, Sekolah Menengah Agama Marang, Marang. Selain itu, Sekolah Menengah Agama Al-Falah, Kemaman, Sekolah Menengah Agama Ittifakiah, Kuala Berang, Sekolah Menengah Agama Mahmudiah, Hulu Terengganu dan Sekolah Menengah Agama Setiu, Setiu. JPINT turut memaklumkan sebarang maklumat lanjut berkenaan kemasukan boleh diperoleh melalui laman rasmi Facebook Jabatan Pendidikan Islam Negeri Terengganu atau Info Kemasukan Murid Jabatan Pendidikan Islam Negeri Terengganu. Dengan pembukaan permohonan ini, ibu bapa dan murid di seluruh Terengganu digalakkan membuat persediaan awal bagi memastikan peluang kemasukan ke sekolah agama negeri yang sentiasa menjadi pilihan utama masyarakat.
10 Sep 25
861