KUALA TERENGGANU, 9 Ogos - Ekspo Reka Cipta & Inovasi Terengganu 2026 anjuran Yayasan Terengganu menjadi platform penting bagi mencungkil bakat baharu dalam bidang inovasi khususnya dalam kalangan pelajar di semua peringkat di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan Negeri, Dato' Satiful Bahri Mamat berkata, penganjuran ekspo berkenaan memberi ruang kepada pelajar untuk mengetengahkan idea dan hasil inovasi di peringkat awal.

"Sebenarnya program ini bukan ini kali pertama, sebelum pada ini pun kita turun peringkat daerah-daerah dan sebagainya untuk semua peringkat.
"Bukan di Bandar Kuala Terengganu sahaja, tapi di peringkat daerah-daerah (lain juga) untuk mencungkil bakat-bakat baru," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Ekspo Reka Cipta & Inovasi Terengganu 2026 di Terengganu Trade Centre (TTC), di sini, hari ini.
Turut hadir, Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Terengganu, Abdul Haris Abdul Malek serta Pengarah Yayasan Terengganu, Ahmad Farhan Abdul Wahab.

"Dan kita harap insya-Allah ini sebagai satu platform baru untuk memberi galakan kepada pelajar-pelajar khususnya, untuk terus berinovasi bagi melahirkan idea-idea baru masa-masa akan datang," ujarnya.
Menurutnya, penganjuran ekspo itu turut membuka ruang kepada pelbagai pihak termasuk institusi, agensi dan industri untuk melihat sendiri hasil inovasi yang dihasilkan peserta.
"Dan kita juga turut mengundang penglibatan pempamer terlibat (di peringkat pengajian tinggi dan seumpanya) untuk memberi galakan dan juga membuka minda para pelawat ataupun peserta serta pemerhati yang hadir ke sini.
"Jadi nampaknya kehadiran semua reruai itu dapat dimanfaatkan sebaik mungkin," jelasnya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI).

Penganjuran sulung pada skala berkenaan menghimpunkan lebih 200 kumpulan dengan penyertaan melebihi 600 peserta menerusi pelbagai pertandingan dan pameran berkaitan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).
Dalam ucapan perasmiannya, Satiful turut menegaskan hasrat kerajaan negeri untuk melahirkan generasi yang mampu mencipta dan berinovasi menerusi pengukuhan pendidikan STEM.
Tegasnya, usaha berkenaan perlu dimulakan dari sekarang menerusi sekolah, program seperti STEM Outreach serta keberanian pelajar untuk mencuba dan menghasilkan penyelesaian baharu.