lightning-solid
Berita :
Belajar Luar Negara, Jangan Duduk Sesama Orang Terengganu Sahaja
Belajar Luar Negara, Jangan Duduk Sesama Orang Terengganu Sahaja
Amiirullah Mansor
21 jam yang lepas
72

KUALA TERENGGANU, 12 Ogos – Mahasiswa Terengganu yang melanjutkan pengajian ke luar negara digalakkan keluar daripada kelompok sendiri, bergaul dengan masyarakat tempatan dan memanfaatkan peluang tersebut untuk menguasai bahasa serta membina jaringan antarabangsa.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan Terengganu, Dato’ Satiful Bahri Mamat turut berpesan, pengalaman belajar di negara asing tidak seharusnya terhad kepada menghadiri kuliah dan memperoleh ijazah semata-mata.

“Jangan duduk di asrama, berkawan sesama kita dan bercakap loghat Terengganu sahaja.

“Bergaullah dengan masyarakat serta pelajar tempatan. Kalau pergi ke negara Arab, gunakan peluang itu untuk menguasai bahasa Arab. Kita mahu pelajar kita sekurang-kurangnya mampu menguasai Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan bahasa negara tempat mereka belajar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Perasmian Penutupan Kursus Jati Diri Mahasiswa Terengganu Ke Timur Tengah Sesi 2026 di Dewan Utama, Kompleks Desa Taqwa, Kuala Terengganu.

Satiful mengingatkan mahasiswa bahawa mereka membawa bersama nama baik keluarga dan Negeri Terengganu sepanjang berada di luar negara.

Tegasnya, kebebasan berada jauh daripada keluarga perlu diurus dengan matang agar mahasiswa tidak terjebak dengan kejutan budaya atau masalah disiplin yang akhirnya menjejaskan pengajian dan imej negeri.

“Jaga nama baik diri, keluarga dan Terengganu. Jangan kerana kesilapan seorang, akhirnya orang melihat keseluruhan pelajar Terengganu dengan pandangan yang tidak baik.

“Tujuan utama kita pergi ialah menuntut ilmu. Jadi beri fokus kepada pengajian dan jangan biarkan perkara lain mengganggu matlamat itu,” katanya.

Beliau turut menggalakkan mahasiswa mendaftarkan diri dan aktif bersama persatuan pelajar atau Persatuan Anak Terengganu di negara pengajian kerana ia menjadi medan membina kepimpinan, jaringan persahabatan serta budaya saling membantu.

Menurut beliau, matlamat lebih besar kerajaan negeri adalah melahirkan “ulama yang intelektual dan intelektual yang beragama”, iaitu graduan yang mempunyai penguasaan ilmu serta mampu menyumbang kepada pembangunan negeri dalam pelbagai lapangan.

Turut hadir Pengarah Jabatan Pendidikan Islam Negeri Terengganu, Haji Mohd Zaini Mohd Nor; Pengarah Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (IMITS), Kamaruzzaman Abdullah; serta Timbalan Pengarah (Operasi) Yayasan Terengganu, Mohd Nazri Muda.


Tag :

Artikel Berkaitan